Saturday, January 3, 2009

Peserta program Indoor Games Nisa kecewa di Malay Town tiada surau




Baru-baru ini Nisa menganjurkan program indoor game di Malay Town. Banyak permainan dipertandingkan. Diantaranya ialah Dart, Batu Seremban, Dam Ular gergasi, Congkak,Catur,Ceper dan Carrom. Program bermula jam 9.00pagi dan berhenti rehat jam 1.00ptg.

Semasa rehat kami tercari-carilah tempat solat seperti yang dihebahkan oleh urusetia. Rupa-rupanya untuk lelaki ialah satu hamparan tikar ditingkat atas berhampiran tangga. Manakala untuk perempuan di salah satu kedai yang berada di tingkat atas.Kami bertanya-tanya juga kenapalah blok bangunan yang dinamakan Malay Town tiada mempunyai surau. Kalau Malay Town boleh dianggap sebagai ‘ duta kecil perkampungan melayu’ di kawasan tersebut. Maka amatlah wajar adat,aktiviti harian dan budaya serta perkara yang asas sebuah perkampungan melayu perlu ada di Malay Town. Adalah diharapkan agar pihak Majlis Perbandaran Kuantan perlu melihat perkara ini sebagai suatu kewajipan mengadakan tempat solat atau surau.

Sekitar jam 2.30petang program disambung semula sehingga tamat. Manakala majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Nisa Pusat, Mastura. Disini kami nak ucapkan tahniah kepada pihak Nisa Negeri Pahang kerana berjaya menganjurkan program indoor game dengan baik.

Friday, December 26, 2008

Daerah Bera kekurangan vitamin P?

Daerah Bera yang sedang rancak berjalan di dalamnya projek pembangunan. Bukan sahaja datangnya dari pihak kerajaan ( fizikal ) malah terdapat juga pihak NGO yang bersama membangunkan modal insan.

Bagi tujuan komersial pula Daerah Bera sedang membuat percubaan memperkenalkan Bandar Bera sebagai
‘ Bandar Burung Puyuh ‘.

Daerah Bera beruntung kerana mempunyai Ahli Parlimen yang berjawatan menteri. Tambah untung lagi Kompleks Rakan Muda sentiasa diisi dengan program belia.

Namun masih ada lagi kekurangan yang nampak ketara kerana pembangunan yang dilaksanakan tidak seimbang serta seperti tidak berperancangan. Lihatlah sebagai ulangan kepada yang telah membaca tulisan edisi lepas iaitu projek meninggikan jalan Temerloh-Triang di KM Simpang Kuala Bera hingga ke KM Kg Jeram Ular dan projek membina bangunan tandas di pinggir jalan.

Kami merasakan seolah-olah pihak berkuasa kekurangan maklumat yang tepat. Sebab itulah banyak projek dilaksanakan tidak menepati sasaran sebenarnya. Atau mungkin pemantauan kekesanan sesuatu projek kurang dilaksanakan?

Kami juga mendapat maklumat bahawa Daerah Bera juga kekurangan vitamin P. Mengikut amalan biasa Daerah Bera memerlukan empat vitamin P, tetapi sekarang cuma ada dua sahaja. Dengar-dengar khabar satu daripadanya akan dipindahkan ke daerah lain. Kami berharap agar pihak yang berkaitan dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana apa yang kami maksudkan vitamin P tu ialah Penghulu, kerana ia amat diperlukan berperanan dalam bidang dan bilangan yang sepatutnya ia berperanan.

Friday, December 19, 2008

Jalan baru merisaukan penduduk


Pembinaan jalan baru dari simpang Kuala Bera sehingga ke Kg Jeram Ular merisaukan penduduk. Beberapa kawasan iaitu kampong tradisi, Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak serta asramanya terlibat dengan pembinaan jalan baru ini. Dahulu kami ada menyentuh tentang pengendalian pembinaan jalan alternatif projek ini.

Tetapi kini penduduk beberapa kampong yang terlibat serta warga sekolah bakal dan sedang menghadapi kesukaran untuk masuk ke halaman mereka kerana jalan baru yang dibina berada 3m lebih tinggi dari jalan masuk ke halaman mereka. Adakah kerana hendak mengelakkan jalan ini digenangi air sewaktu musim banjir maka keputusan meninggikan aras jalan ini sehingga melebihi 4m dari aras asal dibuat? Apakah pula akan berlaku kepada kawasan kampong terlibat serta kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak serta asramanya kerana kawasan mereka berada dibawah aras jalan baru ini?

Bukan itu sahaja malah malam tadi kami terperangkap dikesesakkan lalulintas disitu kerana hanya satu lorong jalan dibuka. Kami juga dapat melihat pihak pekerja disitu hanya menggunakan kereta untuk menyalakan lampu biru menandakan kawasan amaran supaya kenderaan berhati-hati dan memperlahankan kereta mereka apabila melalui kawasan itu. Adakah tiada alat lain yang lebih praktikal untuk digunakan?

Setahu kami setiap projek mesti melalui suatu perancangan yang teliti. Sebelum diluluskan ianya diperhalusi serta diperbincangkan dengan semasak-masaknya terhadap kesan baik dan buruknya. Tetapi bagi kami projek menaiktaraf jalan dengan meninggikan aras jalan sehingga melebihi 4m di kawasan jalan masuk ke kampong dan sekolah adalah tidak wajar.

Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan penduduk dan warga sekolah sebagai jalan keluar masuk malah dapat mengundang bahaya kepada mereka yang terlibat. Pun begitu sekiranya berlaku banjir sudah tentu kawasan kampong dan sekolah akan ditenggelami air terlebih dahulu.

Tuesday, December 16, 2008

Tandas ini untuk siapa?


Tandas ini dibina untuk siapa sebenarnya. Lokasi pembinaan adalah dihadapan masjid Kg Mengkarak. Apa yang menjadi persoalan ialah bangunan tandas ini dibina diluar pagar kawasan masjid dan berada di tepi jalan Triang-Temerloh.

Persoalan kedua siapakah akan membersihkan tandas ini. Setahu kita tandas di perhentian bas dan tempat makan awam yang ada penjaganya pun kotor dan tidak dapat diurus dengan baik, macamana yang ini? Tak tahulah mungkin pihak berkenaan melantik syarikat yang akan menguruskan kebersihan tandas seperti di laluan lebuhraya.

Bukan di sini sahaja terdapatnya tandas sebegini tetapi berhampiran dengan jeti Kg Tok Langit Jalan Kuala Bera juga kelihatan bangunan tandas seperti ini. Mungkin juga terdapat ditempat-tempat lain dalam daerah Bera ini.

Kami kurang pasti agensi manakah yang bertanggungjawab mengeluar dan menawarkan kerja kepada kontraktor bagi membina bangunan tandas ini.

Komuniti Bera bukan hanya mahu kemajuan saja, tetapi biarlah kemajuan dan pembangunan itu tidak membazirkan wang rakyat. Pun begitu pembangunan yang dilaksanakan biarlah praktikal dan tidak mengundang kesusahan kepada rakyat.

Semua pihak harus prihatin dan peka dengan pengisian pembangunan. Jangan hanya untuk hendak menunjukkan bahawa apabila ada seseorang tertentu yang mencadangkan atau mengusulkan maka ianya dapat dipenuhi maka berbanggalah seseorang tertentu itu kerana mulut atau cadangannya ‘masin’. Atau tidak keterlaluan menyebut nak menutup mulut orang tertentu maka projek semacam ini dilaksanakan.

Bersama-samalah kita insaf bahawa wang dan harta negeri adalah amanah kita bersama. Jika dibelanjakan kejalan kebaikan ia akan beroleh pahala begitulah sebaliknya.

Monday, December 15, 2008

Definisi dan klasifikasi Perlembagaan

Definisi Perlembagaan


Mengikut Robertson (1993 ), perlembagaan mengandungi satu set hak,kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara autiriti awam dengan rakyat dalam sesebuah negara.
Sebagai pengertian yang mudah,perlembagaan ialah undang-undang umum yang tertinggi negara yang menjadi asas dalam pembentukan undang-undang seterusnya, samada bagi keperluan pentadbiran kerajaan dan institusi-institusinya ataupun seterusnya kepada organisasi-organisasi bukan kerajaan.
Klasifikasi Perlembagaan

Perlembagaan boleh dibahagi kepada dua iaitu:

a. Perlembagaan bertulis
b. Perlembagaan tidak bertulis

Perlembagaan bertulis meliputi semua prinsip mengenainya yang termaktub dalam satu dokumen-dokumen bersiri yang merujuk kepada perlembagaan. Perlembagan ini juga dinamakan ' conventional' (amalan pelembagaan) atau 'enacted'. Perlembagaan Malaysia ialah perlembagaan bertulis. Di Malaysia, sumber undang-undang bertulis ialah yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,Perlembagaan Negeri,undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan perundangan kecil yang diperbuat oleh badan-badan yang diberi kuasa oleh Akta Parlimen dan Enakmen/Ordinan Dewan Undangan Negeri.
Perlembagaan tidak bertulis pula terdiri daripada prinsip-prinsip perlembagaan yang tidak dicatitkan atau tidak termaktub di dalam satu dokumen secara khusus. Sebaliknya terdapat dalam beberapa keputusan-keputusan mahkamah atau konvensyen perlembagaan. Contoh di Malaysia, undang-undang tidak bertulis terdapat dalam adat tempatan,kes-kes yang dibicarakan di mahkamah dan sebagainya.

- sumber buku Kenegaraan Malaysia JPSMFPPSM UTM Skudai 2001

Sunday, December 14, 2008

8 ekor lembu Qurban di Darul Ihwan, Mengkarak

Majlis Qurban dan Akikah dijalankan selepas selesai solat sunat aidiladha dan mendengar tazkirah serta taklimat ringkas program tersebut. Pihak urusetia telah melantik tiga orang untuk tugas menyembelih iaitu Ust Sulaiman, Ust Mahyuddin dan Ust Che Zuhar. Walaupun didalam keadaan hujan renyai-renyai penyembilan serta menguruskan lembu korban berjalan dengan lancar.

Setiap individu yang terlibat dengan bahagian korban digalakkan hadir serta berkerjasama menguruskan majlis qurban sehingga siap sepenuhnya. Lembu pertama yang disembelih kira-kira pukul 10.30pagi dan semua kerja siap pada kira-kira pukul 12.15 tengahari.

Pengarah program Qurban Ust Mahyuddin bin Hussin amat berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh AJK kawasan, individu yang masuk bahagian kurban serta hadirin yang hadir. Semua daging kurban telah diagihkan keseluruh kawasan bera mengikut perancangan seperti yang telah ditetapkan.

Wednesday, December 10, 2008

PERJUMPAAN KALI KEDUA KELUARGA PAWANG KADIR MERIAH


Perjumpaan kali kedua keluarga Pawang Kadir diadakan pada 9hb Disember 2008 bertempat di Rumah Besar Kg Bukit Keledang meriah dan menyeronokan. Perjumpaan tersebut bermula dengan gotong-royong oleh ahli keluarga memasak hidangan tengahari dan berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai.

Turut hadir penasihat keluarga Encik Abu Bakar bin Haji Abd Kadir ( anak Pawang Kadir ) dan Ketua Urusetia merangkap pengerusi perjumpaan keluarga Encik Musaniff bin Haji Abd Rahman ( cucu Pawang Kadir ).

Pihak urusetia permainan telah mengadakan pertandingan menyusun gambar ( puzzle ) untuk kanak-kanak berumur 7th – 12th dan 13th – 17th. Selain dari itu cabutan bertuah dengan hadiah perkakas dapur cukup menarik perhatian ahli keluarga.

Terdapat 14 keluarga utama ( Perdu ) didalam salasilah keluarga Pawang Kadir. Setiap wakil perdu telah mengambil peluang memperkenalkan ahli keluarga baru yang hadir didalam keluarga mereka. Kehadiran keluarga baru ini datangnya dari bertambah bilangan keluarga melalui pertambahan isteri,anak, menantu,cucu,cicit,cuit,gamit, capai dan lambai.

Mengikut rekod yang diperolehi pada hari perjumpaan tersebut bilangan ahli keluarga Pawang Kadir telah mencecah angka 236 orang ( iaitu sehingga status keturunan cuit ).

Pihak urusetia perjumpaan keluarga bercadang mengadakan perjumpaan keluarga setiap tahun sekali. Encik Abu Bakar selaku penasihat keluarga mengingatkan semua ahli keluarga agar menjaga nama baik keluarga walau kemanapun mereka pergi. Sebelum mengakhiri ucapan Encik Abu Bakar berpesan agar memberi keutamaan kepada aktiviti dan perihal keluarga.

Perjumpaan tersebut berakhir jam 5.30petang. Ketua Urusetia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat. Kepada ahli keluarga yang tidak berkesempatan hadir perjumpaan kali ini boleh mendapatkan suasana perjumpaan kali kedua dan pertama didalam bentuk VCD dengan menghubungi Ketua Urusetia.