Monday, February 16, 2009

YDP PIBG DISURUH TARIK DIRI PENCALONAN?

Kami menerima khabar dari seorang YDP PIBG di salah sebuah sekolah kebangsaan di dalam daerah Maran bahawa dia telah diminta agar beliau menarik diri supaya tidak mempertahankan jawatan YDP PIBG sekolah berkenaan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan PIBG pada pertengahan bulan Februari 2009 lalu.

Alasan yang diberikan ialah ,sejak YDP tersebut memang jawatan itu sekolah berkenaan tidak mendapat peruntukkan dari YB. Beliau menambah lagi bahawa tindakan yang dilakukan ini demi kebaikan pelajar dan sekolah.

MG difahamkan bahawa YDP berkenaan adalah aktivis Pakatan Rakyat ( PAS ) manakala individu yang meminta beliau menarik diri adalah AJK PIBG sekolah berkenaan yang juga merupakan ahli UMNO. Menurut sumber-sumber yang boleh di percayai permintaan beliau ini ada kaitannya dengan ‘ cadangan ‘ Guru Besar sekolah berkenaan.

Sebelum peristiwa ini berlaku YDP berkenaan memang berhasrat untuk berundur diri tetapi apabila peristiwa ini berlaku beliau semakin bersemangat untuk mempertahankan jawatan YDP yang telah disandang selama empat tahun itu.

Dalam mesyuarat agung itu YDP berkenaan berjaya mempertahankan jawatan untuk dua tahun lagi dengan majoriti yang besar menewaskan calon pro-UMNO, turut disaksikan oleh tokoh perasmian penutup mesyuarat agung PIBG sekolah tersebur iaitu ADUN kawasan berkenaan (BN).

Apalah malangnya orang melayu, yang masih meletakkan bahawa sekolah hanya boleh hidup dengan sumbangan/derma YB UMNO/BN sahaja. Tetapi sebenarnya YB UMNO/BN sentiasa menabur janji manis semasa majlis perasmian. Sekolah pula berlumba-lumba memanggil YB untuk merasmikan program dengan dua matlamat yang utama. Pertama memberi peluang agar YB dapat bertemu dengan orang ramai dan berpeluang menunjukkan ‘kemanisan’ dan ‘kemesraan’. Kedua nak dapat sedikit sumbangan justeru itu terhutang budilah sekolah,PIBG dan orang ramai.

Adalah lebih baik peruntukkan yang diberi oleh Kerajaan / Kementerian dalam jumlah yang mencukupi bagi perbelanjaan asas. Sekarang ini perbelanjaan asas yang diberikan oleh Kerajaan/Kementerian tidak mencukupi. Rata-rata pertambahan yang diperlukan untuk perbelanjaan asas ialah 20% daripada peruntukkan yang telah diberikan sekarang.
Marilah sama-sama kita perhatikan cerita diatas seolah-olah sekarang ini adalah era UMNO /BN memujuk, mengugut, menculik dan memaksa telah menular kedalam NGO seperti PIBG. Sampai masanya kita perlu berubah dan lebar serta teruskan perubahan sehingga PRU 13.

Thursday, February 12, 2009

Bangunan tandas untuk mangsa banjir?

Masyarakat terpanggil inginkan jawapan sebenar apabila Yang Dipertua Majlis Daerah Bera memberitahu bahawa beberapa bangunan tandas yang dibina di beberapa buah kampong dalam daerah Bera baru-baru ini adalah untuk mangsa banjir. Manakala perkhidmatan mencucinya adalah di bawah pengurusan majlis yang menjadualkan pekerja-pekerjanya. Kedua-dua jawapan ini tersiar dalam akhbar sinar harian baru-baru ini. Orang ramai sebenar tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan. Timbul pula persoalan adakah perlu dibina bangunan tandas hanya untuk keperluan mangsa banjir?. Tambahan pula bangunan tandas ini jika tidak dijaga dengan betul ia akan menjadi sarang maksiat , sarang budak-budak nakal , tempat pelukis jalanan melakarkan ‘ karyanya ’ dan terdedah kepada kerosakan.

Ingin juga ditimbulkan bagaimana pula tentang bayaran bil air dan elektrik? Siapa atau pihak mana yang akan membayar bil-bil tersebut. Semua ini menimbulkan persoalan dan penduduk memerlukan jawapan yang lebih munasabah.

Kami difahamkan bahawa kos membina sebuah bangunan tandas berjumlah RM100,000.00. Mengikut harga semasa membina bangunan seumpama itu yang berukuran anggaran 600 kaki persegi berada sekitar RM 60,000.00 sahaja. Jika itu benar maka kalau ada sepuluh bangunan seumpama itu ia akan melibatkan RM 1,000,000.00 perlu dibelanjakan. Banyak tu, ujar Sdr Musaniff ketika menyertai gotong royong bersama penduduk Taman Cempaka Indah, Bera baru-baru ini.

Friday, February 6, 2009

Mencari buku cerita Sultan Mahmud Mangkat Dijulang

Saya terpanggil nak masuk campur berceloteh dalam isu Penubuhan Kerajaan Negeri Perak yang baru. Untuk mendapat sedikit maklumat saya buka blog PDO. Diantara cerita yang menarik ialah rampasan kuasa yang dilakukan oleh BN ala mafia. Juga dipaparkan tindakan polis dan FRU melayan rakyat ala Yahudi di Palestin.

Timbul persoalan dalam fikiran saya ..Apa dah jadi dengan UMNO / BN dah kemaruk sangat ke?.

Sajalah nak cari buku tulisan ibnu Ismail mengenai pejuang dan pejuang yang berani mati. Kebanyakan nama pejuang yang ditulis ceritanya adalah dari Palestin termasuklah Syeikh Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz Rantisi dan lain-lain lagi. Mereka ini adalah syahid. Itulah semangat yang mereka punyai dan warisi sehingga ke hari ini. Namun puas dah mencari buku tu tak jumpa.

Cari punya cari terjumpa buku cerita kesultanan Melayu Melaka. Cerita ini sebenarnya amat masyhur iaitu cerita Sultan Mahmud mangkat Dijulang. Ceritanya adalah berkenaan dengan seorang raja yang silap membuat keputusan kerana terpengaruh dengan pembesar yang dengki kepada kehebatan seorang Laksamana. Maka dipendekkan cerita isteri si Laksamana tu pun dihukum bunuh kerana memakan sebiji buah nangka. Jadi saya tak jadi meneruskan hasrat untuk mencari buku tulisan ibnu Ismail, kerana buku cerita Sultan Mahmud mangkat Dijulang telah menjadi cukup memberi pengajaran bahawa rakyat akan memberontak sekiranya seseorang pemerintah itu tidak adil dan mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang tidak sepatutnya. Marilah kita sama-sama mendoakan agar KDYMM Sultan Perak tidak termasuk dalam kategori itu.

Monday, February 2, 2009

Mg Lapur : Jalan rosak bila nak baiki ?


Jalan masuk ke Kampong Mengkarak Stesen baru siap dinaiktaraf . Namun terdapat satu kawasan yang berbahaya kerana terdapat permukaan jalan telah ternaik dan terturun. Ini menyebabkan berlaku kesukaran apabila kenderaan berselisih di kawasan berkenaan.


Gambar ini diambil sewaktu rombongan Sdr Musaniff bersama beberapa orang AJK PAS kawasan Bera melalui kawasan berkenaan bagi membuat kunjungan mesra sambil menghadiahkan buah limau kepada penduduk di situ.


Penduduk amat berharap agar kerosakan berkenaan dapat dibaiki secepat mungkin. Seorang penduduk mendakwa hampir berlaku kemalangan kerana mengelakkan kawasan rosak tersebut.

Akujanji Pelajar UPSR tahun 2009


Pada 31hb Januari 2009 lalu SK Bandar Pusat telah mengadakan suatu perjumpaan diantara guru,Ibubapa dan pelajar tahun enam sekolah berkenaan. Yang menariknya ialah acara menandatangani Surat Akujanji yang melibatkan Ibubapa/penjaga menyerahkan anak mereka kepada guru untuk dididik serta diajar dengan baik. Manakala guru pula menerima pelajar dan akan melaksanakan seperti mana yang diharapkan oleh Ibubapa/penjaga. Pelajar pula berjanji akan mengikut jadual belajar yang telah ditetapkan oleh pihak Urusetia program kecemerlangan sekolah berkenaan. Ketiga-tiga mereka ini menurunkan tandatangan sebagai tanda bersetuju dengan Akujanji berkenaan.

Seramai 90 orang pelajar tahun enam SK Bandar Pusat akan mengambil UPSR tahun ini pada awal bulan September nanti.

Dengan usaha yang bersungguh-sungguh dari pihak Guru Besar, Guru-Guru, Ibubapa/penjaga, pelajar tahun 6 serta PIBG kami mendoakan agar SK Bandar Pusat akan dapat mencipta satu sejarah kecemerlangan UPSR pada tahun 2009 ini.

Sunday, January 25, 2009

Bayaran persekolahan akan dikenakan selepas Mesyuarat Agong PIBG ?

Ibubapa dan penjaga menarik nafas lega apabila pendaftaran pelajar sekolah tahun 2009 bagi semua sekolah kerajaan tidak dikenakan apa-apa bayaran kecuali bayaran RM1.50 untuk takaful. Perkara ini berlaku dipercayai berikutan rungutan ibubapa penjaga pada tahun 2008 lalu kepada kerajaan kerana masih mengenakan bayaran persekolahan walau telah diputuskan bahawa yuran persekolahan di mansuhkan.

Pada tahun lepas apabila sekolah mengenakan juga bayaran persekolahan, PIBG telah dipersalahkan kerana kononnya bersetuju dengan bayaran yang dikenakan. Manakala pada tahun ini kerajaan seolah-olah bermain silap mata dengan ibubapa penjaga. Apabila hanya mengenakan RM1.50 sebagai bayaran takaful, kata Sdr Musaniff Abd Rahman ketika berceramah bersama Sdr Mazlan Aliman di Pusat Khidmat Masyarakat Felda Kumai,Bera.

Bayaran sekolah dan bayaran PIBG akan dicadangkan oleh pihak AJK PIBG didalam Mesyuarat Agong PIBG pada tahun ini. Manakala cadangan AJK PIBG ini sebenarnya adalah hasil rumusan ‘mesyuarat’ Guru Besar – Guru Besar / Pengetua – Pengetua yang dibawa kedalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PIBG. AJK PIBG seolah-olah kena menerima hanya cadangan ini sahaja, tiada pilihan lain. Jumlah kedua-dua bayaran ini berbeza diantara daerah, adalah dianggarkan berada di sekitar RM 50.00 ke RM 90.00 seorang pelajar, tambah musanif lagi.

Menurut maklumat yang diperolehi bayaran perkapita ke sekolah-sekolah kerajaan berada diantara RM 100.00 hingga RM 200.00 setahun per murid. Alangkah baik kiranya kerajaan dapat menambah sedikit lagi bayaran perkapita kepada suatu jumlah yang tidak membeban pentadbiran sekolah mencari suatu kaedah bagi mendapatkan ‘ peruntukan sendiri ’ dengan menggunakan PIBG sebagai ' pembantu setia' bagi melancarkan pengajaran dan pembelajaran pelajar.

Ibubapa sekarang sudah semakin ramai yang terpelajar dan dapat memahami sekiranya bayaran itu melibatkan perkara-perkara tambahan merekapun sedia membayarnya. Tetapi jika tidak, itulah yang menjadi persoalan dikalangan ibubapa. Mahu tak mahu ibubapa dan penjaga akan membayar juga bayaran yang bakal dipersetujui di dalam Mesyuarat Agong PIBG yang akan bermula Februari ini.

Wednesday, January 14, 2009

Tahun baru 2009, peluang kita berubah

…….“ Kami memohon kepadaMu supaya memelihara kami daripada syaitan, penyokong-penyokong dan tenteranya, serta menolong kami menentang nafsu yang mengajak kepada kejahatan. Dan menolong akan kami supaya sibuk melakukan amalan untuk mendekatkan kami kepadaMu, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan .”………

Di atas adalah sebahagian maksud doa menyambut tahun baru yang dibaca sekelian umat Islam selepas solat Maghrib ( permulaan 1 Muharram tiap-tiap tahun ). Adakah kita mengerti apa yang sebenarnya yang kita pohon ataupun hanya berdoa mengikut orang atau adat sahaja.

Oleh kerana masyarakat kita ini terdiri dari tiga kumpulan yang besar maka kami akan cuba melakarkan sedikit peluang yang ada pada kita dan macamana kita boleh menggunakan peluang itu untuk melakukan perubahan. Ada orang kata perubahan itu boleh disamaertikan dengan Jihad. Jika ungkapan Jihad yang kita nak guna maka kawan kembarnya ialah pengorbanan. Sesungguhnya Jihad tidak akan berlaku kecuali adanya pengorbanan.

Pertama, Kumpulan di rumah

Ahlinya terdiri dari Ayah / Suami sebagai ketua, Ibu / Isteri sebagai Pembantu dan anak-anak sebagai pelengkap kumpulan. Kumpulan ini akan berjaya apabila semua ahli kumpulannya berjaya, maka kita panggil kumpulan berjaya ini sebagai Keluarga Bahagia.

Sebagai anak dalam keluarga bahagia, perlu ada beberapa sikap dan displin yang perlu diikuti iaitu pastikan menunaikan solat lima waktu, membaca Al Quran setiap selepas solat Maghrib, belajar serta mengulangkaji pelajaran selepas solat Isyak ( seboleh-bolehnya di surau / masjid ), bangun awal pagi untuk solat Subuh berjemaah di surau / masjid, hormati guru dan orang yang lebih tua, sentiasa memberitahu dan mengucup tangan ibubapa sebelum keluar rumah, pastikan balik kerumah waktu selepas bermain 20 minit sebelum waktu maghrib, tidak melihat dan berasa malu melihat adegan menjolok mata di kaca TV, berus gigi dan mandi sebelum solat Subuh dan Maghrib setiap hari, sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada Ibubapa dan keluarga tersayang, sentiasa memakai pakaian menutup aurat apabila di luar rumah dan apabila didatangi kerumah tetamu bukan muhrim, sentiasa memberikan ucapan salam kepada ahli rumah apabila hendak memasuki rumah , setiap masa pastikan rumah dan keluarga kita dalam keadaan yang selamat dan tidak terdedah kepada keadaan yang membahayakan dan berkatalah dengan perkataan yang lembut dan sopan apabila berbicara dengan Ibubapa.

Kepada golongan Ayah pula hendaklah berperanan sebagai Ketua Keluarga.Yakni memandu dan menegur ahli keluarga ke jalan yang diredhai Allah. Hendaklah sentiasa menunaikan janji apabila berjanji. Samada berjanji itu dengan Allah atau sesama manusia. Menjadi pendengar yang baik serta sehingga habis apa yang dituturkan oleh ahli keluarga. Dari segi ibadat hendaklah buat lebih baik daripada anak atau isteri kita terutama yang sunat. Jauhi melakukan perkara yang haram, termasuk tidak menyuap rezeki yang haram ke mulut ahli keluarga. Jangan anggap anak dan isteri sebagai orang yang sentiasa buat perkara yang tak betul. Apabila balik dari perjalanan yang jauh bawalah sedikit buah tangan untuk ahli rumah. Sentiasa mengucup dahi anak sambil mendoakannya agar faqih dengan ilmu. Lapangkan masa sekali dalam seminggu selepas waktu maghrib bersama semua ahli keluarga bertahlil serta doa selamat kepada arwah orang kita sayang.

Kepada golongan Ibu hendaklah banyak masa dirumah. Riangkan hati suami dan anak-anak dengan muka manis, rumah yang bersih,rapi serta makanan yang mereka suka. Bantulah suami mana yang perlu. Berpakaian menutup auratlah apabila berada diluar rumah. Sentiasa meminta izin suami dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara yang perlu mendapat izinnya. Tidak mudah ambil kesempatan ‘ lepas laku ‘ apabila berada di luar rumah kerana bekerja. Dari segi ibadat hendaklah buat lebih baik daripada anak. Jangan memaksa suami melakukan/menunaikan sesuatu perkara diluar kemampuannya. Sentiasa mempunyai sifat memaafkan kesalahan anak.

Itu adalah sedikit coretan panduan untuk berubah yang sempat dilakarkan dalam laman ini, mungkin pembaca sekelian mempunyai cara yang lain……..kita akan sambung episod akan datang untuk kumpulan yang kedua pula.