Monday, June 1, 2009

KEKAYAAN BUKAN FAKTOR KEJAYAAN PERNIAGAAN

Mengikut hukum aqal, bila usahawan Islam cemerlang, maka tentulah Islam secara automatik pun jadi gemilang. Kecemerlangan berhubungan dengan kejayaan dan kejayaan usahawan Islam berhubungan dengan kegemilangan Islam itu sendiri.

Biasanya ukuran kecemerlangan ialah kecekapan hingga mampu menghasilkan produktiviti yang tinggi. Tinggi produktiviti maka tinggilah keuntungan. Tinggi keuntungan maka tinggilah kekayaan. Dalam pengertian biasa, hasil dari kecemerlangan ialah kekayaan dan kekayaan selalunya menjadi pengukur kepada kegemilangan sesuatu, termasuk Islam.

Dalam andaian ini, ada dua persoalan yang boleh dikemukakan. Pertama, apakah benar pengukur kepada kecemerlangan itu ialah kekayaan? Dan kedua, apakah benar kekayaan itu menjadi pengukur kepada gemilangnya Islam? Dalam persoalan pertama, berdasar kepada realiti kehidupan hari ini, dan dengan menggunakan kecekapan dalam erti yang luas, memang orang yang cekap boleh mencapai kekayaan.

Takrifan kecekapan di sini tidak terhad kepada kecekapan di dalam mengurus dan mentadbir perusahaannya, tetapi juga termasuk kecekapan dalam menyalahgunakan amanah yang diberikan, dalam menipu serta dalam berbagai cara yang tidak betul untuk memenuhi kepentingan mencari kekayaan itu. Ertinya, seseorang boleh jadi kaya dan oleh itu cemelang, kalau kaya itu jadi pengukur kepada kecemerlangan, tanpa mengira bagaimana kecekapan itu digunakan untuk mencapai kekayaan dan kecemerlangan itu.

Selalunya kecekapan dalam mencapai kekayaan begini tidak membawa manfaat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi tidak langsung membawa kepada gemilangnya Islam. Biasanya kekayaan itu tidak kekal, malah sebaliknya sering memakan dirinya kembali.

Sebaliknya, ada orang yang cekap dalam mengurus dan mentadbir perniagaannya, boleh jadi tidak jadi cemerlang kerana tidak beroleh kekayaan, kalaulah hanya kekayaan sahaja yang menjadi pengukur kepada kecemerlangan. Namun begitu masyarakat dapat merasakan manfaat dari kecekapan mereka itu, walau mereka tidak tergolong ke dalam golongan yang di anggap cemerlang.

Hasil kecekapan mereka diagihkan kepada pekerja-pekerjanya dan ahli-ahli masyarakat yang memerlukannya.Itulah sebabnya mereka tidak kaya-kaya. Lebih dari itu, harta benda yang didapati hasil dari kecekapan mereka diagihkan untuk maksud-maksud yang boleh menjadikan Islam gemilang.

Antara dua bentuk kumpulan masyarakat di atas, yang banyaknya dalam dunia hari ini adalah yang pertama. Mereka cekap,cemerlang dan kaya tetapi tidak membantu pekerja-pekerjanya, masyarakatnya apatah lagi membantu menggemilangkan Islam. Malah secara umum di seluruh dunia, telah terbukti bahawa walaupun cukup ramai usahawan Islam yang cemerlang dan kaya-kaya, tetapi Islam tetap juga tidak gemilang seperti gemilangnya Islam pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Kenapa demikian? Kita cuba mencari jawapannya kemudian……

- pustaka as