Friday, November 21, 2008

Bayaran tempat letak kereta MPT perlu mesra bayaran

Pihak Majlis Perbandaran Temerloh ( MPT ) mungkin telah membuat suatu inovasi dengan memperkenalkan sistem bayaran tempat letak kereta secara 'bayar-gores-pamir'. Apa yang hendak dikongsi sama ialah apabila ada pemandu kereta gagal memperagakan tiket bayaran tempat letak kereta yang telah digores dengan betul maka mereka akan menerima surat saman berwarna merah dengan bayarannya RM10.00. MG rasa adalah lebih baik pihak MPT dapat mengeluarkan tiket tempat letak kereta tambahan yang bertulis dengan caj cadangan RM 0.50 sejam atau jumlah caj yang lain berbanding RM 0.42 sejam menggunakan tiket bayar-gores-pamir.
Untuk memudahkan mereka ini membayar selain pusat jualan tiket yang sediada MG cadangkan mendirikan pondok tiket di setiap hujung jalan keluar kawasan bandar. Barulah boleh dikatakan pihak PBT mesra bayaran. Ini sebenarnya menggalakkan orang ramai mendisplinkan diri membuat bayaran bukan terus dikenakan denda seperti yang dipraktikkan sekarang. Malah ada segelintir pemandu tidak memperdulikan kertas saman yang dikeluarkan itu. Semuga negara kita keluar dari berbudaya seperti negara polis tetapi kearah menjadikan negara berkebajikan.

Tuesday, November 18, 2008

Sejarah dinobat , sejarah dizulmat

Sekoyong-koyong Kerajaan bakal menobatkan Melaka dan George Town sebagai tapak warisan dunia pada 23 Nov ini. Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam kenyataannya di sini memberitahu, majlis itu diadakan bagi meraikan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap kedua-dua bandar tersebut pada 7 Julai lalu.
"Pengiktirafan ini merupakan yang pertama kali ke atas tapak warisan di bawah kategori kebudayaan," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.
Apabila terbaca petikan akhbar utusan yang bertajuk Pengisytiharan tapak warisan dunia Ahad ini keluaran 18 November 2008 maka MG yang selamanya cuba membawa cerita-cerita tokoh-tokoh sejarah lampau terasa ada sesuatu yang mencucuk minda MG. Timbul dalam fikiran patik pacal hina yang bernama MG ni ialah sebelum benggali putih melanggar Melaka, Melaka telah ada kerajaan. Bukan setakat kerajaan tetapi telah ada undang-undang,budaya,binaan-binaan,kesenian dan banyak lagi. Datang saja benggali putih mereka telah musnahkan segalanya dan membina A Famosa dari runtuhan binaan Kerajaan Kesultanan Melaka.
MG masih ingat lagi cerita Dato Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kuliahnya bahawa sebelum memeluk ISLAM Parameswara telah mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. Dalam mimpinya akan datang seseorang yang berjubah putih kepada Parameswara, maka hendaklah disambut dan dilayan mereka ini dengan baik. Inilah peristiwa awal yang membawa keislamannya Parameswara.
Pengisytiharan tapak warisan dunia kepada Melaka hendaklah dilihat oleh dunia amnya dan rakyat Malaysia khasnya sebagai memperakukan bahawa satu tempat yang pernah berlaku di dalamnya seorang Raja yang memeluk ISLAM dan setelah itu berjaya membawa ISLAM kepada penerimaan rakyat seluruhnya serta menjalankan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh ISLAM dalam kerajaan pemerintahannya. Kesan daripada itu rakyat hidup ,berbudaya ,berhibur ,bermuamalat sesama mereka dalam keadaan yang sejahtera. Sejarah yang diceritakan oleh MG itu harus dinobatkan bukan dipadamkan atau dalam perkataan lain ‘ dizulmatkan ‘.

Mg Tokoh : Pawang Kadir


Nama sebenar Pawang Kadir ialah Haji Abd Kadir bin Haji Awang bin Imam Kassim bin Imam Koming. Dilahirkan sekitar tahun 1912 - 1913 di Kg Guai. Mempunyai 9 orang adik beradik. Ibunya bernama Fatimah binti Hj Pin. Adik beradik seibu sebapa seramai 6 orang. Manakala adik beradik yang lain ialah melalui ibu Siti anaknya bernama Habsah, ibu Saedah anaknya bernama Halijah dan anaknya bernama Abdullah ibunya MG tak jumpa cari lagi.

Manakala anak-anak Pawang Kadir seramai 14 orang. Melalui isterinya Siti Maryam binti Imam Rasu ada 4 orang, isterinya Siti binti Pendek ada 10 orang manakala isterinya bernama Esah binti Ibrahim tidak dikurniakan cahaya mata. Pawang Kadir juga mempunyai ramai anak angkat, ada yang MG ketahui ada yang tak diketahui.
Ilmu kepawangannya diwarisi turun temurun. Dari segi fizikal Pawang Kadir adalah seorang yang bertubuh kecil. Beliau memang suka berburu binatang di hutan dan mencari ikan di sungai. Banyak kisah Pawang Kadir yang telah ceritakan kepada MG oleh beberapa orang yang sempat bersamanya. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 1987 ( Al Fatihah untuk Arwah ).