Wednesday, February 3, 2010

Ini wang Kerajaan bukan wang PAS….

Ungkapan di atas adalah ungkapan sombong seorang kakitangan di Yayasan Pahang. Ini berlaku apabila seorang pelajar yang telah melengkapkan borang permohonan Wang Geran Yayasan Pahang sejumlah RM 500.00

Pelajar tersebut adalah di antara beberapa orang pelajar yang baru mendaftar sebagai siswa di sebuah IPT di Kuantan. Oleh kerana beliau tinggal di tempat penginapan di Kuantan dan keluarganya berada di Jengka, maka ia memerlukan masa untuk menyiapkan mengisi borang permohonan Wang Geran YP tersebut.

Diantara syarat mendapatkan Wang Geran tersebut ialah pemohon atau Ayah atau Ibunya mesti salah seorang adalah anak Negeri Pahang. Kalau itulah yang diperlukan maka sebenarnya pelajar tersebut, Ayah dan Ibunya adalah anak Pahang sejati. Beberapa dokumen perlu disertakan. Pelajar tersebut mengambil masa selama melebehi dua minggu untuk menyelesaikan mengisi borang permohonan tersebut.

Perkara yang terakhir sekali ialah mendapatkan sokongan penghulu atau Wakil Rakyat atau Ahli Lembaga YP. Pada hari jumaat lepas ayah kepada pelajar tersebut telah membawanya berehat sambil makan di Balok. Apabila azan berkumandang merekapun solat di Masjid Balok. Selepas solat diperkarangan masjid mereka terserempak dengan YB Tuan Syed Mohamad Tuan Lonnik ( Beserah ) dan terus meminta tandatangan YB. Tanpa banyak soal YB Beserah pergi ke keretanya mengambil cop dan terus menyokong permohonan tersebut.

Pada hari rabu tanggal 3 Feb 2010, pelajar tersebut telah memohon izin keluar kelas kerana ayahnya dari Jengka telah sampai untuk menghantar permohonan Wang Geran tersebut. Sesampainya mereka di Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur jam menunjukkan pukul 1.40ptg. Mereka menunggu beberapa minit kerana pejabat buka pukul 2.00ptg.

Tepat jam 2.00ptg pelajar tersebut terus ke pejabat. Dipendekkan cerita sesampainya pelajar tersebut dan berdepan dengan kakitangan yang bernama Encik A. Encik A telah menyatakan permohonan tersebut tidak boleh diluluskan dan terus mengeluarkan kata-kata…”.Ini wang Kerajaan bukan wang PAS “….sambil menulis sesuatu pada borang berkenaan. Pelajar tersebut dalam keadaan yang terpinga-pinga terus beredar dari situ dengan seribu persoalan dan tanda tanya.

Mungkin inilah yang dikatakan rakyat didahulukan prestasi diutamakan. Adalah lebih elok di dalam borang permohonan tersebut di letakkan syarat untuk menjadi penyokong adalah Wakil Rakyat BN sahaja. Juga mungkin boleh ditulis Wang Geran BN bukan YP.

Sebenarnya peristiwa semacam ini sebelum ini cuma dengar cerita-cerita sahaja, mungkin ya mungkin tidak. Tetapi kejadian diatas memang benarlah UMNO/BN lah yang menjadi punca kepada pecah belah masyarakat. Sejak di zaman persekolahan lagi pelajar dan guru diheret sama agar ‘ membenci tandatangan Wakil Rakyat PR ‘ kerana ia tidak laku. Eloklah cepat-cepat Negeri Pahang ini diubah tampuk pemerintahannya kepada PR yang jauh lebih adil dan mesra serta berkebajikan.