Tuesday, August 10, 2010

CELOTEH AMBANG RAMADHAN : Apa perlu kita buat…


Esok jatuhlah 1 Ramadhan 1431 bagi rakyat Malaysia. Bermakna esok adalah hari pertama umat Islam di Malaysia dan Negara yang sewaktu dengannya menjalani ibadah puasa.

Malam ini akan bermulalah solat sunat terawih dan witir. Ada surau dan masjid mengadakan solat terawih sebanyak 20 rakaat dan tak kurang juga 8 rakaat. Begitu jugalah sunat witir boleh dilakukan 3 rakaat ataupun 1 rakaat. Yang sembahyang 3 rakaat pula boleh lakukan dua salam ataupun satu salam sahaja.

Perbezaan diatas janganlah menjadi bahan pertikaian. Apa yang penting ialah melakukan solat sunat terawih tu, berapa rakaat bukan perkara pokok. Yang sepatutnya menjadi tajuk atau pertikaian ialah dalam suasana seronok menceritakan kehadiran bulan Ramadhan tetapi masih ada kenalan kita, saudara mara kita dan jiran kita telah memasang angan-angan untuk tidak berpuasa apatah lagi berterawih. Mereka ini perlu disedarkan dan diberi kefahaman.

Ramadhan kali ini buatlah yang berbeza berbanding tahun lepas. Biarlah Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik sekali dari semua sudut. Kalau Ramadhan lepas kita tidak suka kepada tazkirah, tapi tahun ini biar kita cadangkan agar tazkirah diadakan di tempat kita. Kalau Ramadhan lepas kita banyak membeli juadah berbuka puasa dengan siapa sahaja yang menjual asalkan nampak berselera, tapi kali ini kena pilih orang yang menjual itu adalah orang yang menutup aurat serta berpuasa. Masak sendiri lagi baik.

Dari segi rancangan TV pula jika tahun lepas banyak menyaksikan adegan maksiat dan melalaikan, tapi kali ini pilihlah rancangan yang boleh mendatangkan pendidikan baik dan manfaat kepada keluarga. Biar kita kawal TV bukan sebaliknya.

Jangan tinggalkan bersahur ( jam 4.30 pagi bukan jam 12.00 tengah malam ). Buatlah persediaan solat subuh atau membaca Al Quran sementara menunggu masuk waktu fardu Subuh. Solat subuh secara berjemaah di Surau atau Masjid adalah digalakkan. Bagi yang inginkan ketenangan bangunlah seawal jam 3.30pagi untuk melakukan solat sunat tahajjud dan hajat. InsyAllah, Allah akan bantu dan mempermudahkan. Di waktu pagi pula lazimkan solat sunat Duha setiap hari.

Apa yang sebenarnya kita mahu selepas melalui PENDIDIKAN RAMADHAN ialah KEBERKATAN , KEAMPUNAN DAN LEPAS DARI AZAB API NERAKA. Mampukah kita?

No comments: