Wednesday, September 15, 2010

Orang muda Geng Kita : Diterjemah di Felda Tementi




Moto “ Orang Muda Geng Kita “ bukan omongan kosong. Di Felda Tementi, Bera Ahli Jawatankuasa Pemuda UPU Felda Tementi telah menganjurkan Jamuan Hari Raya bermula jam 9.30 malam hingga 11.00 malam. Kehadiran tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat amat menggalakkan. Terutama golongan muda.

Majlis tersebut juga diserikan dengan kehadiran YDP PAS Kawasan Bera Ust Sulaiman, TYDP PAS Kawasan Bera Sdr Musaniff , Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bera Sdr Shahrul dan Ketua Penerangan PAS Bera Ust Yusuf.

Para golongan muda diperingatkan agar mengambil peluang mendaftar sebagai pemilih, terutama mereka yang lahir pada atau sebelum bulan Ogos 1989. Mereka ini telah layak mendaftar sebagai pemilih.

Menjelang PRU 13 yang akan datang, golongan muda diseru agar memilih parti yang pemimpinnya berjiwa rakyat, tidak mementing diri serta kroni, berlaku adil kepada semua bangsa dan berkebajikan. Untuk itu rakyat termasuk golongan muda perlu membuat perubahan secara besar-besaran dan sederap samada di kawasan Felda, Pinggir Bandar, Bandar dan kampong tradisi.

Menyentuh mengenai isu peneroka Kemahang 3 menang saman keatas FELDA berkaitan isu grading perahan sawit. Perkara yang sama akan dibuat di Felda gugusan Bera ini. Badan penyelaras telah dibentuk dan peneroka di Felda gugusan Bera perlu berkerjasama serta berani meneruskan perjuangan menuntut keadilan berkaitan isu grading perahan sawit berserta kemungkinan satu isu baru yang akan dikemukakan ke mahkamah sebelum akhir tahun ini.

Thursday, September 9, 2010

DETIK 30 RAMADHAN / 1 SYAWAL 1431H…NAMUN KEDAPATAN


Pengumuman Hari Raya Idul Fitri tahun 1431 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja malam tadi telah mengistiharkan Hari Raya tahun ini adalah pada hari Jumaat 10hb September 2010. ( 1 Syawal 1431 )

Ini bermakna pada tahun ini umat Islam di Malaysia berpuasa genap 30 hari. Sebagai umat Islam yang melalui tempoh itu telah mengalami berbagai perubahan perasaan, pengajaran, kesedaran, ilmu pengetahuan dan tidak kurang juga yang tidak berubah apa-apa. Tetapi yang lebih malang lagi menjadi lebih teruk daripada sebelumnya.

Kehadiran jemaah ke Surau atau Masjid kebanyakkannya ramai sehingga melimpahi ruang solat bermula hari pertama sehingga hari kesepuluh ramadhan sahaja. Bermula hari kesebelas sehingga berikutnya bilangan jemaah semakin kurang dan terus menyusut. Namun kedapatan juga beberapa buah Surau dan Masjid yang konsistan bilangan jemaahnya lapan saf bermula hari pertama hingga akhir Ramadhan.

Amalan menggunakan khidmat Imam Hafiz luar kawasan bagi menceriakan suasana solat di Bulan Ramadhan masih boleh dipertingkatkan. Apabila sempadan Ramadhan telah menghampiri penamatnya Imam Hafiz luar akan pulang ke kampong halaman mereka. Kalau sebelum ini jemaah menikmati alunan lunak serta bacaan surah sederhana panjang dari mereka ini, tetapi selepas 27 Ramadhan mereka kembali mendengar alunan dan bacaan yang sama mereka dengar zaman mereka kecil-kecil dahulu. Namun masih kedapatan Surau dan Masjid menikmati alunan dan bacaan bertenaga menyempurnakan solat Isyak, Terawih dan Witir sehingga 30 Ramadhan.

Apabila dibuat sedikit penelitian, di dapati Surau dan Masjid yang sentiasa mengadakan majlis Tazkirah akan dapat menghidupkan bulan Ramadhan sebagai bulan Ibadah. Para jemaah pula akan sentiasa mendapat peringatan dan ilmu daripada penyampai Tazkirah, menyebabkan mereka seronok beribadah serta mempunyai kekuatan untuk meneruskan serta berubah kepada kebaikkan.

Kalau dahulu diberitakan seorang sahabat yang bernama Syaaban telah memaklumkan bahawa temannya yang bernama Ramadhan akan berkunjung menemui kita. Dan sekarang Ramadhan pula akan meninggalkan kita dan jirannya Syawal bakal menjelma. Tetapi sebelum beliau meninggalkan kita, Ramadhan berharap akan dapat bertemu lagi di tahun hadapan.


Ramadhan juga berpesan agar meneruskan apa-apa sahaja yang baik takala bersama selama 30 hari itu di bulan-bulan yang berikutnya. Teringat macamana susahnya hendak bangun seawal jam 3.30 pagi kemudian makan sahur serta terus solat subuh berjemaah di Surau dan Masjid tetapi masih boleh dilakukan dalam tempoh 30 hari itu. Kenapa tidak boleh dilakukan di bulan-bulan lain?

Ramadhan adalah bulan Ajaib. Pemergianmu bakal kurindui. Harapan dan pesananmu akan aku turuti. InsyaALLAH.

Sunday, September 5, 2010

Malu….kawasan felda gugusan Bera terima sumbangan air mentah dari SYABAS


Baru-baru ini beberapa kawasan felda dalam kawasan gugusan bera menerima bekalan air mentah dari pihak SYABAS ( Selangor ). Terima kasih kepada pihak pengurusan SYABAS kerana peka dengan masalah air di kawasan felda gugusan bera.

Namun beberapa persoalan hendak ditimbulkan:

Pertama, kenapa Kerajaan Pahang tidak berusaha atau mengambil tindakan mengatasi masalah bekalan air kawasan felda gugusan bera dengan bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh pihak SYABAS atau lebih lagi.

Pihak SYABAS telah membekalkan tangki air ke Masjid dan botol kandungan 5 liter air minuman kepada peneroka ( disampaikan oleh YB Guai ). Kenapa pihak kerajaan Pahang tidak memikirkan kearah itu?

Kedua, baru-baru ini melalui media di maklumkan Negeri Selangor bakal menghadapi krisis kekurangan air. Tambahan pula Negeri Selangor bakal menjadi pembeli air dari Negeri Pahang sedikit masa lagi. Tetapi peristiwa penghantaran air tersebut membuktikan sebaliknya.

Ketiga, kenapa pihak SYABAS beriya-iya benar membantu kawasan felda gugusan bera, Pahang ini.? Mungkin ada sesuatu yang ingin pihak pengurusan tertinggi SYABAS mahukan daripada pengurusan tertinggi Persekutuan ( juga Orang Pahang yang merangkap ‘menjaga ‘ FELDA ).

Sepatutnya pihak kerajaan Pahang berasa malu dengan kelembapan tindakan mereka. Jika pimpinan Negeri Pahang tidak berasa apa-apa dengan peristiwa penghantaran air oleh pihak SYABAS, bermakna mereka ini sudah kehilangan moral dan daya kreativiti.

Masalah bekalan air yang berlaku di kawasan felda gugusan bera terutama Felda Purun dan Mayam telah berlaku sejak lebih 20 tahun lepas. Kenapa pihak kerajaan Pahang tidak berusaha mengatasinya dengan sebaiknya?

Wednesday, August 25, 2010

Mengenali secara ringkas : Iftar, Infaq dan Tazkirah


Iftar adalah majlis berbuka puasa. Masjid dan surau kebanyakkan menjadi tempat majlis Iftar dilangsungkan. Manakala penganjurnya adalah dikalangan kariah tempatan. Ada yang mengambil bahagian Iftar ini satu hari untuk dia seorang sahaja, ada yang menyertai secara berkongsi dengan ahli keluarga mereka dan ada yang berkongsi dengan kawan-kawan.

Mereka mengambil peluang sungguh-sungguh untuk menganjurkan Iftar ini walaupun secara kasarnya tiap-tiap hari kos yang terlibat mencecah sekitar RM550.00. Ini adalah kerana kehadiran orang yang berbuka puasa di tempat itu purata 70 orang setiap hari. Bagi mereka memberi orang berpuasa makan adalah suatu kelebihan dan diberikan ganjaran pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu.

Ada masjid semasa 15 syaaban lagi senarai nama yang ingin menyertai Iftar telah penuh. Maka masjid tersebut telah mengadakan tiap-tiap hari majlis Iftar. Beruntunglah sesiapa yang menganjurkan dan menyertainya.

Infaq adalah derma yang diberikan kepada orang yang berkeperluan. Kebanyakkan derma diberi dalam bentuk wang ataupun barangan.

Sempena kehadiran bulan Ramadhan ramai yang mengambil peluang untuk memberikan Infaq. Walaupun infaq boleh dilakukan di luar bulan Ramadhan, namun kebanyakkan orang suka mengeluarkannya di dalam bulan Ramadhan. Mereka tahu pahala yang berganda-ganda jika mereka melakukan di dalam bulan Ramadhan.Tambahan pula infaq yang mereka berikan ini beroleh pahala yang tidak putus-putus, inilah yang mereka cari dan inilah yang mereka berlumba-lumba.

Tazkirah adalah merupakan majlis penyampaian ilmu dan peringatan kepada kebesaran Allah swt. Selalunya diadakan dalam bulan Ramadhan di Masjid, Surau ataupun tempat orang ramai berhimpun. Boleh juga diadakan diluar bulan Ramadhan. Selalunya majlis Tazkirah mengambil masa diantara 15 minit hingga 40 minit sahaja.

Keutama majlis Tazkirah ini dilakukan pada bulan Ramadhan ialah kerana pada bulan ini semua majlis ilmu di Masjid dan Surau diberhentikan. Dengan kehadiran orang ramai ke Masjid dan surau di bulan mulia ini, maka mereka akan berpeluang mendapat ilmu dan ayat-ayat peringatan selain dari bersama-sama menunaikan solat Isyak,Terawih,witir dan Subuh secara berjemaah.

Ayuh kita mulakan ,semarakkan dan teruskan…

Tuesday, August 10, 2010

CELOTEH AMBANG RAMADHAN : Apa perlu kita buat…


Esok jatuhlah 1 Ramadhan 1431 bagi rakyat Malaysia. Bermakna esok adalah hari pertama umat Islam di Malaysia dan Negara yang sewaktu dengannya menjalani ibadah puasa.

Malam ini akan bermulalah solat sunat terawih dan witir. Ada surau dan masjid mengadakan solat terawih sebanyak 20 rakaat dan tak kurang juga 8 rakaat. Begitu jugalah sunat witir boleh dilakukan 3 rakaat ataupun 1 rakaat. Yang sembahyang 3 rakaat pula boleh lakukan dua salam ataupun satu salam sahaja.

Perbezaan diatas janganlah menjadi bahan pertikaian. Apa yang penting ialah melakukan solat sunat terawih tu, berapa rakaat bukan perkara pokok. Yang sepatutnya menjadi tajuk atau pertikaian ialah dalam suasana seronok menceritakan kehadiran bulan Ramadhan tetapi masih ada kenalan kita, saudara mara kita dan jiran kita telah memasang angan-angan untuk tidak berpuasa apatah lagi berterawih. Mereka ini perlu disedarkan dan diberi kefahaman.

Ramadhan kali ini buatlah yang berbeza berbanding tahun lepas. Biarlah Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik sekali dari semua sudut. Kalau Ramadhan lepas kita tidak suka kepada tazkirah, tapi tahun ini biar kita cadangkan agar tazkirah diadakan di tempat kita. Kalau Ramadhan lepas kita banyak membeli juadah berbuka puasa dengan siapa sahaja yang menjual asalkan nampak berselera, tapi kali ini kena pilih orang yang menjual itu adalah orang yang menutup aurat serta berpuasa. Masak sendiri lagi baik.

Dari segi rancangan TV pula jika tahun lepas banyak menyaksikan adegan maksiat dan melalaikan, tapi kali ini pilihlah rancangan yang boleh mendatangkan pendidikan baik dan manfaat kepada keluarga. Biar kita kawal TV bukan sebaliknya.

Jangan tinggalkan bersahur ( jam 4.30 pagi bukan jam 12.00 tengah malam ). Buatlah persediaan solat subuh atau membaca Al Quran sementara menunggu masuk waktu fardu Subuh. Solat subuh secara berjemaah di Surau atau Masjid adalah digalakkan. Bagi yang inginkan ketenangan bangunlah seawal jam 3.30pagi untuk melakukan solat sunat tahajjud dan hajat. InsyAllah, Allah akan bantu dan mempermudahkan. Di waktu pagi pula lazimkan solat sunat Duha setiap hari.

Apa yang sebenarnya kita mahu selepas melalui PENDIDIKAN RAMADHAN ialah KEBERKATAN , KEAMPUNAN DAN LEPAS DARI AZAB API NERAKA. Mampukah kita?

Wednesday, July 28, 2010

Guru gred DG 41 hingga DG 48 dibenar berpolitik


Satu berita yang mengembirakan di kalangan guru yang berada di tangga itu. Persoalan timbul kenapa golongan pendidik ( guru ) sahaja yang diberikan kebenaran, kenapa tidak kepada semua pegawai kakitangan awam kumpulan A. Namun yang berada di golongan ini ada yang gembira, ada yang susah hati dan tidak kurang juga ada yang tiada respon seolah-olah telah diputuskan deria emosinya.

Kebenaran menyertai parti politik kepada kakitangan pengurusan sepatutnya telah lama diberikan. Menyertai atau memegang jawatan dalam parti politik adalah merupakan kokurikulum kepada penjawat awam. Mereka akan mempunyai masa bersama dan menyelami masyarakat. Lantas dapat membantu mereka dalam proses merancang dan mengeluarkan cadangan yang bernas serta praktikal keatas sesuatu program atau projek pembangunan.

Sudah lamapun diberitahu bahawa politik ini bukanlah sesuatu yang kotor atau menjijikkan. Tetapi kekotoran itu dibawa oleh personel dan kumpulan yang mempunyai virus tamak dan jauh menyimpang dari matlamat suci berpolitik. Berpolitik bermaksud mencari jalan bagaimana mensejahterakan kehidupan rakyat dan masyarakat dengan cara yang benar. Bukan mencari habuan untuk kepentingan diri dan kroni.

Berpolitik untuk kepentingan diri dan kroni adalah amalan budaya lampau yang ketinggalan zaman. Jika masih diteruskan lagi maka kita akan melihat suasana masyarakat yang hancur sehancurnya.

Begitu juga budaya memaksa kakitangan menyertai dan memegang jawatan di dalam parti politik. Islam pun tidak memaksa manusia memeluk agama Islam. Maka begitu jugalah kakitangan awam tidak boleh dipaksa menyertai mana-mana parti politik. Ini adalah hak individu. Pun begitu jangan pula dicop mana-mana kakitangan yang tidak mahu menyertai mana-mana parti. Tambahan pula memang telah diagendakan sejak dahulu malah telah menjadi realiti kini, pemegang jawatan tertinggi dan kanan penjawat awam terutama bidang pendidikan ini kebanyakkan dari personel yang memegang jawatan parti berhaluan kebangsaan. Jangan didiskriminasi atau dizalimi kakitangan awam lain yang tidak mahu menyertai parti berhaluan begitu.

Jika apa yang dinyatakan berlaku juga maka mengeluarkan kebenaran kepada guru gred DG 41 hingga DG 48 menyertai politik hanyalah sesuatu platform untuk membolehkan guru-guru yang telah sediada berada dan aktif bersama parti berhaluan kebangsaan ini bergerak bebas dan terus bebas. Tapi ingat, gaji anda dibayar sebagai seorang guru yang perlu mendidik anak bangsa dengan sukatan pelajaran dan masa mengajar seperti yang di jadualkan. Jika anda culas atau tidak bersungguh-sungguh mengajar maka anda akan dipersoalkan di kemudian hari. Iaitu hari pembalasan,,apa anda hendak jawab?

Friday, July 23, 2010

Asal nama Guai


Nama Guai dikaitkan dengan dua nama yang masyhor sekarang. Pertama Kampong Guai dan kedua DUN Guai. Manakala DUN Guai pula memang mengambil sempena nama kampog tu.

Kalau orang dari Kg Lebak menghilir Sungai Pahang hingga ke Kuala Triang akan tahulah bebenar Kg Guai ini.Oleh kerana kebanyakkan kampong-kampong kecil yang berhampiran penduduknya bersaudara belaka,untuk memudahkan maka mereka menyebut kampong mereka kepada orang luar adalah Kg.Guai.

Kampong-kampong tersebut ialah Kg Guai, Kg Batu Temelian,Kg Merbau,Kg Tanjung Kuran, Kg Mengkarak ( seberang ),Kg Seberang Guai, Kg Bkt Keledang, Kg Tanjung Menuang, Kg Tok Langit.

Terkadang orang-orang di Kampong sekitar simpang Guai ( Lubuk Ayam ) juga memperkenalkan sebagai Kg Guai. Macam juga Kg Kerayong, Kg Jeram Ular,Kg Paya Pagar,Kg Mengkarak, Kg Jelam, Kg Durian Tawar dan Padang Luas yang memang sepusat dan sepusing dengan Kg Guai.

Guai dari cerita pertama berasal dari perkataan “ buai “. Pada suatu ketika dulu mereka yang duduk disebelah tebing sungai melihat ada satu akar yang panjang melengkung berbentuk macam buai yang bergerak terbuai-buai. Dan orang kampong menyebut perkataan terbuai-buai itu dengan “ terguai-guai”. Itulah cerita ringkasnya.

Manakala cerita yang kedua pula ialah berkaitan dengan corak hidup penduduk disini sewaktu ketika dahulu. Kampong ini adalah suatu kampong yang aman, semangat persudaraan yang amat tinggi, tempat pengajian ilmu akhirat, tempat pengajian ilmu dunia dan tempat di mana As Sultan Pahang selalu berkunjung.

Dipendekkan cerita mereka ini semuanya mengakui bahawa kampong ini adalah kampong mereka termasuklah orang Cina dan orang Inggeris. Maka berkatalah orang cina , “ Ini kampong Gua “. Orang Inggeris pun turut sama menyatakan, “ Ini kampong I “. Dengan kebijaksanaan orang-orang kampong maka diberilah nama kampong tersebut sempenaan cantuman “ Gua “ dan “ I “ jadikan Kampong Guai.

“ Guai “ dan “ I “ juga bermaksud aku,koi,kawan dan saya. Maka Kg Guai juga boleh agaknya di panggil Kampong Ku, Kampong Koi ataupun Kampong Saya. Inilah cerita yang kami dengar dicuping telinga aje.