Tuesday, December 16, 2008

Tandas ini untuk siapa?


Tandas ini dibina untuk siapa sebenarnya. Lokasi pembinaan adalah dihadapan masjid Kg Mengkarak. Apa yang menjadi persoalan ialah bangunan tandas ini dibina diluar pagar kawasan masjid dan berada di tepi jalan Triang-Temerloh.

Persoalan kedua siapakah akan membersihkan tandas ini. Setahu kita tandas di perhentian bas dan tempat makan awam yang ada penjaganya pun kotor dan tidak dapat diurus dengan baik, macamana yang ini? Tak tahulah mungkin pihak berkenaan melantik syarikat yang akan menguruskan kebersihan tandas seperti di laluan lebuhraya.

Bukan di sini sahaja terdapatnya tandas sebegini tetapi berhampiran dengan jeti Kg Tok Langit Jalan Kuala Bera juga kelihatan bangunan tandas seperti ini. Mungkin juga terdapat ditempat-tempat lain dalam daerah Bera ini.

Kami kurang pasti agensi manakah yang bertanggungjawab mengeluar dan menawarkan kerja kepada kontraktor bagi membina bangunan tandas ini.

Komuniti Bera bukan hanya mahu kemajuan saja, tetapi biarlah kemajuan dan pembangunan itu tidak membazirkan wang rakyat. Pun begitu pembangunan yang dilaksanakan biarlah praktikal dan tidak mengundang kesusahan kepada rakyat.

Semua pihak harus prihatin dan peka dengan pengisian pembangunan. Jangan hanya untuk hendak menunjukkan bahawa apabila ada seseorang tertentu yang mencadangkan atau mengusulkan maka ianya dapat dipenuhi maka berbanggalah seseorang tertentu itu kerana mulut atau cadangannya ‘masin’. Atau tidak keterlaluan menyebut nak menutup mulut orang tertentu maka projek semacam ini dilaksanakan.

Bersama-samalah kita insaf bahawa wang dan harta negeri adalah amanah kita bersama. Jika dibelanjakan kejalan kebaikan ia akan beroleh pahala begitulah sebaliknya.

No comments: