Friday, December 25, 2009

PIBG bukan longkang ‘ peruntukkan ‘ YB

Persatuan Ibubapa dan Guru ( PIBG ) pada asasnya ialah suatu persatuan yang melibatkan ibubapa/penjaga serta guru membantu sekolah menjayakan programnya. Ada juga terdapat PIBG mempunyai sumber kewangan sendiri yang kukuh dan banyak membantu pengurusan dan program sekolah malah melebar kepada masyarakat.

Namun secara keseluruhannya PIBG berperanan membantu dan berkerjasama menjayakan program sekolah. Tetapi jawatan Yang Dipertua ( YDP )sentiasa dikaitkan dengan personel yang berkaitan dengan YB ( Wakil Rakyat ). Jika YDP yang dilantik di kalangan orang yang tidak sebulu dengan YB maka sekolah berkenaan akan diuar-uarkan sebagai sekolah yang tidak mendapat peruntukkan dari YB.

Lebih teruk lagi, pihak pengurusan sekolah juga turut terlibat mengiyakan perkara ini. Malah pihak sekolah terus tidak memohon apa-apa sumbangan yang agak besar kepada YB selama YDP tidak sebulu ini masing di jawatannya. Lantaran suasana ini ada di kalangan ibubapa dan AJK PIBG telah diracuni fikiran mereka oleh orang tertentu agar menukar YDP ini pada pemilihan akan datang. Walaupun mereka dan umum mengetahui YDP ini dapat berperanan dengan baik dan berkesan kepada sekolah dan masyarakat.

Selama hampir empat tahun ( 2007 – 2009 )YDP ini memegang jawatan, beliau bersama AJK PIBG ,Guru Besar , guru-guru dan warga sekolah dapat mengatasi pencapaian 5A dan peratus lulus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah berbanding YDP sebelumnya
( di katakan sebulu dengan YB ). Dengan izin Allah juga sekolah telah mendapat dua anugerah kecemerlangan iaitu Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri Pahang 2009 dan Sekolah Cemerlang Kokurikulum Peringkat Daerah 2007,2008 dan 2009.

Bagi warga sekolah dan PIBG mereka akan menerima sumbangan dari mana-mana pihak sekalipun. Tetapi janganlah disalahkan YDP sekiranya YB tidak menyumbang dalam jumlah yang agak besar kepada PIBG. Namun terkadang kedapatan juga YB walaupun tidak semua hanya mengumumkan jumlah peruntukkan dalam majlis perasmian Mesyuarat Agong PIBG atau majlis lain tetapi hakikatnya sampai sekarang pengumuman itu hanya tinggal pengumuman tidak menjadi realiti.

Pihak yang bertanggungjawab menyalurkan peruntukkan kepada sekolah dalam bentuk geran berkapita harus meneliti kembali jumlah yang diberikan sekarang. Mungkin nilainya perlu dinaikkan kepada suatu nilai yang sesuai dengan keadaan semasa ( harga barang telah meningkat berkali-kali ganda ). Jika ini berlaku maka bayaran tambahan persekolahan tidak perlu dikenakan dan YB tidak akan merasa gelisah apabila hadir merasmikan apa-apa program di sekolah.