Friday, December 19, 2008

Jalan baru merisaukan penduduk


Pembinaan jalan baru dari simpang Kuala Bera sehingga ke Kg Jeram Ular merisaukan penduduk. Beberapa kawasan iaitu kampong tradisi, Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak serta asramanya terlibat dengan pembinaan jalan baru ini. Dahulu kami ada menyentuh tentang pengendalian pembinaan jalan alternatif projek ini.

Tetapi kini penduduk beberapa kampong yang terlibat serta warga sekolah bakal dan sedang menghadapi kesukaran untuk masuk ke halaman mereka kerana jalan baru yang dibina berada 3m lebih tinggi dari jalan masuk ke halaman mereka. Adakah kerana hendak mengelakkan jalan ini digenangi air sewaktu musim banjir maka keputusan meninggikan aras jalan ini sehingga melebihi 4m dari aras asal dibuat? Apakah pula akan berlaku kepada kawasan kampong terlibat serta kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak serta asramanya kerana kawasan mereka berada dibawah aras jalan baru ini?

Bukan itu sahaja malah malam tadi kami terperangkap dikesesakkan lalulintas disitu kerana hanya satu lorong jalan dibuka. Kami juga dapat melihat pihak pekerja disitu hanya menggunakan kereta untuk menyalakan lampu biru menandakan kawasan amaran supaya kenderaan berhati-hati dan memperlahankan kereta mereka apabila melalui kawasan itu. Adakah tiada alat lain yang lebih praktikal untuk digunakan?

Setahu kami setiap projek mesti melalui suatu perancangan yang teliti. Sebelum diluluskan ianya diperhalusi serta diperbincangkan dengan semasak-masaknya terhadap kesan baik dan buruknya. Tetapi bagi kami projek menaiktaraf jalan dengan meninggikan aras jalan sehingga melebihi 4m di kawasan jalan masuk ke kampong dan sekolah adalah tidak wajar.

Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan penduduk dan warga sekolah sebagai jalan keluar masuk malah dapat mengundang bahaya kepada mereka yang terlibat. Pun begitu sekiranya berlaku banjir sudah tentu kawasan kampong dan sekolah akan ditenggelami air terlebih dahulu.

No comments: