Friday, December 25, 2009

PIBG bukan longkang ‘ peruntukkan ‘ YB

Persatuan Ibubapa dan Guru ( PIBG ) pada asasnya ialah suatu persatuan yang melibatkan ibubapa/penjaga serta guru membantu sekolah menjayakan programnya. Ada juga terdapat PIBG mempunyai sumber kewangan sendiri yang kukuh dan banyak membantu pengurusan dan program sekolah malah melebar kepada masyarakat.

Namun secara keseluruhannya PIBG berperanan membantu dan berkerjasama menjayakan program sekolah. Tetapi jawatan Yang Dipertua ( YDP )sentiasa dikaitkan dengan personel yang berkaitan dengan YB ( Wakil Rakyat ). Jika YDP yang dilantik di kalangan orang yang tidak sebulu dengan YB maka sekolah berkenaan akan diuar-uarkan sebagai sekolah yang tidak mendapat peruntukkan dari YB.

Lebih teruk lagi, pihak pengurusan sekolah juga turut terlibat mengiyakan perkara ini. Malah pihak sekolah terus tidak memohon apa-apa sumbangan yang agak besar kepada YB selama YDP tidak sebulu ini masing di jawatannya. Lantaran suasana ini ada di kalangan ibubapa dan AJK PIBG telah diracuni fikiran mereka oleh orang tertentu agar menukar YDP ini pada pemilihan akan datang. Walaupun mereka dan umum mengetahui YDP ini dapat berperanan dengan baik dan berkesan kepada sekolah dan masyarakat.

Selama hampir empat tahun ( 2007 – 2009 )YDP ini memegang jawatan, beliau bersama AJK PIBG ,Guru Besar , guru-guru dan warga sekolah dapat mengatasi pencapaian 5A dan peratus lulus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah berbanding YDP sebelumnya
( di katakan sebulu dengan YB ). Dengan izin Allah juga sekolah telah mendapat dua anugerah kecemerlangan iaitu Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri Pahang 2009 dan Sekolah Cemerlang Kokurikulum Peringkat Daerah 2007,2008 dan 2009.

Bagi warga sekolah dan PIBG mereka akan menerima sumbangan dari mana-mana pihak sekalipun. Tetapi janganlah disalahkan YDP sekiranya YB tidak menyumbang dalam jumlah yang agak besar kepada PIBG. Namun terkadang kedapatan juga YB walaupun tidak semua hanya mengumumkan jumlah peruntukkan dalam majlis perasmian Mesyuarat Agong PIBG atau majlis lain tetapi hakikatnya sampai sekarang pengumuman itu hanya tinggal pengumuman tidak menjadi realiti.

Pihak yang bertanggungjawab menyalurkan peruntukkan kepada sekolah dalam bentuk geran berkapita harus meneliti kembali jumlah yang diberikan sekarang. Mungkin nilainya perlu dinaikkan kepada suatu nilai yang sesuai dengan keadaan semasa ( harga barang telah meningkat berkali-kali ganda ). Jika ini berlaku maka bayaran tambahan persekolahan tidak perlu dikenakan dan YB tidak akan merasa gelisah apabila hadir merasmikan apa-apa program di sekolah.

Wednesday, December 16, 2009

Penjamin yang terbeban

Senario yang berlaku hari ini, malah akan berlaku seterusnya jika ianya tidak cuba diselesaikan. Apa yang diperkatakan ialah soal penjamin yang terpaksa terbeban dek sifat peminjam yang ingkar melunaskan hutang.

Memanglah senang bercakap, kalau begitu tak payahlah jadi penjamin. Tetapi setiap institusi kewangan berkehendakan penjamin. Apabila menandatangani dokumen perjanjian sebagai penjamin, masa inilah pihak institusi kewangan akan bertanya terkadang terus memberitahu sekiranya peminjam tak boleh bayar maka penjaminlah yang perlu melunaskan hutang. Rasanya ini tidak adil.

Namun pihak institusi kewangan perlulah juga mempertimbangkan persetujuan menjadi penjamin hanya untuk meluluskan pinjaman sahaja bukan turut bersama membayar kepada hutang yang tidak pernah dibuat. Mungkin juga persetujuan menjadi penjamin adalah kerana hendak menjaga hati kawan.

Kalau dari sudut ekonomi pula apabila pembelian sesebuah kenderaan itu berjaya, maka akan berlakulah penggunaan wang maka akan menyumbang kepada peningkatan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ). Tetapi sekarang ini, pembelian kereta sudah mula perlahan kerana sudah tidak ramai orang yang boleh membeli kereta kerana tersekat oleh namanya telah di senarai hitamkan akibat bermurah hati menjadi penjamin.

Pihak yang terlibat dengan polisi ini mesti melihat kembali apakah polisi berkaitan peminjam dan penjamin ini tidak menganiaya penjamin. Kesannya ialah penjamin tidak akan boleh membuat pinjaman di institusi kewangan dan sekiranya bilangannya ramai, maka ian boleh menyumbang kepada nilai KDNK akan mengecil.

Inilah keluhan para penjamin sebenarnya.. tolonglah kami, bantulah kami..kami hendak juga pakai kereta baru tetapi apakan daya usah di sebut Alza kereta Kancil pun tak mampu nak beli. Bukan kerana tak mampu nak bayar tetapi tak layak meminjam. Kasihanlah mereka ini !!!.

Friday, December 11, 2009

Penyerahan Cek dan penyampaian “Harapan Tertinggi Arwah”


Pengarah MTD Guai , Musaniff menyerahkan sekeping cek kepada wasi kepada arwah Misnin dan isterinya di Felda Mayam, Bera. Kedua-duanya telah menyertai program takaful berkelompok khairat kematian ( Ajam ) Pakatan Amal Sejagat dan telah meninggal dunia selang seminggu di bulan Ramadhan baru-baru ini.

Selain menyerahkan cek bernilai RM 5,600.00 ( RM 2,000.00 telah diserahkan dahulu sebagai membantu urusan pengebumian dan lain-lain ), Musaniff sempat menyampaikan ‘ Harapan Tertinggi Arwah ‘ dalam bentuk lisan dan bercetak. Menurut wakil keluarga , mereka semua akan melaksanakan harapan tertinggi arwah sebaik yang mungkin.

Diantara ayat yang dicatatkan di dalam harapan tertinggi arwah ialah berbunyi ,

………“ Aku juga berpesan kepada kalian semua agar bertaqwalah kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita semua. Dialah juga yang akan mematikan kita nanti. Kerjakan solat dan taatilah Allah di mana kalian berada. Tinggalkan kejahatan dan kemaksiatan kerana ia bukan sahaja dimurkai Allah tetapi dibenci juga oleh manusia. Ingatlah, sekali kalian meninggalkan solat dan kewajipan yang lain serta melakukan kemaksiatan pada Tuhan, di kala itu aku juga diseksa di persemadian.”………….

……” Alangkah gembiranya aku bila harta yang telah kalian miliki itu digunakan sedikit untuk kebajikan dan bersedekah bagi pihak diriku. Janganlah kalian gunakan peninggalan ku ini untuk berbuat maksiat. Kelak,aku juga akan terseksa.”..

Turut hadir Imam Masjid Felda Mayam, Encik Abd Samad ( Ketua UPU Felda Mayam ) dan beberapa orang AJK PAS Felda Mayam.


Kepada sesiapa yang berminat menyertaikan program takaful ini boleh menghubungi Pakatan Amal Sejagat ( Agen Korporat Etiqa Takaful ) di talian 019-9378487 ( Musaniff ).

~ mtdguai.blogspot

Wednesday, December 9, 2009

Kempen derma darah di Bera

Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh mengajurkan kempen derma darah. Tabung Darah Hospital sentiasa memerlukan darah yang selamat untuk merawat pesakit.
Pihak HOSAS mengucapkan terima kasih di atas kesudian penderma menderma darah. Darah dermaan penderma dapat menyelamatkan nyawa dan komponennya dapat merawat pesakit Leukaemia, Thalasaemia, Haemophilia, Anemia dan sebagainya.

Anda semua layak menderma darah sekiranya,

1. Berumur 18 – 60 tahun
2. Berat melebihi 45 Kg
3. Tidur melebihi 5 jam
4. Tiada masalah perubatan
5. Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan@antibiotik
6. Tarikh akhir pendermaan tidak kurang 8 minggu
7. Telah mengambil sedikit makanan sebelum menderma
8. Tidak terlibat di dalam kegiatan hubungan sejenis,berbilang pasangan@pekerja seks,
penyalahgunaan dadah
9. Kedatangan haid diterima selepas hari ke 5

Jika anda tidak memenuhi syarat kelayakan untuk menderma darah, anda masih boleh membantu pihak HOSAS dengan menpelawa keluarga serta kenalan anda untuk berbuat demikian.

Pihak HOSAS bagi tujuan kempen derma darah ini akan berada di daerah Bera pada

a. 10hb Disember 2009 ( Khamis ) - Klinik Kesihatan Padang Luas, Bera

b. 22hb Disember 2009 ( Selasa ) - Felda Sebertak

c. 29hb Disember 2009 ( Selasa ) - Felda Kumai

Saturday, December 5, 2009

Pemimpin UMNO mewarisi perangai buruk sangka penjajah Inggeris

1.Terbukti pemimpin UMNO mewarisi perangai buruk sangka yang dipunyai oleh Inggeris semasa memerintah Tanah Melayu dahulu.
2. Semasa zaman Inggeris dulu, darihal pemerintahan mesti datang dari Inggeris. Jika datang dari pihak lain maka akan berlakulah huru hara. Seolah-olah Inggeris sahaja yang pandai memerintah, kaum lain tak pandai.
3. Orang melayu masa tu panggil orang Inggeris sebagai Tuan. Bila pulak kita ni jadi hamba dia?. Begitulah sekarang ni UMNO telah cuba sedaya agar rakyat di Malaysia dapat ' diternak ? ' dan akhirnya rakyat akan ‘ memanggil ’ pemimpin UMNO sebagai Tuan.
4. Apabila 5 buah negeri dalam PRU 12 jatuh ke tangan PR, UMNO sibuk berusaha mahu menyatakan kepada rakyat bahawa PR tidak pandai memerintah. Bukan itu saja, malah ada daya yang kuat untuk mengocangkan pentadbiran negeri PR dengan satu mesej iaitu PR tidak pandai memerintah. Penyataan ‘ hanya aku saja yang pandai memerintah, orang lain tak pandai ‘ adalah sikap buruk sangka penjajah Inggeris….
5. Kes royalti minyak di negeri Kelantan. Ini juga adalah perangai buruk sangka UMNO yang telah meletakkan bahawa kerajaan Kelantan dibawah pimpinan PR tidak pandai menggunakan wang royalti. Maka jadilah ia wang ehsan, biar UMNO yang bagi kepada rakyat Kelantan.
6. Royalti minyak adalah satu perjanjian yang dibuat diantara Petronas dan semua kerajaan negeri di Malaysia. Tidak disebut langsung perkataan ehsan didalam perjanjian itu kenapa perjanjian pemberian royalti minyak kepada kerajaan Kelantan dilanggar. Maka terbuktilah bukan saja pemimpin UMNO mewarisi perangi buruk sangka penjajah Inggeris malah lebih daripada itu iaitu sanggup menjadi ‘ manusia yang terburuk sekali ’ dengan melanggar perjanjian yang pernah dibuat.
7. Sedarlah wahai pemimpin UMNO, dunia ini AMANAH oleh Allah kepada manusia untuk ditadbirkan sebaiknya. Sampai masa ia akan diambil kembali dan akan dihitung satu persatu akan amanah yang telah diberikan.

Sunday, November 29, 2009

140 orang Ahli Keluarga Pawang Kadir hadir perjumpaan kali ke 3.


Pada 28hb November 2009 baru-baru ini seramai 140 orang Ahli Keluarga Pawang Kadir ( AKPK ) berkumpul di Rumah Besar Kg Bukit Keledang, Bera. Rumah Besar adalah rumah pusaka peninggalan Pawang Kadir. Rumah tersebut mempunyai tujuh bumbung.

Tepat jam 7.45 pagi telah bermula kerja-kerja ‘ merempong ‘ seekor lembu untuk disembelih ( Ibadah Korban ). Tuan Guru Haji Mohamad ( Mudir Pondok An-Najah, Kg Bukit Keledang ), telah menyempurnakan penyembelihan tersebut.

Manakala kerja-kerja melapah,menyiang dan memasak dijalankan secara gotong-royong oleh AKPK dan jiran berhampiran.

Semua AKPK dan para tetamu telah bertahlil, doa selamat dan takbir selepas solat zohor.

Banyak acara yang dijalankan bagi memeriahkan perjumpaan keluarga kali ini. Iaitu acara sukaneka untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta cabutan bertuah.

Semua 14 wakil perdu keluarga telah tampil memperkenalkan keluarga masing-masing. Perdu bermaksud keluarga kepada anak-anak Pawang Kadir. Iaitu Abd Rahman,Sapiah,Husin, Abu Bakar, Kelesom,Jamaluddin,Ramlah,Dahilan,Halimaton,Salbiah,Badariah,Fatimah,Sakinah dan Mohd Tarmizi.

Ketua Urusetia perjumpaan keluarga, Musaniff Abd Rahman telah memaklumkan beberapa perkara. Pertama di perjumpaan kali ini AKPK mempunyai tetamu terdiri dari anak-anak saudara Pawang Kadir juga adik beradik Pawang Kadir dari Simpang Pelangai.Kedua, memperkenalkan panggilan pangkat dalam generasi dan gelaran dalam keluarga ( lihat blog Musaniff.blogspot ). Ketiga, Musaniff sempat meminta agar AKPK mengemaskini ahli keluarga perdu masing-masing dan mohon agar mendapatkan nama sebenar ibu kepada aki Abdullah ( Iaitu Emak saudara kepada Pawang Kadir ).Manakala Abu Bakar Abd Kadir selaku penasihat keluarga turut berasa gembira atas perjumpaan yang berjaya ini dan memberi kata-kata nasihat yang amat berguna kepada AKPK. Turut berucap serta memberi ucapan tahniah ialah Adli Mohamad ( Wakil anak-anak saudara Pawang Kadir yang hadir di perjumpaan kali ini).

Wednesday, November 25, 2009

Urusetia AKPK terbitkan Dokumen Perjumpaan Keluarga Kali ke 2


Pihak Urusetia Ahli Keluarga Pawang Kadir ( AKPK )telah berjaya mengumpul dan mendokumentasikan perjumpaan kali kedua AKPK pada 9 Disember 2008 lalu.

Dokumen tersebut mengandungi 40 halaman. Diantara kandungan ialah senarai kehadiran,senarai isteri dan anak Pawang Kadir,sejarah hidup ringkas Pawang Kadir, senarai anak dan pasangan anak-anak Pawang Kadir, aturcara perjumpaan kali kedua, penglibatan dalam masyarakat ahli AKPK dan gambar beramai-ramai serta gambar-gambar suasana di hari perjumpaan kali kedua. Dokumentasi ini disusun oleh Musaniff bin Abd Rahman selaku Ketua Urusetia Keluarga.

Kepada AKPK dokumentasi bercetak perjumpaan itu boleh didapati dalam dua bentuk. Pertama dicetak warna , kulit di salut plastik dan dijilid dengan RM 30.00 ( Harga termasuk kos cetak dan penghantaran ). Kedua dicetak hitam putih dan dijilid dengan RM 15.00 ( Harga termasuk kos cetak dan penghantaran ).

Pembayaran hendaklah dibuat ke akaun maybank no 156141286432 atas nama Musaniff bin Ab.Rahman. Kemudian smskan maklumat berkenaan ke nombor 019-9378487.

Dokumen asal boleh juga dilihat semasa perjumpaan keluarga kali ketiga pada 28hb November 2009 ini. Musaniff mengambil kesempatan menyeru agar semua AKPK dapat hadir dan sebagai tanda pertautan erat tali kekeluargaan, setiap keluarga perlu sampai ke Rumah Besar Kg Bukit Keledang seawal jam 7.30pagi untuk bergotong-royong menyembelih,melapah,menyiang seekor lembu dan kerja-kerja lain lagi serta membawa juadah sarapan satu keluarga satu juadah bagi kita kumpulkan dan makan pagi bersama-sama.