Thursday, September 9, 2010

DETIK 30 RAMADHAN / 1 SYAWAL 1431H…NAMUN KEDAPATAN


Pengumuman Hari Raya Idul Fitri tahun 1431 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja malam tadi telah mengistiharkan Hari Raya tahun ini adalah pada hari Jumaat 10hb September 2010. ( 1 Syawal 1431 )

Ini bermakna pada tahun ini umat Islam di Malaysia berpuasa genap 30 hari. Sebagai umat Islam yang melalui tempoh itu telah mengalami berbagai perubahan perasaan, pengajaran, kesedaran, ilmu pengetahuan dan tidak kurang juga yang tidak berubah apa-apa. Tetapi yang lebih malang lagi menjadi lebih teruk daripada sebelumnya.

Kehadiran jemaah ke Surau atau Masjid kebanyakkannya ramai sehingga melimpahi ruang solat bermula hari pertama sehingga hari kesepuluh ramadhan sahaja. Bermula hari kesebelas sehingga berikutnya bilangan jemaah semakin kurang dan terus menyusut. Namun kedapatan juga beberapa buah Surau dan Masjid yang konsistan bilangan jemaahnya lapan saf bermula hari pertama hingga akhir Ramadhan.

Amalan menggunakan khidmat Imam Hafiz luar kawasan bagi menceriakan suasana solat di Bulan Ramadhan masih boleh dipertingkatkan. Apabila sempadan Ramadhan telah menghampiri penamatnya Imam Hafiz luar akan pulang ke kampong halaman mereka. Kalau sebelum ini jemaah menikmati alunan lunak serta bacaan surah sederhana panjang dari mereka ini, tetapi selepas 27 Ramadhan mereka kembali mendengar alunan dan bacaan yang sama mereka dengar zaman mereka kecil-kecil dahulu. Namun masih kedapatan Surau dan Masjid menikmati alunan dan bacaan bertenaga menyempurnakan solat Isyak, Terawih dan Witir sehingga 30 Ramadhan.

Apabila dibuat sedikit penelitian, di dapati Surau dan Masjid yang sentiasa mengadakan majlis Tazkirah akan dapat menghidupkan bulan Ramadhan sebagai bulan Ibadah. Para jemaah pula akan sentiasa mendapat peringatan dan ilmu daripada penyampai Tazkirah, menyebabkan mereka seronok beribadah serta mempunyai kekuatan untuk meneruskan serta berubah kepada kebaikkan.

Kalau dahulu diberitakan seorang sahabat yang bernama Syaaban telah memaklumkan bahawa temannya yang bernama Ramadhan akan berkunjung menemui kita. Dan sekarang Ramadhan pula akan meninggalkan kita dan jirannya Syawal bakal menjelma. Tetapi sebelum beliau meninggalkan kita, Ramadhan berharap akan dapat bertemu lagi di tahun hadapan.


Ramadhan juga berpesan agar meneruskan apa-apa sahaja yang baik takala bersama selama 30 hari itu di bulan-bulan yang berikutnya. Teringat macamana susahnya hendak bangun seawal jam 3.30 pagi kemudian makan sahur serta terus solat subuh berjemaah di Surau dan Masjid tetapi masih boleh dilakukan dalam tempoh 30 hari itu. Kenapa tidak boleh dilakukan di bulan-bulan lain?

Ramadhan adalah bulan Ajaib. Pemergianmu bakal kurindui. Harapan dan pesananmu akan aku turuti. InsyaALLAH.

No comments: