Wednesday, December 30, 2009

Watak-watak semasa Hijrah Nabi


Pertama: Ali bin Abu Talib

Seorang pemuda yang berani dan amanah. Mengantikan tempat tidur nabi dan memulangkan barang simpanan kepada pemunyanya seperti dipesan oleh Rasulullah.

Kedua: Abu Bakar

Seorang yang sanggup bersusah payah untuk Rasulullah dengan harta dan kewangan. Menyediakan dua ekor unta yang sihat dan kewangan untuk kegunaan berhijrah.

Ketiga : Abdullah bin Abu Bakar

Seorang yang rajin dan kuat simpan rahsia. Menghapuskan kesan-kesan tapak kaki unta dengan kumpulan kambingnya dan menyampaikan berita musuh kepada kepada Rasullah.

Keempat : Abdullah Uraiqit

Seorang kafir yang bersedia berkhidmat untuk Rasulullah. Penunjuk jalan dari Mekah ke Madinah.

Kelima : Amir Fuhairah

Seorang penulis bersama berhijrah. Penulis kepada janji Rasullah kepada Surakah

Keenam : Ummu Ma’bad ( Atiqah bt Khalid )

Seorang peniaga wanita yang jujur. Dirumah inilah Rasulullah memerah susu kambing yang tidak bersusu akhirnya mengeluarkan susu yang banyak. Susu yang diperah tadi dibahagi dua sebahagian untuk bekalan kumpulan hijrah Rasullah dan sebahagian lagi disimpan untuk tuan rumah.


Ketujuh : Surakah bin Ja’syam

Seorang yang memburu harta jika dapat membunuh Rasullah. Surakah mendengar tawaran seratus ekor unta kepada sesiapa yang dapat membunuh Muhammmad terus pergi mencari secara berseorangan. Apabila bertemu Rasulullah secara berdepan ia tidak mampu melakukannya walaupun mempunyai peluang yang terbuka, namun ia telah menemui kebenaran lalu terus membatal niat membunuh dan memeluk Islam. Rasulullah berjanji akan menghadiahkan kepada Surakah gelang kaki Kisra Parsi. Perjanjian ini ditulis oleh Amir Fuhairah.


Kelapan : Abu Baridah

Ketua kumpulan samseng yang turut memburu Rasulullah. Bersama pengikut mencari Nabi Muhammad kerana mendapat maklumat bahawa Muhammad adalah seorang yang tidak baik dan pengkhianat Negara perlu dibunuh. Apabila bertemu dan melihat peribadi Rasulullah tidak seperti apa yang dikhabarkan maka Abu Baridah berserta rakan-rakan membatalkan niat dan terus memeluk Islam kemudian turut menyertai kumpulan hijrah Rasulullah.

Kesembilan : Abu Ma’bad ( Suami Atiqah )

Seorang yang telah lama mendengar perkhabaran tentang Rasulullah. Semasa Rasulullah singgah di rumahnya dia tiada di rumah. Apabila isterinya ( Atiqah ) menceritakan perihal kambing yang tidak bersusu awalnya tetapi boleh mengeluarkan susu setelah Rasulullah memerahnya. Beliau telah melihat ini sebagai mukjizat seorang nabi lantas terus mengekori Rasulullah dan menyertai kumpulan hijrah Rasulullah.


Kesimpulannya bagi kesembilan manusia ini telah menunaikan tanggungjawabnya dan berperanan dalam peristiwa besar HIJARAHTUL RASUL. Berbagai latar belakang manusia telah menunjukkan komitmennya. Jadi apakah peranan kita bagi menegakkan keadilan di Negeri dan Negara kita?


~ musaniff.blogspot



Friday, December 25, 2009

PIBG bukan longkang ‘ peruntukkan ‘ YB

Persatuan Ibubapa dan Guru ( PIBG ) pada asasnya ialah suatu persatuan yang melibatkan ibubapa/penjaga serta guru membantu sekolah menjayakan programnya. Ada juga terdapat PIBG mempunyai sumber kewangan sendiri yang kukuh dan banyak membantu pengurusan dan program sekolah malah melebar kepada masyarakat.

Namun secara keseluruhannya PIBG berperanan membantu dan berkerjasama menjayakan program sekolah. Tetapi jawatan Yang Dipertua ( YDP )sentiasa dikaitkan dengan personel yang berkaitan dengan YB ( Wakil Rakyat ). Jika YDP yang dilantik di kalangan orang yang tidak sebulu dengan YB maka sekolah berkenaan akan diuar-uarkan sebagai sekolah yang tidak mendapat peruntukkan dari YB.

Lebih teruk lagi, pihak pengurusan sekolah juga turut terlibat mengiyakan perkara ini. Malah pihak sekolah terus tidak memohon apa-apa sumbangan yang agak besar kepada YB selama YDP tidak sebulu ini masing di jawatannya. Lantaran suasana ini ada di kalangan ibubapa dan AJK PIBG telah diracuni fikiran mereka oleh orang tertentu agar menukar YDP ini pada pemilihan akan datang. Walaupun mereka dan umum mengetahui YDP ini dapat berperanan dengan baik dan berkesan kepada sekolah dan masyarakat.

Selama hampir empat tahun ( 2007 – 2009 )YDP ini memegang jawatan, beliau bersama AJK PIBG ,Guru Besar , guru-guru dan warga sekolah dapat mengatasi pencapaian 5A dan peratus lulus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah berbanding YDP sebelumnya
( di katakan sebulu dengan YB ). Dengan izin Allah juga sekolah telah mendapat dua anugerah kecemerlangan iaitu Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri Pahang 2009 dan Sekolah Cemerlang Kokurikulum Peringkat Daerah 2007,2008 dan 2009.

Bagi warga sekolah dan PIBG mereka akan menerima sumbangan dari mana-mana pihak sekalipun. Tetapi janganlah disalahkan YDP sekiranya YB tidak menyumbang dalam jumlah yang agak besar kepada PIBG. Namun terkadang kedapatan juga YB walaupun tidak semua hanya mengumumkan jumlah peruntukkan dalam majlis perasmian Mesyuarat Agong PIBG atau majlis lain tetapi hakikatnya sampai sekarang pengumuman itu hanya tinggal pengumuman tidak menjadi realiti.

Pihak yang bertanggungjawab menyalurkan peruntukkan kepada sekolah dalam bentuk geran berkapita harus meneliti kembali jumlah yang diberikan sekarang. Mungkin nilainya perlu dinaikkan kepada suatu nilai yang sesuai dengan keadaan semasa ( harga barang telah meningkat berkali-kali ganda ). Jika ini berlaku maka bayaran tambahan persekolahan tidak perlu dikenakan dan YB tidak akan merasa gelisah apabila hadir merasmikan apa-apa program di sekolah.

Wednesday, December 16, 2009

Penjamin yang terbeban

Senario yang berlaku hari ini, malah akan berlaku seterusnya jika ianya tidak cuba diselesaikan. Apa yang diperkatakan ialah soal penjamin yang terpaksa terbeban dek sifat peminjam yang ingkar melunaskan hutang.

Memanglah senang bercakap, kalau begitu tak payahlah jadi penjamin. Tetapi setiap institusi kewangan berkehendakan penjamin. Apabila menandatangani dokumen perjanjian sebagai penjamin, masa inilah pihak institusi kewangan akan bertanya terkadang terus memberitahu sekiranya peminjam tak boleh bayar maka penjaminlah yang perlu melunaskan hutang. Rasanya ini tidak adil.

Namun pihak institusi kewangan perlulah juga mempertimbangkan persetujuan menjadi penjamin hanya untuk meluluskan pinjaman sahaja bukan turut bersama membayar kepada hutang yang tidak pernah dibuat. Mungkin juga persetujuan menjadi penjamin adalah kerana hendak menjaga hati kawan.

Kalau dari sudut ekonomi pula apabila pembelian sesebuah kenderaan itu berjaya, maka akan berlakulah penggunaan wang maka akan menyumbang kepada peningkatan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ). Tetapi sekarang ini, pembelian kereta sudah mula perlahan kerana sudah tidak ramai orang yang boleh membeli kereta kerana tersekat oleh namanya telah di senarai hitamkan akibat bermurah hati menjadi penjamin.

Pihak yang terlibat dengan polisi ini mesti melihat kembali apakah polisi berkaitan peminjam dan penjamin ini tidak menganiaya penjamin. Kesannya ialah penjamin tidak akan boleh membuat pinjaman di institusi kewangan dan sekiranya bilangannya ramai, maka ian boleh menyumbang kepada nilai KDNK akan mengecil.

Inilah keluhan para penjamin sebenarnya.. tolonglah kami, bantulah kami..kami hendak juga pakai kereta baru tetapi apakan daya usah di sebut Alza kereta Kancil pun tak mampu nak beli. Bukan kerana tak mampu nak bayar tetapi tak layak meminjam. Kasihanlah mereka ini !!!.

Friday, December 11, 2009

Penyerahan Cek dan penyampaian “Harapan Tertinggi Arwah”


Pengarah MTD Guai , Musaniff menyerahkan sekeping cek kepada wasi kepada arwah Misnin dan isterinya di Felda Mayam, Bera. Kedua-duanya telah menyertai program takaful berkelompok khairat kematian ( Ajam ) Pakatan Amal Sejagat dan telah meninggal dunia selang seminggu di bulan Ramadhan baru-baru ini.

Selain menyerahkan cek bernilai RM 5,600.00 ( RM 2,000.00 telah diserahkan dahulu sebagai membantu urusan pengebumian dan lain-lain ), Musaniff sempat menyampaikan ‘ Harapan Tertinggi Arwah ‘ dalam bentuk lisan dan bercetak. Menurut wakil keluarga , mereka semua akan melaksanakan harapan tertinggi arwah sebaik yang mungkin.

Diantara ayat yang dicatatkan di dalam harapan tertinggi arwah ialah berbunyi ,

………“ Aku juga berpesan kepada kalian semua agar bertaqwalah kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita semua. Dialah juga yang akan mematikan kita nanti. Kerjakan solat dan taatilah Allah di mana kalian berada. Tinggalkan kejahatan dan kemaksiatan kerana ia bukan sahaja dimurkai Allah tetapi dibenci juga oleh manusia. Ingatlah, sekali kalian meninggalkan solat dan kewajipan yang lain serta melakukan kemaksiatan pada Tuhan, di kala itu aku juga diseksa di persemadian.”………….

……” Alangkah gembiranya aku bila harta yang telah kalian miliki itu digunakan sedikit untuk kebajikan dan bersedekah bagi pihak diriku. Janganlah kalian gunakan peninggalan ku ini untuk berbuat maksiat. Kelak,aku juga akan terseksa.”..

Turut hadir Imam Masjid Felda Mayam, Encik Abd Samad ( Ketua UPU Felda Mayam ) dan beberapa orang AJK PAS Felda Mayam.


Kepada sesiapa yang berminat menyertaikan program takaful ini boleh menghubungi Pakatan Amal Sejagat ( Agen Korporat Etiqa Takaful ) di talian 019-9378487 ( Musaniff ).

~ mtdguai.blogspot

Wednesday, December 9, 2009

Kempen derma darah di Bera

Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh mengajurkan kempen derma darah. Tabung Darah Hospital sentiasa memerlukan darah yang selamat untuk merawat pesakit.
Pihak HOSAS mengucapkan terima kasih di atas kesudian penderma menderma darah. Darah dermaan penderma dapat menyelamatkan nyawa dan komponennya dapat merawat pesakit Leukaemia, Thalasaemia, Haemophilia, Anemia dan sebagainya.

Anda semua layak menderma darah sekiranya,

1. Berumur 18 – 60 tahun
2. Berat melebihi 45 Kg
3. Tidur melebihi 5 jam
4. Tiada masalah perubatan
5. Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan@antibiotik
6. Tarikh akhir pendermaan tidak kurang 8 minggu
7. Telah mengambil sedikit makanan sebelum menderma
8. Tidak terlibat di dalam kegiatan hubungan sejenis,berbilang pasangan@pekerja seks,
penyalahgunaan dadah
9. Kedatangan haid diterima selepas hari ke 5

Jika anda tidak memenuhi syarat kelayakan untuk menderma darah, anda masih boleh membantu pihak HOSAS dengan menpelawa keluarga serta kenalan anda untuk berbuat demikian.

Pihak HOSAS bagi tujuan kempen derma darah ini akan berada di daerah Bera pada

a. 10hb Disember 2009 ( Khamis ) - Klinik Kesihatan Padang Luas, Bera

b. 22hb Disember 2009 ( Selasa ) - Felda Sebertak

c. 29hb Disember 2009 ( Selasa ) - Felda Kumai

Saturday, December 5, 2009

Pemimpin UMNO mewarisi perangai buruk sangka penjajah Inggeris

1.Terbukti pemimpin UMNO mewarisi perangai buruk sangka yang dipunyai oleh Inggeris semasa memerintah Tanah Melayu dahulu.
2. Semasa zaman Inggeris dulu, darihal pemerintahan mesti datang dari Inggeris. Jika datang dari pihak lain maka akan berlakulah huru hara. Seolah-olah Inggeris sahaja yang pandai memerintah, kaum lain tak pandai.
3. Orang melayu masa tu panggil orang Inggeris sebagai Tuan. Bila pulak kita ni jadi hamba dia?. Begitulah sekarang ni UMNO telah cuba sedaya agar rakyat di Malaysia dapat ' diternak ? ' dan akhirnya rakyat akan ‘ memanggil ’ pemimpin UMNO sebagai Tuan.
4. Apabila 5 buah negeri dalam PRU 12 jatuh ke tangan PR, UMNO sibuk berusaha mahu menyatakan kepada rakyat bahawa PR tidak pandai memerintah. Bukan itu saja, malah ada daya yang kuat untuk mengocangkan pentadbiran negeri PR dengan satu mesej iaitu PR tidak pandai memerintah. Penyataan ‘ hanya aku saja yang pandai memerintah, orang lain tak pandai ‘ adalah sikap buruk sangka penjajah Inggeris….
5. Kes royalti minyak di negeri Kelantan. Ini juga adalah perangai buruk sangka UMNO yang telah meletakkan bahawa kerajaan Kelantan dibawah pimpinan PR tidak pandai menggunakan wang royalti. Maka jadilah ia wang ehsan, biar UMNO yang bagi kepada rakyat Kelantan.
6. Royalti minyak adalah satu perjanjian yang dibuat diantara Petronas dan semua kerajaan negeri di Malaysia. Tidak disebut langsung perkataan ehsan didalam perjanjian itu kenapa perjanjian pemberian royalti minyak kepada kerajaan Kelantan dilanggar. Maka terbuktilah bukan saja pemimpin UMNO mewarisi perangi buruk sangka penjajah Inggeris malah lebih daripada itu iaitu sanggup menjadi ‘ manusia yang terburuk sekali ’ dengan melanggar perjanjian yang pernah dibuat.
7. Sedarlah wahai pemimpin UMNO, dunia ini AMANAH oleh Allah kepada manusia untuk ditadbirkan sebaiknya. Sampai masa ia akan diambil kembali dan akan dihitung satu persatu akan amanah yang telah diberikan.

Sunday, November 29, 2009

140 orang Ahli Keluarga Pawang Kadir hadir perjumpaan kali ke 3.


Pada 28hb November 2009 baru-baru ini seramai 140 orang Ahli Keluarga Pawang Kadir ( AKPK ) berkumpul di Rumah Besar Kg Bukit Keledang, Bera. Rumah Besar adalah rumah pusaka peninggalan Pawang Kadir. Rumah tersebut mempunyai tujuh bumbung.

Tepat jam 7.45 pagi telah bermula kerja-kerja ‘ merempong ‘ seekor lembu untuk disembelih ( Ibadah Korban ). Tuan Guru Haji Mohamad ( Mudir Pondok An-Najah, Kg Bukit Keledang ), telah menyempurnakan penyembelihan tersebut.

Manakala kerja-kerja melapah,menyiang dan memasak dijalankan secara gotong-royong oleh AKPK dan jiran berhampiran.

Semua AKPK dan para tetamu telah bertahlil, doa selamat dan takbir selepas solat zohor.

Banyak acara yang dijalankan bagi memeriahkan perjumpaan keluarga kali ini. Iaitu acara sukaneka untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta cabutan bertuah.

Semua 14 wakil perdu keluarga telah tampil memperkenalkan keluarga masing-masing. Perdu bermaksud keluarga kepada anak-anak Pawang Kadir. Iaitu Abd Rahman,Sapiah,Husin, Abu Bakar, Kelesom,Jamaluddin,Ramlah,Dahilan,Halimaton,Salbiah,Badariah,Fatimah,Sakinah dan Mohd Tarmizi.

Ketua Urusetia perjumpaan keluarga, Musaniff Abd Rahman telah memaklumkan beberapa perkara. Pertama di perjumpaan kali ini AKPK mempunyai tetamu terdiri dari anak-anak saudara Pawang Kadir juga adik beradik Pawang Kadir dari Simpang Pelangai.Kedua, memperkenalkan panggilan pangkat dalam generasi dan gelaran dalam keluarga ( lihat blog Musaniff.blogspot ). Ketiga, Musaniff sempat meminta agar AKPK mengemaskini ahli keluarga perdu masing-masing dan mohon agar mendapatkan nama sebenar ibu kepada aki Abdullah ( Iaitu Emak saudara kepada Pawang Kadir ).Manakala Abu Bakar Abd Kadir selaku penasihat keluarga turut berasa gembira atas perjumpaan yang berjaya ini dan memberi kata-kata nasihat yang amat berguna kepada AKPK. Turut berucap serta memberi ucapan tahniah ialah Adli Mohamad ( Wakil anak-anak saudara Pawang Kadir yang hadir di perjumpaan kali ini).

Wednesday, November 25, 2009

Urusetia AKPK terbitkan Dokumen Perjumpaan Keluarga Kali ke 2


Pihak Urusetia Ahli Keluarga Pawang Kadir ( AKPK )telah berjaya mengumpul dan mendokumentasikan perjumpaan kali kedua AKPK pada 9 Disember 2008 lalu.

Dokumen tersebut mengandungi 40 halaman. Diantara kandungan ialah senarai kehadiran,senarai isteri dan anak Pawang Kadir,sejarah hidup ringkas Pawang Kadir, senarai anak dan pasangan anak-anak Pawang Kadir, aturcara perjumpaan kali kedua, penglibatan dalam masyarakat ahli AKPK dan gambar beramai-ramai serta gambar-gambar suasana di hari perjumpaan kali kedua. Dokumentasi ini disusun oleh Musaniff bin Abd Rahman selaku Ketua Urusetia Keluarga.

Kepada AKPK dokumentasi bercetak perjumpaan itu boleh didapati dalam dua bentuk. Pertama dicetak warna , kulit di salut plastik dan dijilid dengan RM 30.00 ( Harga termasuk kos cetak dan penghantaran ). Kedua dicetak hitam putih dan dijilid dengan RM 15.00 ( Harga termasuk kos cetak dan penghantaran ).

Pembayaran hendaklah dibuat ke akaun maybank no 156141286432 atas nama Musaniff bin Ab.Rahman. Kemudian smskan maklumat berkenaan ke nombor 019-9378487.

Dokumen asal boleh juga dilihat semasa perjumpaan keluarga kali ketiga pada 28hb November 2009 ini. Musaniff mengambil kesempatan menyeru agar semua AKPK dapat hadir dan sebagai tanda pertautan erat tali kekeluargaan, setiap keluarga perlu sampai ke Rumah Besar Kg Bukit Keledang seawal jam 7.30pagi untuk bergotong-royong menyembelih,melapah,menyiang seekor lembu dan kerja-kerja lain lagi serta membawa juadah sarapan satu keluarga satu juadah bagi kita kumpulkan dan makan pagi bersama-sama.

Friday, November 20, 2009

MG:INFOSUMBER:5 Tuntutan ANAK diserahkan kepada MB Pahang

Persatuan generasi kedua Felda ( ANAK ) telah menyerahkan memorandum kepada YAB MB Pahang dan telah menuntut lima perkara. Penyerahan memorandum tersebut diketuai oleh Sdr Mazlan Aliman, Pengerusi ANAK.
Beginilah memorandum tersebut menyatakan , "Bagi menyelesaikan permasalahan tersebut, terdapat lima tuntutan dalam memorandum Anak kepada Menteri Besar Pahang.
Pertama, memberikan lot tanah kosong di Felda bagi perumahan generasi baru. Tanah merupakan hak kerajaan negeri. Terdapat sejumlah tanah kosong yang belum dimajukan dalam penempatan Felda. Maka alangkah baiknya jika tanah tersebut di pecah lot dan dibina perumahan untuk anak-anak peneroka yang layak dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah program Rumah Mesra Rakyat. Contoh kejayaan projek tersebut dapat dilihat di Felda Sri Jaya, Pagoh Johor dengan siapnya 95 unit rumah generasi kedua.
Pilihan yang kedua ialah tapak lot-lot tanah yang telah mendapat hak milik diberi kebebasan mendirikan rumah kediaman mereka sendiri. Kaedah ini biasa diamalkan di banyak tempat. Sokongan dan dokongan kerajaan negeri akan mempercepatkan segala prosedur yang harus dipatuhi kerana selama ini generasi kedua berdepan karenah pentadbiran Felda yang begitu lokek untuk melepaskan pegangan atas tanah yang mereka dakwa miliknya.
Kedua, batalkan Felda Plantation. Dasar kerajan membuka Tanah Rancangan Felda ialah membuka ruang pemilikan tanah kepada rakyat khusus orang Melayu. Selepas tahun 1990, dasar ini dihentikan dan diwujudkan Felda Plantation yang berkonsepkan estet yang menekan peserta tanpa jaminan masa depan. Walhal, seluas 367,710 hektar tanah milik kerajaan negeri telah dikorbankan. Adalah dianggarkan 79,000 anak peneroka beroleh manfaat jika Felda Plantation dimansuhkan dan ditukar kembali formatnya kepada pengambilan peneroka. Kerajaan negeri boleh memainkan peranan aktif membuat desakan tersebut.
Ketiga, naiktarafkan penempatan Felda yang telah mendapat hak milik. Daripada sejumlah 317 rancangan Felda, 77 daripadanya telah selesai membuat bayaran kembali dan beroleh hak milik keperluan untuk penempatan ini ditadbir sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah kerajaan negeri sangat mendesak.
Dengan erti kata lain, sudah sampai masanya kedudukan Felda sebagai ejen pengurusan dikaji semula. Peneroka sudah mampu berdikari dan disambung oleh anak peneroka tanpa cengkaman Felda, hutang piutang, bermacam-macam perjanjian, sekatan dan tentunya pendapatan mereka jauh lebih lebih lumayan apabila tiada penglibatan pihak ketiga yang mengaut keuntungan melampau.
Generasi baru Felda yang berpendidikan mampu untuk mentadbir penempatan mereka sendiri dengan kerjasama erat agensi kerajaan negeri termasuk badan-bdan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Persatuan Pekebun Kecil serta menikmati subsidi seperti masyarakat di kampung. Felda hanya berfungsi setakat urusniaga kedai D’Mart, pemasaran komoditi dan lain-lain berasaskan persaingan semasa. Pendekatan ini membuka ruang penyertaan generasi muda lebih terarah dan jaminan masa depan lebih baik.
Tangani gejala sosial
Keempat, menangani gejala sosial. Pendekatan menangani gejala sosial mesti lebih seimbang dengan memperbanyak aktiviti keagamaan. Penekanan kepada program sukan sama ada Akademi Bolasepak Felda, Rally Felda, Liga Futsal Felda dan pembinaan Kompleks Sukan Komuniti sememangnya wajar tetapi kesungguhan mempelbagaikan program kerohanian menjadi tanda tanya. Jika pasukan Rela, Rukun Tetangga dan sukarelawan boleh diwujudkan untuk membantu polis memerangi jenayah, sudah sampai masanya sukarelawan membanteras maksiat juga ditubuhkan. Mekanisme bersama JKKK, Jawatankuasa Masjid, Jabatan Agama dan lain-lain boleh dibentuk untuk tujuan tersebut.
Institusi masjid dan surau mesti diimarahkan dengan budaya ilmu dan tidak bersifat streotaip yang membosankan. Pendekatan menarik anak muda ke masjid harus ditangani segera kerana ketika ini 90 peratus yang mengimarahkannya adalah peneroka semata-mata.
Penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) seperti pemadam dan Pengasih mesti bermula di peringkat sekolah lagi dan sejauh mana keberkesanan pembangunan belia melalui Kem Bina Remaja, kursus pembinaan sakhsiah dan Rakan Waja diselenggarakan.
Percambahan idea bagi menyegarkan semula aktiviti golongan muda harus disegerakan dengan penyertaan semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan politik. Penekanan berlebihan aspek sukan dan hiburan hingga menenggelamkan soal pembinaan akhlak telah dirasai padahnya pada ketika ini.
Kelima, perbanyakkan peluang pendidikan dan kemahiran.Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di Wilayah Trolak walaupun terlewat 20 tahun, sangat dialu-alukan. Pakej pendidikan tajaan Felda dengan institusi swasta umpamanya Universiti Lim Kok Wing seharusnya bersifat sementara dengan langkah segera mewujudkan pusat pendidikan berskala besar milik Felda seperti dilakukan syarikat multi-nasional Petronas da TNB tetapi fokus kepada jurusan perladangan dan bio-teknologi.
Program kemahiran yang dibuat ketika ini seperti melepaskan batuk di tangga kerana langkah susulan tidak dilakukan yang akhirnya pasaran kerja tidak berasaskan kebolehan dimiliki. Mungkin karenah birokrasi mendapatkan peruntukan dan pinjaman meletihkan peserta kursus atau campurtangan politik menggagalkan tujuan asal yang baik.
Sikap pentadbiran Felda yang kurang meraikan keperluan generasi kedua di sesetengah tanah rancangan mesti ditegur segera atau campurtangan kerajaan negeri melalui agensi berkaitan dalam menyelaras peluang-peluang niaga, kemahiran dan pendidikan mesti dibuka seluas-luasnya dan info yang harus dihebahkan dengan pelbagai cara.
Matlamat awal ‘satu Felda satu produk pendidikan/kemahiran’ mungkin suatu perintis ke arah melahirkan lebih ramai belia Felda yang berdaya saing. "

Thursday, November 19, 2009

Hari Kecemerlang Pendidikan SKBP 2009



Hari Kecemerlangan Pendidikan Sek Keb Bandar Pusat ( SKBP ) telah diadakan pada 19hb November 2009. Perasmian disempurnakan oleh Timbalan PPD Maran Tuan Hj Zainol bin Haji Daud.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PIBG ( Musaniff Abd.Rahman ), Timbalan Komander Pulapa Jengka ( NorAin ), NYDP ( Hamzah Abu Samah ) dan Ketua Balai Polis Bandar Jengka ( Azhar ). Seramai 387 orang pelajar menerima hadiah dengan pelbagai kategori.

Pada hari yang sama juga keputusan UPSR telah diumumkan. Seramai 11 orang pelajar memperolehi 5A, 4A 1B ( 15 orang ) dan 3A 2B ( 6 orang ). Secara keseluruhan SKBP memperolehi 77.78 % lulus semua mata pelajaran meningkat 2.53% daripada tahun lepas. Tahniah kepada pelajar yang bejaya.

Sunday, November 15, 2009

Ihtifal Pasti Bera di Tasik Bera


Tahniah kepada Pasti kawasan Bera yang telah berjaya menganjurkan Ihtifal pada 15hb November 2009 baru-baru ini. Ihtifal ini di adakan di Dewan Tasik Bera. Kehadiran ibubapa /penjaga amat memberangsangkan hingga ada yang tidak boleh masuk dewan.

Perasmian dilakukan oleh Sdr Musaniff bin Abd Rahman.


Apa yang menarik kali ini adalah terdapatnya seorang pelajar PASTI ( 6 tahun ) dari kaum india dan beragama hindu. Hadirin terhibur apabila pelajar ini bersama-sama kawan-kawannya mempersembahkan beberapa buah nasyid di dalam majlis tersebut.

Thursday, November 12, 2009

Bai’ah

Bai’ah adalah merupakan sumpah taat setia. Kalau dalam perkhidmatan kerajaan ada ikrar dan sumpah simpan rahsia. Suatu ketika dahulu kakitangan perlu melakukan akujanji. Sekarang ini sibuk pasal PAS menjalankan bai’ah kepada calon pilihanrayanya.

Jika direnung betul-betul samada ikrar, sumpah simpan rahsia,akujanji, bai’ah atau lain-lain nama lagi tujuannya adalah satu untuk menjaga kepentingan pihak yang diwakili oleh individu tersebut.

Tidak salahpun melakukan sumpah kepada tujuan yang betul dan baik. Yang salahnya sumpah dilakukan untuk tujuan yang salah serta jahat. Betul dan baik adalah berdasar kepada ISLAM, iaitu ada nilai dosa dan pahala.

Sebagai contoh seseorang boleh melakukan solat jamak dan qasar apabila perjalanannya melebihi dua marhalah. Tetapi disana diletakkan syarat tujuan perjalanan adalah baik. Tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar jika hendak mencuri,menzalimi orang,berperang dengan Islam, menyaksikan hiburan yang melalaikan dan sebagainya.

Bai’ah yang dibuat oleh calon PAS adalah perjanjian dengan Allah. Tidak mungkin seseorang itu akan ingkar dengan janjinya kepada Allah. Tidak timbul soal penganiayaan kepada kaum wanita, tetapi sebaliknya meletakkan wanita ditempat yang penting di dalam kehidupan. Mereka dihormati ,disayangi dan dijagai bukan diperdagangkan.Sebagai contoh hukuman potong tangan akan dilaksanakan kepada pesalah mencuri. Tidak akan ada orang yang berlumba-lumba untuk mencuri supaya tangannya boleh dipotong. Begitu juga tidak akan ada wakil rakyat PAS yang sanggup menggadai maruahnya hanya kerana RM untuk menduduki tahta berdosa.

Mungkin ada orang yang menimbulkan persoalan hukuman potong tangan kepada pesalah mencuri itu zalim kerana memotong tangan sesama manusia. Orang yang menimbulkan persoalan ini sebenarnya tidak percaya kepada hukuman Islam adalah adil. Adil itu pula adalah kepada seluruh manusia termasuk alam. Bukan sahaja tidak percaya malah tidak mahu hukuman yang adil ini dilaksanakan. Orang yang cerdik mesti mahu kepada perkara yang baik dan adil manakala orang yang mahu sebaliknya bermakna orang itu tidak cerdik.

Begitu jugalah orang yang menimbulkan soal bai’ah di kalangan calon PAS sebenarnya mereka ini irihati kepada kemantapan dan ketaatsetiaan wakil rakyat PAS kepada parti mereka.

Kenapalah sekarang ini pihak tertinggi UMNO suka sangat melaga-lagakan pimpinan PAS? Memburuk-buruk PAS? Adakah kerana UMNO mempunyai masalah dalaman yang besar yang sukar diselesaikan? Kenapa takut kepada bayang-bayang UMNO sendiri? Kemana pergi semangat Bagan Pinang yang dilaungkan ketika perbentangan bajet 2010?. Semua ini perlu dijawab oleh UMNO. Cengkaman dan ugutan yang telah 50 tahun dilakukan oleh UMNO/BN kepada rakyat sebenarnya telah mula menunjukkan bibit-bibit memakan tuan. Dan jawapannya ialah UMNO perlu segera berundur dari pemerintahan Negara dan Negeri demi rakyat Malaysia.
Dengan serba ketidakadilan,ketirisan dalam urustadbir kerajaan,ugutan dan lain-lain mungkin selepas ini rakyat Malaysia akan berbai’ah yang berbunyi “wajib melepaskan diri dari cengkaman UMNO/BN dalam PRU 13”.
~musaniff.blogspot.com

Friday, November 6, 2009

MB Nizar atau Zamry MB ?


Semalam keputusan mahkamah mengenepikan permohonan MB Nizar agar kes siapa MB Perak didengar oleh sebelas hakim. Mendapat pelbagai reaksi rakyat, terutama penyokong PR. Rakyat sebenarnya tak kira berapa hakim yang hendak dengar penghakiman kes ini. Tetapi rakyat mahu kes ini diadili dengan sewajarnya. Pun begitu rakyat tidak mahu kes ini berpanjangan, mereka dah muak.

Perkara ini boleh diselesaikan tanpa penghakiman mahkamah, iaitu bubar sahaja DUN Negeri Perak biar rakyat jadi hakim. Apabila kes ini diseret sehingga ke hari ini mesti ada sesuatu yang tak kena. Maka yang tak kena inilah yang perlu rakyat kenakan. Siapa sebenarnya tak mahu sangat bubar DUN Perak? Maka mereka inilah yang perlu dikenakan.

Tetapi isu siapa MB Perak masih belum selesai. Adakah MB Nizar atau Zamry MB?. Kalau mengikut longhat orang Temerloh, Bera dan Maran jika gelaran disebut dahulu daripada nama maknanya orang itu memang memegang gelaran itu. Tetapi jika nama disebut dahulu daripada gelaran maknanya orang itu gila gelaran. Contoh ialah Dr Yusuf bermakna personel ini adalah seorang doktor. Tetapi apabila disebut Yusof Dr bermakna personel ini boleh jadi gila hendak jadi doktor ataupun 'cembongan' orang kampong kerana lagak personel ini semacam doktor tetapi hanya seorang pembantu makmal yang bekerja di bahagian farmasi.

Tuesday, November 3, 2009

Pawang Kadir adalah ahli PAS




Baru-baru ini saya balik ke Kampong Bukit Keledang dan singgah sebentar di Rumah Besar untuk zairah wan Siti. Sambil bersandar di kerusi saya terpandang sijil PAS yang diframekan dan disangkutkan di dinding rumah. Saya dekati dan amati, sahlah bahawa Tok Pawang Kadir iaitu aki saya telah menjadi ahli PAS, sejak tahun 1981.


Tertera disitu bilangan keahliannya ialah 1666673 pada 16 Ogos 1981. Saya cukup gembira kata Musaniff menceritakan kepada kami. Pawang Kadir dilahirkan pada tahun 1907 dan meninggal dunia pada tahun 1987 ketika berumur 80 tahun.

Sunday, November 1, 2009

Mesyuarat Ahli Keluarga Pawang Kadir ( AKPK )


Mesyuarat AKPK bagi membincangkan Majlis Perjumpaan telah diadakan pada 31hb Oktober 2009 baru-baru ini dan telah memperolehi kata sepakat seperti berikut, kata Musaniff Ketua Urusetia AKPK selaku pengerusi majlis tersebut


Majlis Perjumpaan Keluarga Pawang Kadir

Tarikh : 28hb November 2009 ( Sabtu - Hariraya Aidila Adha ke 2 )
Tempat : Rumah Besar Kg Bukit Keledang
Masa : Bermula jam 7.30pg hingga 5.30ptg

Aturcara:

7.45pg : Penyediaan menyembelih dan menyembelih seekor lembu di halaman Rumah Besar Kg Bukit Keledang.

8.30pg : Melapah dan menyiang daging

10.00pg : Memasak makanan ( daging, sayur, nasi dan lain-lain )

11.00pg : Acara permainan ( Kanak-kanak )

12.00tgh : Makan tengahari

1.10ptg : Solat Zohor

1.45ptg : Takbir dan Tahlil keluarga

2.15ptg : Acara memperkenalkan keluarga
: Cabutan bertuah
: Ucapan keluarga
: Ucapan tetamu
: Penyampaian hadiah

5.00ptg : Sesi bergambar beramai-ramai

5.30ptg : Bersurai


Musaniff menambah agar setiap keluarga dapat membawa satu jenis makanan masing-masing. Satu keluarga satu jenis makanan,untuk minuman pagi di Majlis perjumpaan tersebut.


Semua AKPK diharap dapat hadir ke Majlis Perjumpaan Keluarga Pawang Kadir kali ketiga ini.

Majlis Korban Perdana PAS Bera 1430

PAS Kawasan Bera akan menganjurkan Majlis Korban Perdana pada 27 November 2009 di laman Darul Ikhwan Mengkarak. Kepada sesiapa yang berminat menyertai program korban ini bolehlah menghubungi wakil-wakil telah dilantik. Pada tahun ini harga sebahagian ialah RM 320.00 sahaja.

Tarikh akhir pembayaran adalah sebelum atau pada 20hb November 2009. Menurut Ust Asmadi bin Mohamad selaku pengerusi program korban ini dibuka kepada sesiapa yang berminat dan boleh menghubungi wakil-wakil yang di lantik ataupun kepada beliau sendiri.

Berikut adalah nama wakil-wakil tersebut,

1. Ust Sulaiman Mohamad 019 955 0377
2. Ust Muhayedin Hussain 013 922 8891
3. Saha Othman 019 966 5093
4. Ust Che Zuhar Che Harun 019 976 6516
5. Ust Md Yusof Che Din 013 236 0132
6. Mustafa Ismail 013 664 6563
7. M.Roslan Mohd Nor 019 949 4912

PAS Bera juga akan mengadakan solat sunat Aidil Adha di Dewan Darul Ikhwan, orang ramai dijemput menyertainya.

Tuesday, October 27, 2009

Permukaan jalan mengundang bahaya


Permukaan jalan yang terlalu beralun menyebabkan pemandu kenderaan terkejut dan boleh menyebabkan kemalangan. Jalan yang di maksudkan ialah dari simpang Kg Awah menuju ke Bandar Pusat ( kawasan kebun getah sebelum simpang kilang getah Kg Awah ).

Kebanyakkan kenderaan yang menuju arah Bandar Pusat apabila melalui kawasan ini akan cuba mengelak daripada lalu ‘ kawasan beralun ‘ ini.

Diharapkan pihak JKR atau Roadcare dapat memperbaiki segera keadaan jalan tersebut demi keselesaan pemandu.

Saturday, October 24, 2009

Dua unit rumah contoh PWF Felda Triang 3


Dua unit rumah contoh ini di jangka siap penghujung bulan oktober 2009 ini. Menurut Jurutera Projek, projek penyediaan tapak PWF seluas lebih kurang 11 hektar itu akan siap serentak pada tarikh yang sama.

Wednesday, October 21, 2009

Biarlah koi mati dalam UMNO…..

Ini adalah ungkapan terakhir seorang peneroka di Negeri Pahang sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Peristiwa ini berlaku beberapa hari lepas. Allahyarham adalah seorang peneroka felda di Negeri Pahang ( daerah Maran ) berumur sekitar 70 tahun. Beliau terlantar sakit tua di rumahnya. Lalu rakan taulan juga jiran datang untuk menziarahi.

Kebetulan agaknya yang menziarahi beliau kebanyakkannya adalah ahli dan penyokong PAS. Mungkin juga kebetulan saudara mara dan jiran-jirannya mempunyai perbezaan idealogi politik dengan beliau. Namun bagi saudara mara dan jiran-jiran itu tidak penting. Apa yang penting sekarang ialah memberi semangat serta kekuatan juga keyakinan agar beliau dapat bersabar atas dugaan Allah dan bersyukur sekiranya beliau dapat sihat kembali.

Pada hari itu, seorang saudaranya telah bertanya “ Macamana keadaan sekarang ini? “. Lantas beliau menjawab “ biarlah koi mati dalam UMNO…”. Semua orang yang mendengar perkataan yang diucapkan itu terpinga-pinga, dan minta beliau mengucap dua kalimah syahdah dan banyak menyebut nama Allah. Namun apakan daya seorang insan , saudara mara serta jiran-jiran tidak mampu melakukannya…maka beliau telah pergi buat selama-lamanya selepas ungkapan itu.

Peristiwa ini adalah sebagai pengajaran. Penulis tidak mahu memburukkan mana-mana individu. Untuk pengetahuan, peristiwa ini benar-benar berlaku mungkin ada hikmah di sebaliknya. Sebagai peringatan sebagai seorang Islam sentiasalah berdoa agar kita mati dalam Islam dan bersama dengan Islam di dalam hidup dan hayat kehidupan kita.

Monday, October 19, 2009

Jangan makan sebarang makan nanti payah bangun solat subuh ?

Jamuan hariraya aidil fitri sudah mula melabuhkan tirainya. Dengan maksud tamat bulan syawal maka tamatlah hariraya aidil fitri. Namun kepada sesiapa hendak buat jamuan apa-apa sempenapun boleh buat.

Ramailah individu dan tidak kurang juga syarikat serta jabatan kerajaan yang turut membuat jamuan terbuka hariraya. Semasa menulis inipun saya baru balik dari jamuan raya rumah seorang teman (seorang guru ).

Tapi baru-baru ini saya sempat menghadiri jamuan hariraya sebuah syarikat. Saya dijemput dengan kad, maka datanglah saya bersama anak sulung saya. Menunya hebat-hebat. Maklumlah syarikat yang bertaraf GLC,maka diantara tetamunya ialah YB-YB dan orang-orang politik setempat.

Jamuan itu dibuat pada malam hari, dan kami sampai disitu pukul 9.00 malam serentak dengan itu hujan turun. Apabila hujan mula berhenti kami lihat beberapa orang berbaju batik dan berpakaian pakaian melayu bersamping penuh kami agak itulah VIPnya. Sebentar kemudian ternampak sesuatu yang berasap kemudian berbunyi memecahkan suasana. Rupa-rupanya mereka membakar mercun bunga api ada yang berbunyi dan ada yang mengeluarkan cahaya bunga api yang cantik.

Tempat makan kami sebenarnya diasingkan. YB-YB dan VIP lain ditempat didalam dewan yang bertutup. Manakala kami berada diluar dibawah khemah.

Selepas makan kami pun pulang. Tetapi malang tak berbau pada pagi itu saya bangun kesiangan lalu melakukan solat subuh gajah. Selepas solat saya termenung kenapa perkara ini boleh berlaku sedangkan malam tadi saya tidak awal. Tiba-tiba saya teringat akan kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ustaz beberapa bulan lalu iaitu tentang majlis yang dianjurkan tetapi tidak didatangi oleh para malaikat maka syaitanlah yang akan datang.

Diantara ciri-ciri majlis yang tidak didatangi oleh malaikat ialah tidak menyebut kebesaran Allah, tidak diingatkan tentang syurga dan neraka,tidak menjemput orang miskin, diadakan hanya untuk menunjuk-nunjuk dan menggunakan wang yang tidak baik.

Lantas saya pun bertanya diri sendiri adakah majlis malam tadi mempunyai ciri-ciri diatas ? Tiada jawapan untuk itu. Lalu saya bertanya lagi itu baru pasal majlis makan macam pula kalau perkara yang lebih besar...sama-samalah kita fikirkan.

Friday, October 9, 2009

Ceramah di Darul Ikhwan




Majlis Tindakan DUN Guai menganjurkan program ceramah




Tarikh 15 Okt 2009


Jam 9.30 malam


Tempat Darul Ikhwan, Mengkarak




Dato' Pesuruhjaya PAS Pahang turut akan melancarkan dana pilihanraya MTD Guai pada malam itu. Orang ramai dijemput hadir.












Tuesday, October 6, 2009

Selepas 9 tahun LKWJ pergi…. Bandar Jengka bakal menjadi Bandar kunta kintae?


Pada 2hb Oktober 2009 baru-baru ini genaplah sembilan tahun usia pemergian Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka ( LKWJ ). Serentak dengan tarikh itu juga sebenarnya sembilan tahun lepas Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara ( DARA ) juga turut dibubarkan.

Kedua-dua LKWJ dan DARA adalah merupakan agensi persekutuan yang bertanggungjawab membangun serta memajukan kawasan-kawasan di dalam Wilayah Jengka dan Pahang Tenggara. Sebelum dibubarkan kedua-dua agensi ini berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ( KPLB ) yang turut bersama ialah KEJORA
( Johor ), KEDA ( Kedah ), PERDA ( Pulau Pinang ), KESEDAR ( Kelantan ), KETENGAH ( Terengganu ) dan beberapa agensi lagi yang mewakili setiap negeri.

Isu pembubaran semua agensi di bawah KPLB pada masa itu sebenarnya menjadi topik hangat yang diperbincangkan kerana di peringkat kementerian telah meletakkan semua agensi ini telah mencapai matlamatnya. Didalam menangani isu ini semua Menteri Besar telah mengemukakan bantahan kecuali Negeri Pahang. Namun sehingga kini agensi yang belum dibubarkan itu masih mampu meneruskan sisa tanggungjawabnya.

Sebenarnya Negeri Pahang telah kehilangan dua agensi pusat yang memang banyak membantu terutamanya di dalam program pembangunan infrastruktur dan sosial masyarakat. Baru-baru ini kedengaran berita satu agensi seumpama peranan LKWJ dan DARA akan diujudkan. Tetapi sehingga sekarang tiupan angin keujudan agensi itu semakin lesu.

Di pihak bekas-bekas kakitangan LKWJ, sedang meneliti pemkembangan ini. Mereka masih teringat akan ungkapan dari pihak KPLB dan ahli pengurusan LKWJ pada masa itu berjanji bahawa sekiranya LKWJ atau badan yang seumpama dengannya diujudkan semula maka bekas-bekas kakitangan akan diberi keutamaan untuk mengisi jawatan-jawatan yang ada.

Apabila LKWJ dibubarkan, KPLB telah memberi kepercayaan kepada Warisan Jengka Holding ( WJH ) dengan ‘ menjualkan aset-aset’ dan memberikan tenaga kerja dikalangan beberapa orang bekas kakitangan LKWJ melalui kaedah ‘ Management Buy Out ‘ ( MBO ). Sejarah keujudan WJH ialah melalui perkongsian tiga kepentingan iaitu Pasukan Pengurusan LKWJ ( Wawasan Jengka Sdn Bhd ) , Kerajaan Negeri Pahang
( YBK ) dan Kakitangan LKWJ (KESKA COORPORATION).

Keujudan Bandar Jengka sememangnya ada kaitan rapat dengan matlamat LKWJ. Namun apabila agensi ini telah dibubarkan Bandar Jengka seolah-olah kurang bermaya untuk melangkah sebagai ‘ Bandar Bumiputera ‘ yang ulung dan berjaya. Berada dalam pertadbiran Daerah Maran tetapi dari segi persempadan pilihanraya berada di bawah Parlimen Kuala Krau.

Hasrat besar penduduk Wilayah Jengka malah matlamat LKWJ yang tidak kesampaian ialah ingin menjadi Bandar Jengka sebagai sebuah daerah. Tetapi apakan daya apabila zaman berubah, manusia pun berubah. Pun begitu perjuangan ahli politik juga turut berubah.

Ada yang menyatakan Bandar Jengka ini seolah-olah tidak menjadi perhatian serius untuk di bangunkan oleh pentadbiran Daerah Maran dan tidak juga diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh oleh ahli politik di bawah Parlimen Kuala Krau. Maka Bandar Jengka suatu hari bakal menjadi Bandar Kunta Kintae, tiada sesiapa yang peduli.

Tanda-tanda kearah itu seolah-olahnya telah ada iaitu dengan terbinanya jambatan Kuala Krau ada kemungkinan Kuala Krau akan menjadi sebuah daerah.

Coretan ini adalah hasil temubual team MG dengan Musaniff bin Ab.Rahman dan beberapa orang bekas kakitangan LKWJ yang namanya tidak disiarkan. Musaniff adalah bekas pemangku Pengurus Bahagian Perkhidmatan Teknik LKWJ, menyeru agar ada pihak yang melihat perkara ini dengan serius.


Monday, October 5, 2009

Jamuan Aidil Fitri PAS Bera meriah


Bermula jam 3 petang hingga 5 petang pada 4 Oktober 2009 bertempat di Dewan Darul Ikhwan, Mengkarak. Dengan kehadiran 1,500 orang pengunjung jamuan hari raya PAS Bera .


Diantara pimpinan Pakatan Raya yang hadir ialah Sdr Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat ), YB Adun Triang Leong Ngah Ngah ( DAP ), Tuan Haji Abas Awang ( Pengerusi PKR cabang Bera), En Abu Bakar Lebai Sudin ( Tim.Pengerusi DAP Pahang ) serta semua AJK PAS kawasan Bera.

Monday, September 28, 2009

JAMUAN AIDIL FITRI DAN CERAMAH PAS KAWASAN BERA


Pas Kawasan Bera akan menganjurkan dua program pada tarikh yang sama iaitu,


1. Jamuan Hari Raya Aidil Fitri

Pada 4 Okt 2009

Jam 3 ptg hingga 5 ptg

( Darul Ikhwan, Mengkarak )



2. Ceramah Umum oleh


YB Dato Paduka Husam bin Musa

( Exco Kerajaan Negeri Kelantan merangkap AJK PAS Pusat )


YBHG Sdr Mazlan bin Aliman

( AJK PAS Pusat )


YBHG Ust Sulaiman bin Mohd

( YDP PAS Kawasan Bera )


Pada 4 Okt 2009

Jam 9.15 malam ( Darul Ikhwan, Mengkarak )


YDP, TYDP dan seluruh AJK PAS Kawasan Bera menjemput orang ramai hadir kedua-dua majlis tersebut.

Friday, September 25, 2009

Pasar basah tepi jalan


Keujudan pasar basah yang menjual keperluan dapur seperti ikan-ikan segar dan hasilan laut juga sayur-sayur serta lain-lain amat diperlukan oleh orang ramai terutama selepas hari raya pertama. Tetapi kedudukan pasar basah ini yang didirikan di tepi jalan dan berhampiran simpang boleh mengundang bahaya.


Kami telah mendapati keujudan pasar ini amat disenangi oleh penduduk sekitar jajahan Bandar Jengka, kerana keperluan lauk,sayur serta perkara-perkara lain ada di sini. Namun oleh kerana kedudukannya yang menganggu lalu lintas kenderaan, maka kami cadangan agar pihak yang berwajib dapat menyediakan kawasan yang lebih sesuai untuk mereka berniaga tetapi tidak jauh daripada kawasan ini.

Monday, September 21, 2009

Perdu Abd Rahman berkumpul


1 Syawal 1430 telah mencatatkan sejarah kepada Perdu Abd Rahman. Kerana pada tarikh itu semua ahli keluarganya dapat berkumpul serta berhariraya bersama di dalam suatu majlis di rumah anaknya yang ketujuh.

Abd Rahman adalah anak sulung Pawang Kadir dengan isterinya yang pertama bernama Siti Maryam. Pawang Kadir mempunyai 14 orang anak ( Perdu )dan tiga orang isteri. Manakala Abd Rahman telah meninggal dunia pada 4hb Mac 2006/4 Safar 1427
( 1932 – 2006 ) berusia 74 tahun.Disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Keledang sebelum waktu Zohor pada 5hb Mac 2006.

Diatas daya usaha anak cucu Pawang Kadir, mereka telah berjaya mengadakan dua kali pertemuan Keluarga Pawang Kadir setiap Hariraya kedua Aidil Adha. Bagi tahun ini,menurut maklumat urusetia perjumpaan Keluarga Pawang Kadir mereka juga akan mengadakan pertemuan yang ketiga pada masa yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Seramai 57 ahli keluarga Perdu Abd Rahman telah bertemu dan berhariraya bersama pada 1 Syawal 1430. Bagi mengingati kenangan ini seorang ahli keluarga Perdu Abd Rahman telah merakamkan dalam bentuk gambar saat-saat kemuncak majlis tersebut.

Berbahagialah siapa yang dapat bertemu Lailatul Qadar

Hari ini genaplah umat Islam di Malaysia dan Negara yang sewaktunya berpuasa. Esok adalah hari raya. Walaupun hanya 29 hari sahaja bulan Ramadhan tahun ini tetapi Lailatul Qadar tetap juga muncul.

Sebelum mencoret berkaitan Lailatul Qadar, suka juga diperingatkan bahawa Hari Raya bukannya hari raya sakan sampai terlupa malaikat tak cuti. Maksudnya hidupkan budaya kunjung mengunjung, ziarah mengziarahi, bermaafan dan berbagai lagi selagi tidak melakukan perkara yang ditegah oleh Islam.

Ok lah, apa pasal pulak hendak cerita pasal Lailatul Qadar sedangkan hari ini dah 1 Syawal. Ini semuanya kerana suatu peringatkan kepada pembaca bahawa sepanjang sebulan kita impikan untuk bertemu Lailatul Qadar, entah bertemu entahkan tidak.Tiba-tiba baru sedar bahawa 1 Syawal telah menjelma, adakah pencarian Lailatul Qadar kita itu tidak dibuat sedikit bedah siasat. Buatlah sendiri!

Kami mendapat maklumat bahawa ramai di antara ahli jemaah surau dan masjid pada tahun ini mendirikan solat malam bermula jam 4 pagi hingga 5 pagi tiap-tiap hari sepanjang 10 terakhir bulan ramadhan. Secara akalnya sudah pasti mereka ini akan berjumpa berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w bahawa Lailatul Qadar akan berlaku pada tempoh berkenaan.

Tidak kurang juga ada yang buat di rumah secara bersendirian dan senyap-senyap secara penuh 10 malam terakhir dan ada juga buat jarang-jarang. Tetapi yang pentingnya pada malam berlakunya Lailatul Qadar itu kita dapat bersama serta melakukan ibadat dan berdoa kepada Allah swt.

Bagi memenuhi ruangan tak seberapa ini dicoretkan sedikit pengalaman insan-insan yang bertemu Lailatul Qadar dan kesannya terhadap kehidupan individu berkenaan selepas itu.

1.Mereka ini sangat rindu kepada Ramadhan dan berhasrat hendak bertemu lagi Ramadhan akan datang.
2. Semasa berhariraya mereka ini banyak melakukan perkara yang baik dan tidak cenderung langsung melakukan maksiat ( walaupun sebelum ini mereka suka berada didalam suasana serta menganjurkan program maksiat )
3. Solat lima waktunya sangat dijaga. Tambahan mereka ini telah mula solat berjemaah di Surau atau Masjid terutama solat Isyak dan Subuh.
4. Mereka ini selalu berdoa dan terkadang-kadang sehingga menitiskan air mata semasa berdoa ( sebelum ini mereka tidak pernah )
5. Kehidupan keluarga dirasakan bahagia walaupun tidak mempunyai harta
6. Sentiasa membantu ahli masyarakat
7. Selalu membaca terutama buku-buku yang berkaitan dengan agama. Malah ada yang menjadikan membaca Al Quran tiap-tiap lepas solat subuh secara istikomah.
8. Mereka ini segera melakukan puasa enam hari dalam bulan syawal
9. Lahir perasaan kasih dan sayang kepada anak-anak serta isteri
10. Terpancar di muka mereka sinar cahaya yang menunjukkan insan yang bahagia.
11. Dan sentiasa menyatuni dengan baik rakan berbual ( dulunya sentiasa kasar )

Friday, September 18, 2009

Tok 4 guna nama orang kampong untuk dapat projek

Seminggu lepas saya didatangi oleh dua orang penduduk kampong di dalam DUN Guai. Hasrat mereka adalah untuk mencari pengamal perubatan tradisi yang berkaitan dengan makhluk halus. Ini adalah kerana kawan yang dibawa bersamanya itu disyaki diganggu makhluk halus.

Lantas Din yang membawa kawannya yang sakit itu, meminta kalau-kalau saya boleh berikhtiar dan berdoa agar kawannya yang bernama Hasan bebas dari gangguan makhluk halus itu. Puas menyatakan bahawa saya tidak pandai, namun setelah didesak dan demi memenuhi hajat mereka sayapun berdoa kepada Allah agar hasrat mereka dikabulkan.

Sebelum mereka beredar sempat juga kami berbual berkaitan dengan kampong yang Din tinggal sekarang. Kata Din, Tok 4 selalu menggunakan nama orang kampong untuk mendapatkan projek. Setelah projek itu diluluskan maka projek itu menjadi hak Tok 4 dan penama yang digunakan itu tidak dapat sedikitpun. Ada satu kali tu Tok 4 ini hampir mendapat habuan penampar anak kepada penama yang dia gunakan, ujar Din.

Kampong yang dihuni oleh Din adalah bersebelah dengan sebuah kampong lain. Namun kampong Din jauh dari segi mendapat peruntukkan dan projek pembangunan dan sosial. Walaupun permohonan dibuat melalui kampong Din tetapi apabila dilaksanakan ia dilaksanakan di kampong sebelah, tambah Din lagi.

Sekarang ini orang di kedua-dua kampong ini telah mula marahkan Tok 4 dan YB kerana tidak berlaku adil kepada orang kampong dan kampong.

Adalah diharapkan agar Tok 4 dan YB berkaitan dapat mengamalkan slogan “ Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan “ bukan slogan “ Tok 4 didahulukan kroni diutamakan “.

Friday, September 11, 2009

Rebut peluang bersama Lailatulqadar

Sekarang telah masuk fasa ketiga bulan Ramadhan. Iaitu fasa dibebaskan dari azab api neraka. Dimana didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Itulah malam Lailatulqadar.

Kalau dulu-dulu kita tidakpun terpanggil untuk merebut peluang ini. Kita hanya sibuk bersama anak cucu memasang lampu panjut dan bermain mercun serta bunga api. Malam Qadar pada kita hanya sebuah cerita yang tidak tercapai oleh kita. Ia hanya berlaku zaman dulu dimana diceritakan pada malam itu pokok sujud dan air membeku.

Boleh ke kita menemuinya? Kalau bertemu apa kita nak buat ? Kalau kita berkesempatan bersama malam itu apa pula akan terjadi kepada kita selepas itu?. Itulah beberapa soalan yang mungkin berligar didalam benak kita.

Allah sentiasa adil dan menunaikan janji. Ingat ! hidup kita di dunia hanya sementara, di akhirat sahaja hidup kita akan kekal abadi.

Bagi soalan pertama, jawapannya sesiapapun boleh. Asalkan kita berusaha bersungguh-sungguh menemuinya. Kita telah diberitahu bahawa Malam Qadar akan berlaku sepuluh malam terakhir dan berlaku pada malam-malam yang ganjil. Ayuh mulai malam dua puluh hingga ke malam akhir, kita berusaha mencarinya.

Cara yang paling mudah ialah mengamalkan Qiamullail bermula malam ke dua puluh hingga malam akhir ramadhan. Setiap awal pagi bermula 4.00pagi hingga 5.00pagi. Lepas itu bersahur seterusnya solat subuh berjemaah. Jika diizinkan Allah kita akan berjaya melakukan Qiamullail setiap malam itu, sudah tentunya sepuluh malam itu berada salah satunya ialah Malam Qadar.

Dalam tempoh sejam itu kita boleh lakukan solat sunat tahajut, tasbih dan taubat.

Manakala untuk soalan kedua, apabila kita bertemu mohonlah empat perkara iaitu keberkatan dalam hidup, diampunkan dosa, dimasukkan kedalam syurga dan dijauhkan dari azab neraka.

Sunday, September 6, 2009

Abdul Razak bin Hussin sepatutnya sudah di tangkap tahun 1955

Kalau orang melayu tak menggunakan fikiran sudah tentu Abdul Razak bin Hussin telah di tangkap sekitar tahun 1955. Ini adalah sebuah cerita yang diceritakan kepada saya oleh seorang bekas pasukan polis khas semasa pemerintahan Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu.

Peristiwa ini berlaku di Kuala Krau, Pahang. Waktu itu Abdul Razak bin Hussin iaitu Tun Abdul Razak sedang sibuk berkempen memberi kesedaran orang melayu untuk membebaskan Negara dari tangan Inggeris.

Satu perintah telah dikeluarkan oleh kerajaan Inggeris kepada setiap balai polis di Pahang agar menangkap sesiapa yang bernama Abdul Razak bin Hussin. Pada hari itu Abdul Razak bin Hussin telah turun dari keretapi di Kuala Krau, lantas seorang pasukan polis khas Inggeris berbangsa melayu telah menyapa dengan pertanyaan ‘ Encik ini Abdul Razak bin Hussin?’ Dengan ikhlas Abdul Razak menjawab ‘ ya ‘.

Demi mendengar jawapan itu pasukan polis khas Inggeris berbangsa melayu ini terus meminta Tun Razak agar naik keretapi semula dan meneruskan perjalanan ke tempat lain. Sikap yang ditunjukkan oleh polis ini walaupun bertugas dengan Inggeris tetapi masih boleh menggunakan fikirannya . Polis berkenaan sempat bertanya kepada dirinya adakah arahan yang diberikan ini betul atau menguntung bangsaku dan agamaku, lantas mereka mengingkarinya.

Cubalah kita lihat apa yang berlaku didalam Negara kita ini. Pegawai dan kakitangan awam tidak boleh menilai manakah arahan yang diberikan itu berfaedah kepada Negara atau berfaedah kepada satu golongan sahaja yang mana membawa petaka kepada Negara. Mereka ini menurut sahaja apa yang diarahkan ,boleh dikatakan tanpa memikirkan betul ataupun salahnya.

Sudah tiba masanya lakukan sesuatu yang betul seperti yang telah ditunjukkan oleh Pasukan Polis Khas Inggeris itu.

Friday, September 4, 2009

Majlis Titisan Ilmu SKBP 2009 amat bermakna


Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat hari ini mengadakan Majlis Titisan Ilmu. Bermula dengan ceramah motivasi oleh En Mohd Nazri bin Mohd Nor pensyarah UiTM Jengka bertajuk strategi terakhir menghadapi peperiksaan amat menarik minat pelajar, guru dan ibubapa yang hadir.

Selain Guru Besar yang menyampaikan ucapan, wakil guru,wakil murid dan wakil ibubapa juga diberi peluang.

Hasrat SKBP pada tahun ini agar dapat mencapai bilangan 20 atau lebih orang pelajar meraih 5A dalam keputusan UPSR 2009, ujar Guru Besar. Hasrat ini di kongsi bersama oleh YDP PIBG, AJK PIBG, ibubapa dan guru-guru.

Seramai 90 calon di SKBP yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 8hb,9hb dan 10hb September 2009 ini.

Majlis Titisan Ilmu ialah satu majlis halal menghalalkan , maaf memaafkan diantara pelajar, ibubapa dan guru. Ini bermakna 90 orang pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR akan datang telah dihalalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru kepada mereka. Manakala ibubapa turut mengucapkan terima kasih diatas pengorbanan yang diberikan oleh guru. Justeru itu guru menyambut dengan ucapan kami halalkan, terima kasih dan memohon maaf sekiranya terdapat apa-apa kekasaran yang pernah mereka lakukan.

Di akhir majlis, pelajar bersalama-salaman dengan semua guru dan ibubapa penjaga dan suasana ketika itu menjadi syahdu dengan tangisan pelajar,ibubapa serta guru dan mempamirkan kemesraan.

Media Guai mengambil kesempatan mengucapkan salam Ramadhan dan selamat menghadapai peperiksaan UPSR kepada semua calon seluruh negara dan di doakan agar kejayaan yang cemerlang bakal diperolehi.

Friday, August 28, 2009

Semua orang dah tolak, hanya kita aje yang tinggal lagi….

Ini adalah ungkapan yang kedengaran terkeluar dari mulut dua warga FELDA semasa berbual di salah sebuah stesen minyak di Daerah Bera. Mereka berdua sedang mengisi minyak kenderaan mereka.

Mungkin pembaca tak faham apa yang di maksudkan ungkapan di atas. Sebenarnya ini adalah merupakan penglihatan dan pemantauan mereka terhadap UMNO / BN selepas di umumkan keputusan PRK Permatang Pasir. Dimana Pakatan Rakyat melalui calon PAS menewaskan BN melalui calon UMNO dengan majoriti 4551.

Mereka memperkatakan bahawa sebahagian besar warga FELDA sahaja yang masih lagi memberi sokongan kepada BN. Manakala rakyat telah menunjukkan sikap bahawa mereka bersedia membuat perubahan tampuk kerajaan daripada BN kepada PR.

Dalam perbualan mereka, seolah-olah telah ada sesuatu perubahan berlaku. Sebab selama ini sebilangan besar warga FELDA akan terus menyokong BN walauapapun terjadi. Bagi mereka BN telah banyak membantu mereka. Baik dari segi sosial, ekonomi , kemasyarakatan dan pendidikan mereka banyak terhutang budi kepada BN. Mana mungkin BN yang telah banyak berjasa kita lupakan, kita harus pertahankan.

Tetapi senario di stesen minyak itu telah menggambarkan bahawa warga FELDA telah mula berubah angin. Apa sebenarnya terjadi? Sebenarnya banyak perkara yang berlaku di dalam FELDA tidak memuaskan hati warga FELDA. Baik dari segi layanan pihak pengurusan, mahupun mengujudkan suasana berpuak-puak di kalangan warga FELDA.

Begitu juga berkenaan pengurusan Kerja Kontrak di peringkat tanah rancangan juga di peringkat pusat. Mereka yang terlibat dan mengetahui perkara ini tidak mahu perkara ini diperbesarkan. Soalnya selama mana mereka sanggup mendiamkan diri? Mungkin suatu hari atau lebih tepat lagi perkara tersebut telah mula merembeskan onarnya sedikit demi sedikit.

Soalan yang lain timbul pula berkenaan isu mengabungkan FELDA, FELCRA dan RISDA dalam satu gabungan pintar. Apakah perlu ? atau kesempatan yang perlu? atau memang sangat perlu semasa ini sebelum kita tak diperlukan.

Tuesday, August 18, 2009

Marhaban Ya Ramadhan

Kalau 1 Ramadhan 1430H jatuh pada 22 Ogos 2009 ini, maka tinggal empat hari lagi umat Islam seluruh dunia akan berpeluang sekali lagi menunaikan ibadat PUASA.Apakah persiapan kita?

Kalau dulu-dulu kita kenalkan anak-anak cucu kita Ramadhan sebagai bulan PUASA. Ayuh kita tingkatkan sedikit, yakni mulai tahun ini kita kenalkan Ramadhan sebagai Bulan Ramadhan.

Rasionalnya ialah apabila kita sebut Ramadhan sebagai bulan PUASA maka kita kejutkan anak-anak cucu kita untuk bangun makan sahur jam 5.00 pagi, maka mereka selalu jawab dah sahur pukul 12.00 malam tadi. Jadi tak perlulah bangun. Tetapi apabila perkenalkan Ramadhan sebagai bulan RAMADHAN maka istilah makan sahur bernilai sebagai pahala kerana ia disunahkan oleh Nabi Muhamad s.a.w

Kalau dulu-dulu juga kita suka berpesta makan dengan makanan yang banyak-banyak. Ini tidak lain kerana Ramadhan kita kenali sebagai bulan PUASA. Jika kita kenali Bulan RAMADHAN maka, kita akan membeli dengan kadar yang patut sahaja dan membeli dari tangan orang yang menutup aurat serta sembahyang. Alangkah terasa sia-sianya PUASA kita apabila berbuka dari juadah yang kita beli dari orang yang tidak menutup aurat tambah lagi dari orang yang tidak sembahyang.

Bulan Ramadhan adalah bulan keberkatan dan keampunan, rebutlah peluang yang diberikan oleh ALLAH ini. Jangan tinggal satu rakaatpun solat terawih kerana solat sunat ini tidak ada dalam bulan lain.

Ziarah dan hulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutama jika mereka itu adalah saudara mara kita. Di samping anjurlah majlis berbuka puasa kerana sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka pahala orang yang berpuasa akan dapat kepada orang yang menganjurkan dengan orang yang berpuasa tidak cacat sedikitpun puasanya.


Sekali-sekala anjuran majlis berbuka bersama keluarga dan solat berjemaah bersama. Ambil peluang sedekahkan alfatihah dan doa kesejahteraan keluarga secara beramai-ramai kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia yang sangat kita kasihi.

Dan banyak lagi sebenarnya boleh dilakukan apabila kita kenali Ramadhan sebagai Bulan Ramadhan, iaitu bulan ibadah.......

Tuesday, August 11, 2009

Naib Presiden PAS ziarah mangsa himpunan aman ISA


YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS sempat berkunjung ke Bera dan menziarahi Sdr Abd Malik di Kampong Kuala Triang yang cedera di kedua-dua buku lali di sebelah petang sebelum menunaikan undangan ceramah PAS kawasan Temerloh pada sebelah malamnya.

Sdr Abd Malik tidak boleh berdiri dan berjalan sejak di hari kejadian sehingga ke hari ini kerana kedua tumit dan buku lalinya cedera. Beliau terjatuh semasa menyelamatkan diri dari tembakan gas pemedih mata dan meriam air berasid pihak polisfru semasa menyertai himpunan aman membantah akta ISA di Ibukota pada 1 Ogos 2009.

YB Salahuddin juga turut menyumbangkan sumbangan peribadinya semasa lawatan tersebut. Turut bersama dalam lawatan ziarah serta memberi sumbangan ialah YDP PAS Kawasan ( Ust Sulaiman ), Bendahari PAS Pahang ( Sdr Musaniff ), Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pahang ( Sdr Shahrul ) , beberapa orang AJK PAS Kawasan Bera dan AJK PAS Cawangan serta UPU Kuala Triang.
~ mtdguai@blogspot.com

Sunday, August 9, 2009

FENOMENA PASIR TIMBUL …

Gambar yang diambil adalah fenomena pasir timbul di Mengkarak Water Front. Adakah ini fenomena biasa ? Jawapan tidak, kerana…

Fenomena ini terjadi kerana isipadu air Sungai Pahang telah mulai berkurangan. Di dalam keadaan cuaca panas ini, peningkatan suhu menyebabkan air sungai panas dan menyejat ( naik ke udara ).

Perkara kedua yang dibimbingkan ialah macamana selamatkah pengguna dan hidupan di hilir sisa buangan kilang kertas yang dikeluarkan berhampiran jambatan Temerloh. Soalan ini timbul kerana semasa kebenaran yang diberikan adakah mengambilkira sekiranya paras air sungai surut sehingga ke tahap yang kritikal. Soalan ini perlu dijelaskan walaupun paras air sungai belum di tahap kritikal. Tetapi sekiranya cuaca panas ini berterusan,maka paras air sungai akan terus surut dan akan mencapai paras kritikal. Pihak bertanggungjawab perlu menangani keadaan ini agar ia tidak mengundang beberapa masalah kepada orang ramai, seperti penyakit dan lain-lain.

Friday, August 7, 2009

Mg Sambung: …….harga rakyat 1 sen?

Kami berhasrat untuk pergi ke SOGO untuk membeli barang-barang. Tetapi malangnya kami tak tahu kemana arahnya hendak pergi ke SOGO. Kami tekad menghala ke satu arah dan meneruskan perjalanan kami.

Lebih kurang 10 minit kami berjalan, kami bertembung dengan kumpulan yang melarikan diri sambil menutup mulut dengan penutup bertali. Di persimpangan itu kami mendengar siren polis, dan terus kami menuju kearah itu. Kelihatan permukaan jalan telah basah dan keadaan udara persekitaran pun memedihkan mata.

Tiba-tiba orang ramai berlari menyelamatkan diri, rupa-rupanya dikejar oleh polisfru. Kami pun lari melalui lorong kecil yang berdekatan dan terus menyusup suatu pagar besi jarang. Rupa-rupanya kami sampai ke suatu tempat dataran lapang dan berehat sebentar disitu. Selepas berehat hampir 30 minit kami mahu beredar dari situ tetapi kemana kami nak pergi?

Dalam keadaan yang tak tahu dimana sedang berada kami ternampak logo SOGO, rupa-rupanya kami telah sampai di belakang pasaraya SOGO.

Dipendekkan cerita, kami pergi ke hadapan pasaraya SOGO. Apa yang kami dapati ialah permukaan jalan basah dan semua kedai termasuk pasaraya SOGO tutup. Suasana disitu pada ketika itu lenggang. Kami berada berhadapan dengan kompleks pertama dan pasaraya SOGO berada di sebelah kiri kami.

Tiba-tiba lalu trak yang membawa polisfru melintasi kumpulan orang yang berada disitu. Setiap kali trak polisfru lalu, orang ramai akan bersorak mengeboo. Selang beberapa minit orang ramai bergembira dapat mengeboo trak polisfru yang kami jangkakan mereka beredar balik kerana ‘ peperangan telah selesai’ tiba-tiba kami terdengar siren kereta peroda polis dan di belakangnya ada trak merah. Orang ramai pun mula melangkah seribu tetapi trak merah tersebut adalah sebuah trak bomba.Demi melihat trak bomba kami pun membatalkan niat untuk melangkah seribu. Trak bomba dan ahli di dalamnya mendapat tepukkan gemuruh dari orang ramai.

Selang beberapa minit orang ramai berhimpun dalam sekelip mata memenuhi jalan di hadapan kompleks pertama itu kerana mendengar ucapan dari seorang pemimpin himpunan. Kami menjangkakan itu adalah ucapan terima kasih kepada orang ramai kerana sanggup datang dan berhimpun walaupun tidak dapat berjalan beramai-ramai secara aman ke Istana Negara. Selepas berucap selama 20 minit ,ucapanpun dah berhenti dan orang-ramai telah mula bersurai.

Kami pun mengambil keputusan untuk mencari station LRT yang berhampiran. Sebelum sampai ke station itu kami melalui beberapa trak dan kumpulan polisfru yang ramai disitu. Tiba-tiba kami diarahkan oleh polisfru agar menpercepatkan langkang kami. Kami pun tiba di station itu dan terus menaiki tangga menuju ke pintu station LRT tetapi malangnya pintu ke station di tutup.
Dalam keadaan kelab kabut di tangga pintu masuk ke station LRT itulah kami terdengar bunyi loceng polisfru dan ketukkan belantan dan diikuti pula oleh tembakan gas pemedih mata bertalu-talu kearah orang ramai yang masih berada di sekitar SOGO, tanpa rasa kesian belas. Kami rasakan inilah serangan polisfru secara agresif dan tegar kepada orang ramai.

Kami turun dari tangga dan diarahkan menyeberang ke pagar sebelah sana dan kami terperangkap disitu. Walaupun kami tidak di pukul atau di tembak gas pemedih mata tetapi kami melihat polisfru bertindak terlalu ganas kepada orang ramai.

Beberapa perkataan dan kelakuan polisfru yang sempat kami dengar dan nampak semasa peristiwa ini berlaku ialah:-

1. Polisfru telah memekik secara kuat kepada seorang gadis menyebabkan gadis tersebut menangis teresak-esak dan berpanjangan
2. “ Ingatkan pakai ikat kepala dengan kain merah ..dah berani sangat? Nak berjihad?....kenapa lari bila kena gas.
3. Mengejar ,memukul dan menangkap sesiapa sahaja ,mengikut citarasa mereka.

Akhirnya, kami pulang dengan menaiki teksi ke tempat letak kereta kami. Banyak perkara yang tidak kena,seolah-olahnya kerajaan BN ingin menjadikan peristiwa 1 Ogos 2009 ini sebagai suatu jerat agar rakyat membenci PAKATAN RAKYAT.

Semua orang tahu bahawa peserta perhimpunan aman ini adalah secara sukarela dan dihadiri oleh pelbagai pihak samada dari NGO , ahli serta penyokong PAKATAN RAKYAT dan individu perseorangan.

Monday, August 3, 2009

Polis hargakan rakyat dengan nilai 1 sen?

1 Ogos 2009 adalah hari yang sungguh baik dan cuacanyapun cukup baik. Kami bertolak dari destinasi ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 pagi. Hasrat kami adalah ingin turut melihat himpunan aman membantah ISA. Suasana jalanraya dari tempat kami bertolak sehingga ke Kuala Lumpur amat aman dan selesa.

Sesampai kami di Masjid Jamek, kelihatan ramai anggota mengawal pintu masuk ke Masjid. Kami di bagitahu bahawa pintu masjid telah dikunci dan tiada siapa yang dibenarkan masuk. Kami pun mengambil gambar suasana ketika itu, memang tenang dan aman. Oleh kerana perut lapar, kami pun mencarilah gerai-gerai minum yang berhampiran dan menhabiskan masa sehingga jam 12.00 tengahari disitu.

Kami pun kembali ke Masjid Jamek. Keadaannya telah mula berubah . Sudah ada penangkapan berlaku. Diantara yang ditangkap oleh Polis ialah sesiapa yang memakai baju atau tanda “ Mansuhkan ISA” yang lalu di sekitar pintu masuk Masid Jamek. Ada juga yang ditangkap kerana terdapatnya baju atau tanda “ Mansuhkan ISA” di dalam beg mereka. Kami sempat melihat sebuah trak polis telah dipenuhi oleh orang yang di tangkap. Terdapat juga beberapa orang berdiri di dalam trak tersebut.

Bermula dari trak yang membawa sarat orang yang di tangkap maka bermulalah kisah ini……..

Cerita 1,

Kira-kira pukul 1.00 petang polis telah mengarahkan orang ramai agar mengosongkan kawasan sekitar Masjid Jamek serta menghambat sesiapa yang memakai tanda “ Masuhkan ISA”.

Polis dengan nada memekik mengarahkan orang ramai agar tidak berkumpul dan beredar dari sekitar Masjid Jamek. Waktu itu sudah hampir masuk waktu zohor, polis masih lagi mengarahkan dengan memekik supaya orang ramai bersurai. Ada yang memohon untuk masuk ke dalam Masjid untuk menunaikan solat kerana waktu telah hampir, tetapi malang sungguh dengan jawapan dari salah seorang polis iaitu dengan nada yang keras agar sembahyanglah di tempat lain dan menambah lagi marahkannya dengan menyatakan bukan disini sahaja boleh sembahyang tempat lain pun boleh sembahyang.

Dalam keadaan yang sibuk itu kedengaran azan di laungkan dari Masjid Jamek. Kami melihat telah beberapa orang yang boleh memasuki Masjid dan kami pun turut serta.

Orang ramai yang berada di dalam Masjid mula keluar dari pagar Masjid tetapi dihalang oleh polis. Sambil beratip dan bertakbir orang ramai tetap berkumpul di muka pintu pagar Masjid. Sekitar lebih kurang 30 minit keadaan ini bertahan, sekumpulan orang ramai melepasi halangan polis. Selepas itu polis melepaskan tembakan gas pemedih mata bertalu-talu, mengakibatkan orang ramai yang berkumpul di perkarangan Masjid tidak dapat keluar.
Keadaan lengang seketika, selepas beberapa minit orang ramai mula menghampiri pintu pagar Masjid. Tetapi dihalang oleh polis dan melepaskan tembakan gas pemedih mata sambil memekik supaya orang ramai bersurai. Orang ramai yang berada di perkarangan Masjid menjadi serba salah kerana mereka tak tahu hendak pergi kemana, sebab apabila hendak keluar polis halang serta menghadiahkan dengan tembakan gas pemedih mata.

Tiba-tiba muncul beberapa orang polis meminta orang ramai keluar dari Masjid secara berhemah dengan bilangan lima orang sekali keluar. Namun station LRT Masjid Jamek telah diarahkan tutup, membuatkan orang ramai berkeliaran sekitar Masjid Jamek tersebut.

Kami pun mula bergerak ke SOGO dengan niat untuk membeli-belah…sambung ke cerita 2.

Tuesday, July 28, 2009

AJK penaja Alumni SK Bandar Pusat ditubuhkan


Baru-baru ini AJK penaja Alumni SK Bandar Pusat telah ditubuhkan. Mesyuarat yang dihadiri oleh 13 orang bekas pelajar SK Bandar Pusat telah melantik Sdr Musaniff bin Haji Abd Rahman sebagai Pengerusi Penaja Alumni SK Bandar Pusat.

Manakala Puan Asramawati bt Tahir dan Sdr Mohd Shariman bin Hashim telah dilantik sebagai Setiausaha dan Bendahari. Sepuluh orang terdiri dari lima orang lelaki dan lima orang perempuan telah di lantik sebagai Ahli Jawatankuasa.

Menurut Sdr Musaniff, AJK penaja dengan dibantu oleh bekas pelajar yang lain akan mengadakan pertemuan semua bekas-bekas pelajar pada suatu tarikh yang sesuai. Dalam pertemuan itu juga semua guru yang pernah mengajar di SK Bandar Pusat akan turut juga diundang.

SK Bandar Pusat mula dibuka pada sekitar tahun 1973. Manakala Guru Besar yang pertama ialah Cikgu Mohd Said bin Ngah.

Sebagai Pengerusi Penaja Alumni SK Bandar Pusat juga sebagai Yang Dipertua PIBG SK Bandar Pusat sesi 2009/2011, Sdr Musaniff amat berharap agar hasrat mengadakan pertemuan semua bekas pelajar dan guru-guru dapat diadakan akan menjadi kenyataan pada tahun ini juga.

Kepada semua bekas pelajar dipelawa untuk menyertai Alumni SK Bandar Pusat. Penubuhan Alumni SK Bandar Pusat secara rasmi akan diadakan sebelum dari tarikh pertemuan semua bekas-bekas pelajar, ujar Sdr Musaniff.

Sila hubungi Setiausaha melalui 0199277038 atau Pengerusi melalui 0199378487, untuk maklum balas. Insyallah dalam masa yang terdekat ini, kegiatan dan aktiviti juga maklumat Alumni SK Bandar Pusat boleh diikuti melalui laman sesawangnya sendiri. Namun buat sementara waktu berita-berita mengenai Alumni SK Bandar Pusat ini boleh diikuti melalui blog ini.

Monday, July 20, 2009

Betul, rakyat pilih ISLAM jalan penyelesaian

Selepas 100 hari pemerintahan DS Najib berbagai perkara telah berlaku. Kalau dalam istilah politik, ada yang adil tidak kurang juga yang tidak adil. Ada yang memuaskan ada juga yang tidak memuaskan.

Secara jujur MG melihat DS Najib bersama barisan kabinetnya ingin memulihkan keyakinan rakyat kepada BN. Semua segi telah dilihat, semua sudut telah dipandang dan semua saranan telah diperhalusi. Apa yang pasti segala ilmu telah digunakan untuk menarik sokongan rakyat kepada BN. Tak tahulah setiap kali DS Najib ingin membuat perubahan ada saja yang mencalarkannya.

Baru-baru ini selepas diumumkan keputusan PRK Manek Urai, BN seolah-olah mendapat satu semangat juang yang baru walaupun tidak boleh merampas kerusi DUN tersebut namun berjaya mengurangkan undi dengan ketara. Pakatan Rakyat seharusnya mengambil pengajaran yang sebaiknya.

Tiga hari lepas semasa kami dalam perjalanan menuju ke Jengka kami mendengar pembaca berita RMP Pahangfm mengutarakan tip-tip mengelak dari kejadian rogol. Tip ini ditujukan kepada golongan wanita. Diantara tip-tipnya ialah,
a. Jangan berjalan berseorangan di tempat sunyi
b. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata
c. Kalau boleh sentiasalah berjalan secara berteman
d. Jangan mudah berbual dengan lelaki yang tidak dikenali
e. Jangan menumpang kenderaan lelaki yang tidak dikenali.
f. Dan ada lagi tapi kami dah tak berapa ingat.

Disini kami lihat betullah apa yang disarankan oleh ISLAM iaitu dalam soal kehidupan sosial seorang perempuan iaitu sentiasa menutup aurat apabila berjalan di luar rumah. Bagi lebih lagi, tidak bercakap atau mudah sangat menjawab sapaan lelaki yang tidak muhrim. Perempuan yang baik itu sentiasa berjalan tidak berseorangan. Ini semua adalah anjuran baik yang ada dalam garis panduan ISLAM tetapi kenapa Pemerintah tidak nampak atau tidak mahu mengakuinya.

Semalam pula kami terdengar TS Mahuyuddin mengutarakan agar semua orang UMNO kembali semula ke sekolah. Maksud beliau agar ahli-ahli UMNO kembali semula ke sekolah politik agar dapat memulih kembali keyakinan rakyat kepada UMNO.

Rakyat telah memilih ISLAM sebagai jalan penyelesaian. Maka sepatutnya TS Mahyuddin dan DS Najib menyeru ahli UMNO agar kembali ke pangkal jalan, iaitu ISLAM. Inilah cara untuk memulihkan kembali sokongan rakyat kepada UMNO.

Thursday, July 16, 2009

Mg Idea:Lembaga Tabung Haji perlu ada di Bera

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Dato’ Ismail Sabri bin Yaakob telah merasmikan pejabat Cawangan Bera agensi tiga serangkai baru-baru ini. Iaitu pejabat cawangan Kementerian Perdagangan dan Kepenggunaan, Maktab Kerjasama dan Suruhanjaya Koperasi bagi daerah Bera.

Ketiga-tiga agensi ini berada di bangunan kedai Laman Kerayong. Maka penduduk daerah Bera boleh menggunakan khidmat ketiga-tiga agensi ini. Namun di sana masih ada lagi kekurangan yang perlu di adakan.

Sehingga kini penduduk daerah Bera masih perlu keluar ke Temerloh atau Bandar Jengka untuk mendapatkan khidmat Lembaga Tabung Haji. Sudah tiba masanya pihak kerajaan mengujudkan Lembaga Tabung Haji di dalam daerah Bera ini.

Wednesday, July 15, 2009

POKOK SAWIT TERCABUT....


Sepohon pokok sawit dalam usia 2 - 3 tahun tercabut akibat dilanggar oleh sebuah kereta pacuan empat roda. Kami dimaklumkan bahawa kereta tersebut terbabas lalu melanggar sepohon pokok kepala yang berada disitu. Pemandu bersama seorang penumpangnya macamanapun selamat.

Sunday, July 12, 2009

Mg Info : MTD Guai kehilangan tokoh muslimat

Nama Ustazah Wan Fadilah binti Wan Mahmod tidak asing kepada PAS kawasan Bera dan Temerloh, khususnya kepada MTD Guai. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Temerloh dan Bera. Allahyarham suami beliau bernama Abu Zidin bin Haji Awang.

Allahyarhamah Ustazah Wan Fadilah telah mengembuskan nafas terakhir ketika berumur 64 tahun pada 9 Julai 2009 ( Jam 5.30pg )di Klang, Selangor dan dikebumikan pada hari itu juga( Khamis ) di tanah perkuburan Islam Kg Bukit Keledang, Bera. Jenazahnya disembahyangkan di surau pondok Kg Bukit Keledang selepas solat asar oleh saudara mara, rakan seperjuangan, dan ramai lagi. Turut sama menyembahyangkan jenazah Allahyarhamah ialah Pesuruhjaya PAS Pahang Dato’ Tuan Ibrahim bin Tuan Man .

Setiba kami di tanah perkuburan tersebut kelihatan saudara mara, rakan seperjuangan, kenalan turut sedih diatas permergian beliau. Talkin dan doa selamat telah diketuai oleh Tuan Guru Haji Mohamad ( Tok Guru Pondok Kg Bukit Keledang ) dan YDP PAS Bera Ust Sulaiman Mohamad. Turut hadir Sdr Musaniff bin Abd Rahman ( bekas calon PAS PRU 12 DUN Guai ).

Allahyarhamah mula bergiat aktif pada tahun 1969 berkempen membantu calon PAS bagi DUN Triang ( masa itu, sekarang DUN Guai ) Allahyarham Haji Mohamad bin Haji Awang.

Selaku Pengarah MTD Guai Sdr Musaniff bin Abd Rahman mengucapkan takziah kepada anak-anak dan saudara mara diatas perginya menemui ALLAH insan yang mereka sayangi iaitu Ustazah Wan Fadilah. Moga-moga rohnya ditempatkan dikalangan para perjuang Islam dan orang yang soleh. Amin
~ mtdguai@blogspot

Friday, June 26, 2009

TERBURAI SEBELUM SAMPAI


Sebuah lori yang sarat dengan muatan
besi-besi empat segi berongga terlepas ikatan dan menyebabkan beberapa batang besi jatuh beserakkan ( terburai ) di atas jalan dan mengakibatkan gangguan lalulintas di atas jambatan Temerloh.
Tiada seorangpun yang berhenti menolong, walaupun ramai orang yang meyaksikannya.
Pemandu lori itu secara berseorangan cuba memunggut semula besi-besi yang terburai itu.
Agaknya di dalam hati pemandu itu berkata bukan senang hendak satukan semula besi-besi yang terburai ini jika menggunakan kaedah 1 orang bekerja. Orang lain cuma memerhatikan dan pandai berbicara yang retorik sahaja.

Monday, June 22, 2009

TUJUH KEBEBASAN TAJAAN BARAT RUNTUHKAN MORAL MASYARAKAT

Barat menaja kebebasan untuk terus memancing umat selainnya dan khususnya umat Islam agar terus alpa dengan runtuhan nafsu syahwah. Mereka mendakwa kebebasan adalah kebanggaan antarabangsa

1. Bebas dari kongkongan tanggungjawab di rumah. Sehingga mereka lebih senang mengunjungi kelab-kelab malam dan pusat-pusat hiburan dari tinggal di rumah
2. Bebas berpakaian malah sampai keperingkat berpakaian tetapi telanjang
3. Bebas bertindak tanpa terbatas kepada disiplin,akhlak dan tatasusila. Adap kesopanan dianggap suatu kongkongan hidup.
4. Bebas beraqidah dan memegang prinsip ( Menyebabkan Orang Islam berpotensi menjadi tak yakin dengan Islam )
5. Pembebasan wanita dengan menuntut hak yang sama seperti lelaki dan tidak lagi sebagai suri rumah atau pembantu lelaki
6. Kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat sekalipun ianya menyentuh pihak lain. Ini membuka ruang untuk mereka menghina Islam.
7. Kebebasan media massa sehingga ia di luar kawalan adab kemanusiaan. Sementara media ini menjadi salah satu saranan penting untuk mencetak minda masyarakat. ( Ada individu dan kumpulan yang diupah untuk mempertahankan kebebasan melampau media ini )
Oleh itu rakyat yang sedar sewajarnya bangkit dengan semangat yang tinggi untuk menyelamatkan masyarakat dari bahaya keruntuhan moral ini dengan terlebih dahulu mebebaskan diri sendiri dari belenggu kejahilan dan kejahatan.

Wednesday, June 17, 2009

ISU KERAJAAN PERPADUAN DIPERBESARKAN UMNO/BN

Salam bersua kembali, lama tak berjumpa (hampir 20 hari ) bukan merajuk tetapi sibuk dengan tugas harian.

Pada mulanya malas sangat hendak ambil bahagian dalam isu Kerajaan Perpaduan tetapi apabila akhbar perdana termasuk sinar memainkan isu ini bertali arus MG pun nak tumpang sekaki.

Bagi MG isu Kerajaan Perpaduan yang pada asalnya hanya lontaran idea oleh Presiden PAS sebelum berlakunya Muktamar Pusat kali ke 55. Semasa Muktamar hampir berlangsung maka PM DS Najib mengambil bahagian dalam akhbar mengutarakan isu Kerajaan Perpaduan ini, walaupun sebenarnya tidak menjadi isu di kalangan pimpinan dan ahli PAS.

Kali kedua isu ini di uar-uarkan oleh TPM TS Mahyudin dan yang ketiga ialah oleh PM DS Najib pada hari ini.

MG melihat PM dan TPM ingin menggunakan isu ini untuk menutup beberapa isu yang UMNO/BN tidak boleh tutup selama ini, iaitu

a. Rampasan kuasa pemerintahan Negeri Perak yang melibatkan perlantikkan MB dan Speaker dari BN
b. Kehadiran ramai anggota polis (beruniform,awam,bersenjata?) dalam dewan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak semasa rampasan kuasa berlaku.
c. PPSMI sehingga membawa kepada cadangan mewajibkan lulus matapelajaran Bahasa Inggeris serta menghadkan 10 matapelajaran sahaja dalam peperiksaan SPM.
d. Slogan 1 Malaysia……?
e. Mulai hari dilantik sebagai PM sehingga hari ini, DS Najib gagal menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
f. Di dalam kepala PM DS Najib hanyalah FELDA, macamlah FELDA adalah segala-galanya.

Rakyat perlu melihat dan mengenalpasti awal kemana sebenarnya BN/UMNO nak bawa kita? Apa guna kalau dapat wang banyak kalau dengan jalan salah serta menzalimi orang lain. Atau menjadikan kita lupa diri bahawa kita ini akan dihisab oleh Allah swt. Juga kita lupa akan akhlak anak-anak,isteri serta suami kita yang telah dirosakkan. Bertindak sebelum terlambat.

Monday, June 1, 2009

KEKAYAAN BUKAN FAKTOR KEJAYAAN PERNIAGAAN

Mengikut hukum aqal, bila usahawan Islam cemerlang, maka tentulah Islam secara automatik pun jadi gemilang. Kecemerlangan berhubungan dengan kejayaan dan kejayaan usahawan Islam berhubungan dengan kegemilangan Islam itu sendiri.

Biasanya ukuran kecemerlangan ialah kecekapan hingga mampu menghasilkan produktiviti yang tinggi. Tinggi produktiviti maka tinggilah keuntungan. Tinggi keuntungan maka tinggilah kekayaan. Dalam pengertian biasa, hasil dari kecemerlangan ialah kekayaan dan kekayaan selalunya menjadi pengukur kepada kegemilangan sesuatu, termasuk Islam.

Dalam andaian ini, ada dua persoalan yang boleh dikemukakan. Pertama, apakah benar pengukur kepada kecemerlangan itu ialah kekayaan? Dan kedua, apakah benar kekayaan itu menjadi pengukur kepada gemilangnya Islam? Dalam persoalan pertama, berdasar kepada realiti kehidupan hari ini, dan dengan menggunakan kecekapan dalam erti yang luas, memang orang yang cekap boleh mencapai kekayaan.

Takrifan kecekapan di sini tidak terhad kepada kecekapan di dalam mengurus dan mentadbir perusahaannya, tetapi juga termasuk kecekapan dalam menyalahgunakan amanah yang diberikan, dalam menipu serta dalam berbagai cara yang tidak betul untuk memenuhi kepentingan mencari kekayaan itu. Ertinya, seseorang boleh jadi kaya dan oleh itu cemelang, kalau kaya itu jadi pengukur kepada kecemerlangan, tanpa mengira bagaimana kecekapan itu digunakan untuk mencapai kekayaan dan kecemerlangan itu.

Selalunya kecekapan dalam mencapai kekayaan begini tidak membawa manfaat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi tidak langsung membawa kepada gemilangnya Islam. Biasanya kekayaan itu tidak kekal, malah sebaliknya sering memakan dirinya kembali.

Sebaliknya, ada orang yang cekap dalam mengurus dan mentadbir perniagaannya, boleh jadi tidak jadi cemerlang kerana tidak beroleh kekayaan, kalaulah hanya kekayaan sahaja yang menjadi pengukur kepada kecemerlangan. Namun begitu masyarakat dapat merasakan manfaat dari kecekapan mereka itu, walau mereka tidak tergolong ke dalam golongan yang di anggap cemerlang.

Hasil kecekapan mereka diagihkan kepada pekerja-pekerjanya dan ahli-ahli masyarakat yang memerlukannya.Itulah sebabnya mereka tidak kaya-kaya. Lebih dari itu, harta benda yang didapati hasil dari kecekapan mereka diagihkan untuk maksud-maksud yang boleh menjadikan Islam gemilang.

Antara dua bentuk kumpulan masyarakat di atas, yang banyaknya dalam dunia hari ini adalah yang pertama. Mereka cekap,cemerlang dan kaya tetapi tidak membantu pekerja-pekerjanya, masyarakatnya apatah lagi membantu menggemilangkan Islam. Malah secara umum di seluruh dunia, telah terbukti bahawa walaupun cukup ramai usahawan Islam yang cemerlang dan kaya-kaya, tetapi Islam tetap juga tidak gemilang seperti gemilangnya Islam pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Kenapa demikian? Kita cuba mencari jawapannya kemudian……

- pustaka as

Friday, May 29, 2009

Jamuan Doa Selamat




Gambar ini diambil semasa Majlis Doa Selamat di tapak projek Perumahan Warga Felda ( PWF ) di Felda Triang 3, Bera.


Jurucakap projek tersebut memaklumkan projek tersebut hampir mencapai 30% kemajuan. Majlis doa selamat tersebut diadakan dengan kerjasama Pejabat Felda Triang 3 dan peneroka disitu. Apa yang diharapkan agar projek menyediakan tapak perumahan ini siap mengikut jadual. Setakat ini kemajuan projek berjalan dengan baik mengikut jadual yang telah di tetapkan.

Monday, May 25, 2009

Mg cerita: Gempar !!! sediakan RM500 atau lebih untuk pencuri….?

Macam-macam cerita yang kami dengar daripada kenalan. Tapi suatu cerita yang berlaku di sebuah kampong tradisi di dalam daerah Maran kami nukilkan untuk kongsi cerita. Cerita ini benar-benar belaku.

Kampong itu sejak kebelakang ini, sentiasa menjadi sasaran pencuri dan perompak. Pencuri yang masuk kerumah akan mencuri dan merompak harta yang ada dirumah itu. Jika tidak ada barang yang boleh diambil mereka akan memaksa penghuni rumah untuk memberikan apa-apa yang mereka ada, jika tidak ada juga maka penghuni itu akan dicederakan atau isteri penghuni akan dirogol.

Oleh kerana kejadian itu sering berlaku maka penduduk kampong sudah trauma dan menyebabkan orang-orang kampong telah sepakat agar sentiasa menyediakan duit sekurang-kurangnya RM 500.00 di dalam rumah untuk diberikan kepada perompak sekiranya rumah mereka dimasuki demi menjaga keselamatan dan maruah.

Kami difahamkan orang kampong telah membuat laporan polis, tetapi tidak ada sebarang tindakan yang lebih menyakinkan diambil oleh pihak berkenaan.

Ini adalah suatu bala….kenapa perkara ini boleh terjadi dan dibiarkan terjadi ?

Friday, May 22, 2009

Virus H1N1 dan 1M

Rakyat dunia dikejutkan dengan virus selsema babi yang mula dikesan di Mexico. Virus berkenaan telah mula merebak ke seluruh dunia menyebabkan penduduk dunia berasa takut. Ada di antara orang yang terkena wabak ini terpaksa dikurung dalam rumah atau tempat-tempat penginapan mereka seperti yang dilapurkan oleh media.

Oleh kerana sesuatu sebab kebelakangan ini tidak kedengaran lagi virus ini disebut atau dicetak sebagai ‘ selsema babi ‘ tetapi telah di tukar kepada Influza A.

Baru pagi tidak kita diberitahu bahawa virus H1N1 menyerang orang muda yang berusia 5 tahun sehingga 24 tahun. Tetapi ia ‘magli’ kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Rupa-rupanya virus H1N1 secara kebetulan macam ada persamaan dengan 1M iaitu 1 Malaysia. Maknanya ia kebal kepada golongan warga emas tetapi tidak kepada golongan muda.