Tuesday, August 18, 2009

Marhaban Ya Ramadhan

Kalau 1 Ramadhan 1430H jatuh pada 22 Ogos 2009 ini, maka tinggal empat hari lagi umat Islam seluruh dunia akan berpeluang sekali lagi menunaikan ibadat PUASA.Apakah persiapan kita?

Kalau dulu-dulu kita kenalkan anak-anak cucu kita Ramadhan sebagai bulan PUASA. Ayuh kita tingkatkan sedikit, yakni mulai tahun ini kita kenalkan Ramadhan sebagai Bulan Ramadhan.

Rasionalnya ialah apabila kita sebut Ramadhan sebagai bulan PUASA maka kita kejutkan anak-anak cucu kita untuk bangun makan sahur jam 5.00 pagi, maka mereka selalu jawab dah sahur pukul 12.00 malam tadi. Jadi tak perlulah bangun. Tetapi apabila perkenalkan Ramadhan sebagai bulan RAMADHAN maka istilah makan sahur bernilai sebagai pahala kerana ia disunahkan oleh Nabi Muhamad s.a.w

Kalau dulu-dulu juga kita suka berpesta makan dengan makanan yang banyak-banyak. Ini tidak lain kerana Ramadhan kita kenali sebagai bulan PUASA. Jika kita kenali Bulan RAMADHAN maka, kita akan membeli dengan kadar yang patut sahaja dan membeli dari tangan orang yang menutup aurat serta sembahyang. Alangkah terasa sia-sianya PUASA kita apabila berbuka dari juadah yang kita beli dari orang yang tidak menutup aurat tambah lagi dari orang yang tidak sembahyang.

Bulan Ramadhan adalah bulan keberkatan dan keampunan, rebutlah peluang yang diberikan oleh ALLAH ini. Jangan tinggal satu rakaatpun solat terawih kerana solat sunat ini tidak ada dalam bulan lain.

Ziarah dan hulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutama jika mereka itu adalah saudara mara kita. Di samping anjurlah majlis berbuka puasa kerana sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka pahala orang yang berpuasa akan dapat kepada orang yang menganjurkan dengan orang yang berpuasa tidak cacat sedikitpun puasanya.


Sekali-sekala anjuran majlis berbuka bersama keluarga dan solat berjemaah bersama. Ambil peluang sedekahkan alfatihah dan doa kesejahteraan keluarga secara beramai-ramai kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia yang sangat kita kasihi.

Dan banyak lagi sebenarnya boleh dilakukan apabila kita kenali Ramadhan sebagai Bulan Ramadhan, iaitu bulan ibadah.......

Tuesday, August 11, 2009

Naib Presiden PAS ziarah mangsa himpunan aman ISA


YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS sempat berkunjung ke Bera dan menziarahi Sdr Abd Malik di Kampong Kuala Triang yang cedera di kedua-dua buku lali di sebelah petang sebelum menunaikan undangan ceramah PAS kawasan Temerloh pada sebelah malamnya.

Sdr Abd Malik tidak boleh berdiri dan berjalan sejak di hari kejadian sehingga ke hari ini kerana kedua tumit dan buku lalinya cedera. Beliau terjatuh semasa menyelamatkan diri dari tembakan gas pemedih mata dan meriam air berasid pihak polisfru semasa menyertai himpunan aman membantah akta ISA di Ibukota pada 1 Ogos 2009.

YB Salahuddin juga turut menyumbangkan sumbangan peribadinya semasa lawatan tersebut. Turut bersama dalam lawatan ziarah serta memberi sumbangan ialah YDP PAS Kawasan ( Ust Sulaiman ), Bendahari PAS Pahang ( Sdr Musaniff ), Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pahang ( Sdr Shahrul ) , beberapa orang AJK PAS Kawasan Bera dan AJK PAS Cawangan serta UPU Kuala Triang.
~ mtdguai@blogspot.com

Sunday, August 9, 2009

FENOMENA PASIR TIMBUL …

Gambar yang diambil adalah fenomena pasir timbul di Mengkarak Water Front. Adakah ini fenomena biasa ? Jawapan tidak, kerana…

Fenomena ini terjadi kerana isipadu air Sungai Pahang telah mulai berkurangan. Di dalam keadaan cuaca panas ini, peningkatan suhu menyebabkan air sungai panas dan menyejat ( naik ke udara ).

Perkara kedua yang dibimbingkan ialah macamana selamatkah pengguna dan hidupan di hilir sisa buangan kilang kertas yang dikeluarkan berhampiran jambatan Temerloh. Soalan ini timbul kerana semasa kebenaran yang diberikan adakah mengambilkira sekiranya paras air sungai surut sehingga ke tahap yang kritikal. Soalan ini perlu dijelaskan walaupun paras air sungai belum di tahap kritikal. Tetapi sekiranya cuaca panas ini berterusan,maka paras air sungai akan terus surut dan akan mencapai paras kritikal. Pihak bertanggungjawab perlu menangani keadaan ini agar ia tidak mengundang beberapa masalah kepada orang ramai, seperti penyakit dan lain-lain.

Friday, August 7, 2009

Mg Sambung: …….harga rakyat 1 sen?

Kami berhasrat untuk pergi ke SOGO untuk membeli barang-barang. Tetapi malangnya kami tak tahu kemana arahnya hendak pergi ke SOGO. Kami tekad menghala ke satu arah dan meneruskan perjalanan kami.

Lebih kurang 10 minit kami berjalan, kami bertembung dengan kumpulan yang melarikan diri sambil menutup mulut dengan penutup bertali. Di persimpangan itu kami mendengar siren polis, dan terus kami menuju kearah itu. Kelihatan permukaan jalan telah basah dan keadaan udara persekitaran pun memedihkan mata.

Tiba-tiba orang ramai berlari menyelamatkan diri, rupa-rupanya dikejar oleh polisfru. Kami pun lari melalui lorong kecil yang berdekatan dan terus menyusup suatu pagar besi jarang. Rupa-rupanya kami sampai ke suatu tempat dataran lapang dan berehat sebentar disitu. Selepas berehat hampir 30 minit kami mahu beredar dari situ tetapi kemana kami nak pergi?

Dalam keadaan yang tak tahu dimana sedang berada kami ternampak logo SOGO, rupa-rupanya kami telah sampai di belakang pasaraya SOGO.

Dipendekkan cerita, kami pergi ke hadapan pasaraya SOGO. Apa yang kami dapati ialah permukaan jalan basah dan semua kedai termasuk pasaraya SOGO tutup. Suasana disitu pada ketika itu lenggang. Kami berada berhadapan dengan kompleks pertama dan pasaraya SOGO berada di sebelah kiri kami.

Tiba-tiba lalu trak yang membawa polisfru melintasi kumpulan orang yang berada disitu. Setiap kali trak polisfru lalu, orang ramai akan bersorak mengeboo. Selang beberapa minit orang ramai bergembira dapat mengeboo trak polisfru yang kami jangkakan mereka beredar balik kerana ‘ peperangan telah selesai’ tiba-tiba kami terdengar siren kereta peroda polis dan di belakangnya ada trak merah. Orang ramai pun mula melangkah seribu tetapi trak merah tersebut adalah sebuah trak bomba.Demi melihat trak bomba kami pun membatalkan niat untuk melangkah seribu. Trak bomba dan ahli di dalamnya mendapat tepukkan gemuruh dari orang ramai.

Selang beberapa minit orang ramai berhimpun dalam sekelip mata memenuhi jalan di hadapan kompleks pertama itu kerana mendengar ucapan dari seorang pemimpin himpunan. Kami menjangkakan itu adalah ucapan terima kasih kepada orang ramai kerana sanggup datang dan berhimpun walaupun tidak dapat berjalan beramai-ramai secara aman ke Istana Negara. Selepas berucap selama 20 minit ,ucapanpun dah berhenti dan orang-ramai telah mula bersurai.

Kami pun mengambil keputusan untuk mencari station LRT yang berhampiran. Sebelum sampai ke station itu kami melalui beberapa trak dan kumpulan polisfru yang ramai disitu. Tiba-tiba kami diarahkan oleh polisfru agar menpercepatkan langkang kami. Kami pun tiba di station itu dan terus menaiki tangga menuju ke pintu station LRT tetapi malangnya pintu ke station di tutup.
Dalam keadaan kelab kabut di tangga pintu masuk ke station LRT itulah kami terdengar bunyi loceng polisfru dan ketukkan belantan dan diikuti pula oleh tembakan gas pemedih mata bertalu-talu kearah orang ramai yang masih berada di sekitar SOGO, tanpa rasa kesian belas. Kami rasakan inilah serangan polisfru secara agresif dan tegar kepada orang ramai.

Kami turun dari tangga dan diarahkan menyeberang ke pagar sebelah sana dan kami terperangkap disitu. Walaupun kami tidak di pukul atau di tembak gas pemedih mata tetapi kami melihat polisfru bertindak terlalu ganas kepada orang ramai.

Beberapa perkataan dan kelakuan polisfru yang sempat kami dengar dan nampak semasa peristiwa ini berlaku ialah:-

1. Polisfru telah memekik secara kuat kepada seorang gadis menyebabkan gadis tersebut menangis teresak-esak dan berpanjangan
2. “ Ingatkan pakai ikat kepala dengan kain merah ..dah berani sangat? Nak berjihad?....kenapa lari bila kena gas.
3. Mengejar ,memukul dan menangkap sesiapa sahaja ,mengikut citarasa mereka.

Akhirnya, kami pulang dengan menaiki teksi ke tempat letak kereta kami. Banyak perkara yang tidak kena,seolah-olahnya kerajaan BN ingin menjadikan peristiwa 1 Ogos 2009 ini sebagai suatu jerat agar rakyat membenci PAKATAN RAKYAT.

Semua orang tahu bahawa peserta perhimpunan aman ini adalah secara sukarela dan dihadiri oleh pelbagai pihak samada dari NGO , ahli serta penyokong PAKATAN RAKYAT dan individu perseorangan.

Monday, August 3, 2009

Polis hargakan rakyat dengan nilai 1 sen?

1 Ogos 2009 adalah hari yang sungguh baik dan cuacanyapun cukup baik. Kami bertolak dari destinasi ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 8 pagi. Hasrat kami adalah ingin turut melihat himpunan aman membantah ISA. Suasana jalanraya dari tempat kami bertolak sehingga ke Kuala Lumpur amat aman dan selesa.

Sesampai kami di Masjid Jamek, kelihatan ramai anggota mengawal pintu masuk ke Masjid. Kami di bagitahu bahawa pintu masjid telah dikunci dan tiada siapa yang dibenarkan masuk. Kami pun mengambil gambar suasana ketika itu, memang tenang dan aman. Oleh kerana perut lapar, kami pun mencarilah gerai-gerai minum yang berhampiran dan menhabiskan masa sehingga jam 12.00 tengahari disitu.

Kami pun kembali ke Masjid Jamek. Keadaannya telah mula berubah . Sudah ada penangkapan berlaku. Diantara yang ditangkap oleh Polis ialah sesiapa yang memakai baju atau tanda “ Mansuhkan ISA” yang lalu di sekitar pintu masuk Masid Jamek. Ada juga yang ditangkap kerana terdapatnya baju atau tanda “ Mansuhkan ISA” di dalam beg mereka. Kami sempat melihat sebuah trak polis telah dipenuhi oleh orang yang di tangkap. Terdapat juga beberapa orang berdiri di dalam trak tersebut.

Bermula dari trak yang membawa sarat orang yang di tangkap maka bermulalah kisah ini……..

Cerita 1,

Kira-kira pukul 1.00 petang polis telah mengarahkan orang ramai agar mengosongkan kawasan sekitar Masjid Jamek serta menghambat sesiapa yang memakai tanda “ Masuhkan ISA”.

Polis dengan nada memekik mengarahkan orang ramai agar tidak berkumpul dan beredar dari sekitar Masjid Jamek. Waktu itu sudah hampir masuk waktu zohor, polis masih lagi mengarahkan dengan memekik supaya orang ramai bersurai. Ada yang memohon untuk masuk ke dalam Masjid untuk menunaikan solat kerana waktu telah hampir, tetapi malang sungguh dengan jawapan dari salah seorang polis iaitu dengan nada yang keras agar sembahyanglah di tempat lain dan menambah lagi marahkannya dengan menyatakan bukan disini sahaja boleh sembahyang tempat lain pun boleh sembahyang.

Dalam keadaan yang sibuk itu kedengaran azan di laungkan dari Masjid Jamek. Kami melihat telah beberapa orang yang boleh memasuki Masjid dan kami pun turut serta.

Orang ramai yang berada di dalam Masjid mula keluar dari pagar Masjid tetapi dihalang oleh polis. Sambil beratip dan bertakbir orang ramai tetap berkumpul di muka pintu pagar Masjid. Sekitar lebih kurang 30 minit keadaan ini bertahan, sekumpulan orang ramai melepasi halangan polis. Selepas itu polis melepaskan tembakan gas pemedih mata bertalu-talu, mengakibatkan orang ramai yang berkumpul di perkarangan Masjid tidak dapat keluar.
Keadaan lengang seketika, selepas beberapa minit orang ramai mula menghampiri pintu pagar Masjid. Tetapi dihalang oleh polis dan melepaskan tembakan gas pemedih mata sambil memekik supaya orang ramai bersurai. Orang ramai yang berada di perkarangan Masjid menjadi serba salah kerana mereka tak tahu hendak pergi kemana, sebab apabila hendak keluar polis halang serta menghadiahkan dengan tembakan gas pemedih mata.

Tiba-tiba muncul beberapa orang polis meminta orang ramai keluar dari Masjid secara berhemah dengan bilangan lima orang sekali keluar. Namun station LRT Masjid Jamek telah diarahkan tutup, membuatkan orang ramai berkeliaran sekitar Masjid Jamek tersebut.

Kami pun mula bergerak ke SOGO dengan niat untuk membeli-belah…sambung ke cerita 2.

Tuesday, July 28, 2009

AJK penaja Alumni SK Bandar Pusat ditubuhkan


Baru-baru ini AJK penaja Alumni SK Bandar Pusat telah ditubuhkan. Mesyuarat yang dihadiri oleh 13 orang bekas pelajar SK Bandar Pusat telah melantik Sdr Musaniff bin Haji Abd Rahman sebagai Pengerusi Penaja Alumni SK Bandar Pusat.

Manakala Puan Asramawati bt Tahir dan Sdr Mohd Shariman bin Hashim telah dilantik sebagai Setiausaha dan Bendahari. Sepuluh orang terdiri dari lima orang lelaki dan lima orang perempuan telah di lantik sebagai Ahli Jawatankuasa.

Menurut Sdr Musaniff, AJK penaja dengan dibantu oleh bekas pelajar yang lain akan mengadakan pertemuan semua bekas-bekas pelajar pada suatu tarikh yang sesuai. Dalam pertemuan itu juga semua guru yang pernah mengajar di SK Bandar Pusat akan turut juga diundang.

SK Bandar Pusat mula dibuka pada sekitar tahun 1973. Manakala Guru Besar yang pertama ialah Cikgu Mohd Said bin Ngah.

Sebagai Pengerusi Penaja Alumni SK Bandar Pusat juga sebagai Yang Dipertua PIBG SK Bandar Pusat sesi 2009/2011, Sdr Musaniff amat berharap agar hasrat mengadakan pertemuan semua bekas pelajar dan guru-guru dapat diadakan akan menjadi kenyataan pada tahun ini juga.

Kepada semua bekas pelajar dipelawa untuk menyertai Alumni SK Bandar Pusat. Penubuhan Alumni SK Bandar Pusat secara rasmi akan diadakan sebelum dari tarikh pertemuan semua bekas-bekas pelajar, ujar Sdr Musaniff.

Sila hubungi Setiausaha melalui 0199277038 atau Pengerusi melalui 0199378487, untuk maklum balas. Insyallah dalam masa yang terdekat ini, kegiatan dan aktiviti juga maklumat Alumni SK Bandar Pusat boleh diikuti melalui laman sesawangnya sendiri. Namun buat sementara waktu berita-berita mengenai Alumni SK Bandar Pusat ini boleh diikuti melalui blog ini.

Monday, July 20, 2009

Betul, rakyat pilih ISLAM jalan penyelesaian

Selepas 100 hari pemerintahan DS Najib berbagai perkara telah berlaku. Kalau dalam istilah politik, ada yang adil tidak kurang juga yang tidak adil. Ada yang memuaskan ada juga yang tidak memuaskan.

Secara jujur MG melihat DS Najib bersama barisan kabinetnya ingin memulihkan keyakinan rakyat kepada BN. Semua segi telah dilihat, semua sudut telah dipandang dan semua saranan telah diperhalusi. Apa yang pasti segala ilmu telah digunakan untuk menarik sokongan rakyat kepada BN. Tak tahulah setiap kali DS Najib ingin membuat perubahan ada saja yang mencalarkannya.

Baru-baru ini selepas diumumkan keputusan PRK Manek Urai, BN seolah-olah mendapat satu semangat juang yang baru walaupun tidak boleh merampas kerusi DUN tersebut namun berjaya mengurangkan undi dengan ketara. Pakatan Rakyat seharusnya mengambil pengajaran yang sebaiknya.

Tiga hari lepas semasa kami dalam perjalanan menuju ke Jengka kami mendengar pembaca berita RMP Pahangfm mengutarakan tip-tip mengelak dari kejadian rogol. Tip ini ditujukan kepada golongan wanita. Diantara tip-tipnya ialah,
a. Jangan berjalan berseorangan di tempat sunyi
b. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata
c. Kalau boleh sentiasalah berjalan secara berteman
d. Jangan mudah berbual dengan lelaki yang tidak dikenali
e. Jangan menumpang kenderaan lelaki yang tidak dikenali.
f. Dan ada lagi tapi kami dah tak berapa ingat.

Disini kami lihat betullah apa yang disarankan oleh ISLAM iaitu dalam soal kehidupan sosial seorang perempuan iaitu sentiasa menutup aurat apabila berjalan di luar rumah. Bagi lebih lagi, tidak bercakap atau mudah sangat menjawab sapaan lelaki yang tidak muhrim. Perempuan yang baik itu sentiasa berjalan tidak berseorangan. Ini semua adalah anjuran baik yang ada dalam garis panduan ISLAM tetapi kenapa Pemerintah tidak nampak atau tidak mahu mengakuinya.

Semalam pula kami terdengar TS Mahuyuddin mengutarakan agar semua orang UMNO kembali semula ke sekolah. Maksud beliau agar ahli-ahli UMNO kembali semula ke sekolah politik agar dapat memulih kembali keyakinan rakyat kepada UMNO.

Rakyat telah memilih ISLAM sebagai jalan penyelesaian. Maka sepatutnya TS Mahyuddin dan DS Najib menyeru ahli UMNO agar kembali ke pangkal jalan, iaitu ISLAM. Inilah cara untuk memulihkan kembali sokongan rakyat kepada UMNO.