Friday, November 20, 2009

MG:INFOSUMBER:5 Tuntutan ANAK diserahkan kepada MB Pahang

Persatuan generasi kedua Felda ( ANAK ) telah menyerahkan memorandum kepada YAB MB Pahang dan telah menuntut lima perkara. Penyerahan memorandum tersebut diketuai oleh Sdr Mazlan Aliman, Pengerusi ANAK.
Beginilah memorandum tersebut menyatakan , "Bagi menyelesaikan permasalahan tersebut, terdapat lima tuntutan dalam memorandum Anak kepada Menteri Besar Pahang.
Pertama, memberikan lot tanah kosong di Felda bagi perumahan generasi baru. Tanah merupakan hak kerajaan negeri. Terdapat sejumlah tanah kosong yang belum dimajukan dalam penempatan Felda. Maka alangkah baiknya jika tanah tersebut di pecah lot dan dibina perumahan untuk anak-anak peneroka yang layak dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah program Rumah Mesra Rakyat. Contoh kejayaan projek tersebut dapat dilihat di Felda Sri Jaya, Pagoh Johor dengan siapnya 95 unit rumah generasi kedua.
Pilihan yang kedua ialah tapak lot-lot tanah yang telah mendapat hak milik diberi kebebasan mendirikan rumah kediaman mereka sendiri. Kaedah ini biasa diamalkan di banyak tempat. Sokongan dan dokongan kerajaan negeri akan mempercepatkan segala prosedur yang harus dipatuhi kerana selama ini generasi kedua berdepan karenah pentadbiran Felda yang begitu lokek untuk melepaskan pegangan atas tanah yang mereka dakwa miliknya.
Kedua, batalkan Felda Plantation. Dasar kerajan membuka Tanah Rancangan Felda ialah membuka ruang pemilikan tanah kepada rakyat khusus orang Melayu. Selepas tahun 1990, dasar ini dihentikan dan diwujudkan Felda Plantation yang berkonsepkan estet yang menekan peserta tanpa jaminan masa depan. Walhal, seluas 367,710 hektar tanah milik kerajaan negeri telah dikorbankan. Adalah dianggarkan 79,000 anak peneroka beroleh manfaat jika Felda Plantation dimansuhkan dan ditukar kembali formatnya kepada pengambilan peneroka. Kerajaan negeri boleh memainkan peranan aktif membuat desakan tersebut.
Ketiga, naiktarafkan penempatan Felda yang telah mendapat hak milik. Daripada sejumlah 317 rancangan Felda, 77 daripadanya telah selesai membuat bayaran kembali dan beroleh hak milik keperluan untuk penempatan ini ditadbir sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah kerajaan negeri sangat mendesak.
Dengan erti kata lain, sudah sampai masanya kedudukan Felda sebagai ejen pengurusan dikaji semula. Peneroka sudah mampu berdikari dan disambung oleh anak peneroka tanpa cengkaman Felda, hutang piutang, bermacam-macam perjanjian, sekatan dan tentunya pendapatan mereka jauh lebih lebih lumayan apabila tiada penglibatan pihak ketiga yang mengaut keuntungan melampau.
Generasi baru Felda yang berpendidikan mampu untuk mentadbir penempatan mereka sendiri dengan kerjasama erat agensi kerajaan negeri termasuk badan-bdan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Persatuan Pekebun Kecil serta menikmati subsidi seperti masyarakat di kampung. Felda hanya berfungsi setakat urusniaga kedai D’Mart, pemasaran komoditi dan lain-lain berasaskan persaingan semasa. Pendekatan ini membuka ruang penyertaan generasi muda lebih terarah dan jaminan masa depan lebih baik.
Tangani gejala sosial
Keempat, menangani gejala sosial. Pendekatan menangani gejala sosial mesti lebih seimbang dengan memperbanyak aktiviti keagamaan. Penekanan kepada program sukan sama ada Akademi Bolasepak Felda, Rally Felda, Liga Futsal Felda dan pembinaan Kompleks Sukan Komuniti sememangnya wajar tetapi kesungguhan mempelbagaikan program kerohanian menjadi tanda tanya. Jika pasukan Rela, Rukun Tetangga dan sukarelawan boleh diwujudkan untuk membantu polis memerangi jenayah, sudah sampai masanya sukarelawan membanteras maksiat juga ditubuhkan. Mekanisme bersama JKKK, Jawatankuasa Masjid, Jabatan Agama dan lain-lain boleh dibentuk untuk tujuan tersebut.
Institusi masjid dan surau mesti diimarahkan dengan budaya ilmu dan tidak bersifat streotaip yang membosankan. Pendekatan menarik anak muda ke masjid harus ditangani segera kerana ketika ini 90 peratus yang mengimarahkannya adalah peneroka semata-mata.
Penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) seperti pemadam dan Pengasih mesti bermula di peringkat sekolah lagi dan sejauh mana keberkesanan pembangunan belia melalui Kem Bina Remaja, kursus pembinaan sakhsiah dan Rakan Waja diselenggarakan.
Percambahan idea bagi menyegarkan semula aktiviti golongan muda harus disegerakan dengan penyertaan semua pihak tanpa mengira latar belakang agama dan politik. Penekanan berlebihan aspek sukan dan hiburan hingga menenggelamkan soal pembinaan akhlak telah dirasai padahnya pada ketika ini.
Kelima, perbanyakkan peluang pendidikan dan kemahiran.Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di Wilayah Trolak walaupun terlewat 20 tahun, sangat dialu-alukan. Pakej pendidikan tajaan Felda dengan institusi swasta umpamanya Universiti Lim Kok Wing seharusnya bersifat sementara dengan langkah segera mewujudkan pusat pendidikan berskala besar milik Felda seperti dilakukan syarikat multi-nasional Petronas da TNB tetapi fokus kepada jurusan perladangan dan bio-teknologi.
Program kemahiran yang dibuat ketika ini seperti melepaskan batuk di tangga kerana langkah susulan tidak dilakukan yang akhirnya pasaran kerja tidak berasaskan kebolehan dimiliki. Mungkin karenah birokrasi mendapatkan peruntukan dan pinjaman meletihkan peserta kursus atau campurtangan politik menggagalkan tujuan asal yang baik.
Sikap pentadbiran Felda yang kurang meraikan keperluan generasi kedua di sesetengah tanah rancangan mesti ditegur segera atau campurtangan kerajaan negeri melalui agensi berkaitan dalam menyelaras peluang-peluang niaga, kemahiran dan pendidikan mesti dibuka seluas-luasnya dan info yang harus dihebahkan dengan pelbagai cara.
Matlamat awal ‘satu Felda satu produk pendidikan/kemahiran’ mungkin suatu perintis ke arah melahirkan lebih ramai belia Felda yang berdaya saing. "

Thursday, November 19, 2009

Hari Kecemerlang Pendidikan SKBP 2009



Hari Kecemerlangan Pendidikan Sek Keb Bandar Pusat ( SKBP ) telah diadakan pada 19hb November 2009. Perasmian disempurnakan oleh Timbalan PPD Maran Tuan Hj Zainol bin Haji Daud.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PIBG ( Musaniff Abd.Rahman ), Timbalan Komander Pulapa Jengka ( NorAin ), NYDP ( Hamzah Abu Samah ) dan Ketua Balai Polis Bandar Jengka ( Azhar ). Seramai 387 orang pelajar menerima hadiah dengan pelbagai kategori.

Pada hari yang sama juga keputusan UPSR telah diumumkan. Seramai 11 orang pelajar memperolehi 5A, 4A 1B ( 15 orang ) dan 3A 2B ( 6 orang ). Secara keseluruhan SKBP memperolehi 77.78 % lulus semua mata pelajaran meningkat 2.53% daripada tahun lepas. Tahniah kepada pelajar yang bejaya.

Sunday, November 15, 2009

Ihtifal Pasti Bera di Tasik Bera


Tahniah kepada Pasti kawasan Bera yang telah berjaya menganjurkan Ihtifal pada 15hb November 2009 baru-baru ini. Ihtifal ini di adakan di Dewan Tasik Bera. Kehadiran ibubapa /penjaga amat memberangsangkan hingga ada yang tidak boleh masuk dewan.

Perasmian dilakukan oleh Sdr Musaniff bin Abd Rahman.


Apa yang menarik kali ini adalah terdapatnya seorang pelajar PASTI ( 6 tahun ) dari kaum india dan beragama hindu. Hadirin terhibur apabila pelajar ini bersama-sama kawan-kawannya mempersembahkan beberapa buah nasyid di dalam majlis tersebut.