Friday, October 3, 2008

RAMADHAN YANG TELAH PERGI….

Ramadhan 1429 telah melabuhkan tirainya tepat pada waktu maghrib 30hb Sept 2008. Tahun ini umat ISLAM di Malaysia berpeluang melakukan ibadat Ramadhan selama 30 hari genap. MG terpanggil untuk kongsi bersama lakaran yang boleh dikutip selama 30 hari itu untuk bekalan mungkin juga panduan kepada kita bersama. Ada orang panggil program ihya ramadhan, iaitu suatu program menghidupkan ramadhan.

MG sempat mengutip beberapa pengalaman dari beberapa buah masjid,surau dan ahli khariah kampong menghidupkan ramadhan. MG satu dan sepadukan beberapa pengalaman itu dan inilah persembahan untuk tatapan para pelawat budiman.

Tiga hari sebelum ramadhan pihak AJK masjid/surau telah menyediakan dan menampal jadual kosong untuk sesiapa yang mahu menaja jamuan berbuka puasa (iftar ) dan more. Kelebihan memberi makan orang berbuka puasa ( iftar ) cukup tinggi pahalanya itulah yang menyebabkan berebut-rebut ahli khariah /jemaah / NGO / parti politik/syarikat korporat / individu / dsb menyertai program ini. Walaupun jumlah kos yang dikenakan oleh AJK masjid/surau diantara RM350 - RM500 ( urusan beli bahan,memasak ,menghidang dan membersihkan selepas majlis serta termasuk membaca tahlil sebelum berbuka puasa diurus oleh pihak AJK masjid/surau ), tetapi pada ramadhan yang pertama telah penuh jadual diisikan oleh penaja yang budiman kecuali ramadhan 1,28,29 dan 30. More adalah majlis makan selepas waktu solat terawih selalunya juadah yang disediakan adalah kuih muih dengan sedikit minuman. Penaja more adalah pihak AJK masjid/surau dengan kerjasama bergilir-gilir mengikut jadual ahli-ahli khariah tersebut.

Masjid/surau melaksanakan solat terawih ada 20 rakaat dan ada 8 raakat. Itu tidak menjadi masalah, yang penting bacaan dan perlakuan dalam solat dilakukan dengan sempurna. Majlis tazkirah ( selama 15minit – 20 minit ) dilakukan kebanyakan oleh masjid/surau yang melaksanakan solat terawih 8 raakat. MG melihat program tazkirah ini perlu diprogramkan sebaik mungkin dan kalau boleh diadakan setiap malam kerana ia dapat memberi ilmu dan kesedaran kepada sekelian jemaah. Tazkirah dilakukan selepas 4 raakat ataupun selepas 8 raakat solat terawih. Tetapi ada juga masjid/surau melakukannya sebelum solat sunat terawih. Malam itu diakhiri dengan solat sunat witir samada satu atau tiga raakat seterusnya berzikir serta berdoa.

Apabila sampai 10 malam terakhir ahli khariah dijemput menyertai program Qiam malam dengan pengisian solat sunat tahajud,taubat,hajat dan tasbih bermula jam 3.30pg hingga 5.00pg selepas itu bersahur dirumah/dimasjid/disurau. Manakala sekitar jam 5.35pg adalah waktu imsak . Solat subuh dilakukan jam 6.10pagi bagi membolehkan jemaah dapat menyertai dalam bilangan yang ramai ( sehingga 8 saf setiap hari sehingga ramadhan ke 30 ).

Bulan Ramadhan di dalamnya diturunkan Al Quran dan Lailtulqadar. Berlakunya peristiwa Badar,pembukaan Kota Mekah dan berbagai peristiwa lagi. Difardukan puasa pada siang hari. Dan banyak lagi kelebihan juga peristiwa yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan secara umumnya dibahagikan kepada 3 fasa ( 10 hari setiap satu fasa ). Fasa yang pertama adalah rahmat,kedua keampunan dan ketiga adalah pembebasan dari api neraka.Amalan sunat diberi pahala fardu manakala amalan fardu diberi pahala lebih 70 kali ganda fardu di bulan lain. Sayugia ramai orang mengambil peluang keemasan untuk memberi sumbangan samaada kepada fakir,miskin,wakaf dan lain-lain.

Pada tahun ini ramai yang merasakan bahawa lailatulqadar jatuh pada malam 27 ramadhan. Berbahagia dan sejahteralah mereka yang dapat bersama-sama beribadat serta berdoa pada malam itu.

Bulan ramadhan yang dikenali sebagai bulan Al Quran,justeru itu program membaca Al Quran secara bertadarus atau secara bersendiri menghiasi siang dan malam bulan ramadhan. Sekiranya seseorang itu dapat membaca selepas solat subuh,zohor dan asar masing-masing dengan setengah juz maka pada ramadhan ke 20 habislah 30 juz .

Manakala pada malam 1 syawal selepas solat isyak, dilakukan solat sunat tasbih sebanyak 4 rakaat serta bertakbir,bertasbih dan bertahmid mengakhiri malam itu.

Maka MG dapat meringkaskan beberapa amalan menghidupkan ramadhan ( selain solat dan perkara wajib ) seperti berikut,

1. Menganjurkan dan hadir program berbuka puasa ( iftar ) di masjid/surau bermula ramadhan ke 2 hingga ramadhan ke 27
2. Menganjurkan dan bersama program membaca al Quran samada bertadarus atau individu dengan mensasarkan setengah juz setiap selepas solat subuh,zohor dan asar masing-masing.
3. Pastikan tidak ketinggalan melaksanakan solat sunat terawih sehingga malam terakhir di masjid/surau.
4. Menganjurkan dan melaksanakan tazkirah tiap-tiap malam ramadhan
5. Menganjurkan dan bersungguh menghebahkan serta melaksanakan program memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan bagi mereka dapat merasai berbuka puasa dengan juadah yang lebih baik.
6. Mengajurkan dan bersama program Qiam malam bermula malam ke 21 hingga ke 30. ( Mencari Lailatulqadar )
7. Solat sunat tasbih sebanyak 4 rakaat pada malam 1 syawal.