Tuesday, August 10, 2010

CELOTEH AMBANG RAMADHAN : Apa perlu kita buat…


Esok jatuhlah 1 Ramadhan 1431 bagi rakyat Malaysia. Bermakna esok adalah hari pertama umat Islam di Malaysia dan Negara yang sewaktu dengannya menjalani ibadah puasa.

Malam ini akan bermulalah solat sunat terawih dan witir. Ada surau dan masjid mengadakan solat terawih sebanyak 20 rakaat dan tak kurang juga 8 rakaat. Begitu jugalah sunat witir boleh dilakukan 3 rakaat ataupun 1 rakaat. Yang sembahyang 3 rakaat pula boleh lakukan dua salam ataupun satu salam sahaja.

Perbezaan diatas janganlah menjadi bahan pertikaian. Apa yang penting ialah melakukan solat sunat terawih tu, berapa rakaat bukan perkara pokok. Yang sepatutnya menjadi tajuk atau pertikaian ialah dalam suasana seronok menceritakan kehadiran bulan Ramadhan tetapi masih ada kenalan kita, saudara mara kita dan jiran kita telah memasang angan-angan untuk tidak berpuasa apatah lagi berterawih. Mereka ini perlu disedarkan dan diberi kefahaman.

Ramadhan kali ini buatlah yang berbeza berbanding tahun lepas. Biarlah Ramadhan kali ini menjadi yang terbaik sekali dari semua sudut. Kalau Ramadhan lepas kita tidak suka kepada tazkirah, tapi tahun ini biar kita cadangkan agar tazkirah diadakan di tempat kita. Kalau Ramadhan lepas kita banyak membeli juadah berbuka puasa dengan siapa sahaja yang menjual asalkan nampak berselera, tapi kali ini kena pilih orang yang menjual itu adalah orang yang menutup aurat serta berpuasa. Masak sendiri lagi baik.

Dari segi rancangan TV pula jika tahun lepas banyak menyaksikan adegan maksiat dan melalaikan, tapi kali ini pilihlah rancangan yang boleh mendatangkan pendidikan baik dan manfaat kepada keluarga. Biar kita kawal TV bukan sebaliknya.

Jangan tinggalkan bersahur ( jam 4.30 pagi bukan jam 12.00 tengah malam ). Buatlah persediaan solat subuh atau membaca Al Quran sementara menunggu masuk waktu fardu Subuh. Solat subuh secara berjemaah di Surau atau Masjid adalah digalakkan. Bagi yang inginkan ketenangan bangunlah seawal jam 3.30pagi untuk melakukan solat sunat tahajjud dan hajat. InsyAllah, Allah akan bantu dan mempermudahkan. Di waktu pagi pula lazimkan solat sunat Duha setiap hari.

Apa yang sebenarnya kita mahu selepas melalui PENDIDIKAN RAMADHAN ialah KEBERKATAN , KEAMPUNAN DAN LEPAS DARI AZAB API NERAKA. Mampukah kita?

Wednesday, July 28, 2010

Guru gred DG 41 hingga DG 48 dibenar berpolitik


Satu berita yang mengembirakan di kalangan guru yang berada di tangga itu. Persoalan timbul kenapa golongan pendidik ( guru ) sahaja yang diberikan kebenaran, kenapa tidak kepada semua pegawai kakitangan awam kumpulan A. Namun yang berada di golongan ini ada yang gembira, ada yang susah hati dan tidak kurang juga ada yang tiada respon seolah-olah telah diputuskan deria emosinya.

Kebenaran menyertai parti politik kepada kakitangan pengurusan sepatutnya telah lama diberikan. Menyertai atau memegang jawatan dalam parti politik adalah merupakan kokurikulum kepada penjawat awam. Mereka akan mempunyai masa bersama dan menyelami masyarakat. Lantas dapat membantu mereka dalam proses merancang dan mengeluarkan cadangan yang bernas serta praktikal keatas sesuatu program atau projek pembangunan.

Sudah lamapun diberitahu bahawa politik ini bukanlah sesuatu yang kotor atau menjijikkan. Tetapi kekotoran itu dibawa oleh personel dan kumpulan yang mempunyai virus tamak dan jauh menyimpang dari matlamat suci berpolitik. Berpolitik bermaksud mencari jalan bagaimana mensejahterakan kehidupan rakyat dan masyarakat dengan cara yang benar. Bukan mencari habuan untuk kepentingan diri dan kroni.

Berpolitik untuk kepentingan diri dan kroni adalah amalan budaya lampau yang ketinggalan zaman. Jika masih diteruskan lagi maka kita akan melihat suasana masyarakat yang hancur sehancurnya.

Begitu juga budaya memaksa kakitangan menyertai dan memegang jawatan di dalam parti politik. Islam pun tidak memaksa manusia memeluk agama Islam. Maka begitu jugalah kakitangan awam tidak boleh dipaksa menyertai mana-mana parti politik. Ini adalah hak individu. Pun begitu jangan pula dicop mana-mana kakitangan yang tidak mahu menyertai mana-mana parti. Tambahan pula memang telah diagendakan sejak dahulu malah telah menjadi realiti kini, pemegang jawatan tertinggi dan kanan penjawat awam terutama bidang pendidikan ini kebanyakkan dari personel yang memegang jawatan parti berhaluan kebangsaan. Jangan didiskriminasi atau dizalimi kakitangan awam lain yang tidak mahu menyertai parti berhaluan begitu.

Jika apa yang dinyatakan berlaku juga maka mengeluarkan kebenaran kepada guru gred DG 41 hingga DG 48 menyertai politik hanyalah sesuatu platform untuk membolehkan guru-guru yang telah sediada berada dan aktif bersama parti berhaluan kebangsaan ini bergerak bebas dan terus bebas. Tapi ingat, gaji anda dibayar sebagai seorang guru yang perlu mendidik anak bangsa dengan sukatan pelajaran dan masa mengajar seperti yang di jadualkan. Jika anda culas atau tidak bersungguh-sungguh mengajar maka anda akan dipersoalkan di kemudian hari. Iaitu hari pembalasan,,apa anda hendak jawab?

Friday, July 23, 2010

Asal nama Guai


Nama Guai dikaitkan dengan dua nama yang masyhor sekarang. Pertama Kampong Guai dan kedua DUN Guai. Manakala DUN Guai pula memang mengambil sempena nama kampog tu.

Kalau orang dari Kg Lebak menghilir Sungai Pahang hingga ke Kuala Triang akan tahulah bebenar Kg Guai ini.Oleh kerana kebanyakkan kampong-kampong kecil yang berhampiran penduduknya bersaudara belaka,untuk memudahkan maka mereka menyebut kampong mereka kepada orang luar adalah Kg.Guai.

Kampong-kampong tersebut ialah Kg Guai, Kg Batu Temelian,Kg Merbau,Kg Tanjung Kuran, Kg Mengkarak ( seberang ),Kg Seberang Guai, Kg Bkt Keledang, Kg Tanjung Menuang, Kg Tok Langit.

Terkadang orang-orang di Kampong sekitar simpang Guai ( Lubuk Ayam ) juga memperkenalkan sebagai Kg Guai. Macam juga Kg Kerayong, Kg Jeram Ular,Kg Paya Pagar,Kg Mengkarak, Kg Jelam, Kg Durian Tawar dan Padang Luas yang memang sepusat dan sepusing dengan Kg Guai.

Guai dari cerita pertama berasal dari perkataan “ buai “. Pada suatu ketika dulu mereka yang duduk disebelah tebing sungai melihat ada satu akar yang panjang melengkung berbentuk macam buai yang bergerak terbuai-buai. Dan orang kampong menyebut perkataan terbuai-buai itu dengan “ terguai-guai”. Itulah cerita ringkasnya.

Manakala cerita yang kedua pula ialah berkaitan dengan corak hidup penduduk disini sewaktu ketika dahulu. Kampong ini adalah suatu kampong yang aman, semangat persudaraan yang amat tinggi, tempat pengajian ilmu akhirat, tempat pengajian ilmu dunia dan tempat di mana As Sultan Pahang selalu berkunjung.

Dipendekkan cerita mereka ini semuanya mengakui bahawa kampong ini adalah kampong mereka termasuklah orang Cina dan orang Inggeris. Maka berkatalah orang cina , “ Ini kampong Gua “. Orang Inggeris pun turut sama menyatakan, “ Ini kampong I “. Dengan kebijaksanaan orang-orang kampong maka diberilah nama kampong tersebut sempenaan cantuman “ Gua “ dan “ I “ jadikan Kampong Guai.

“ Guai “ dan “ I “ juga bermaksud aku,koi,kawan dan saya. Maka Kg Guai juga boleh agaknya di panggil Kampong Ku, Kampong Koi ataupun Kampong Saya. Inilah cerita yang kami dengar dicuping telinga aje.

Wednesday, July 21, 2010

Penduduk Kampong jangan di lupa


Ini adalah rintihan orang kampong. DS Najib sibuk sangat mempertahankan FELDA, ingat bukan peneroka. Tetapi nasib orang kampong terus dipandang sepi.

Sebabnya mudah memang tidak ada hasil dan faedah dari orang kampong. Kalau peneroka mereka ini ada ladang yang ada sangkutan dengan FELDA. Bila ada saja sangkutan dengan FELDA mereka rasa mereka boleh buat apa saja.Tetapi mereka lupa apa itu akta GSA yang sebenarnya ( sila baca buku dan tengok VCD hasil usaha peguam Wan Rohaimi tu ).

Kami ambil contoh sebuah kampong yang terletak di daerah Bera iaitu Kampong Guai. Dari segi prasarana amat jauh ketinggalan berbanding dengan kampong-kampong lain. Jalan masuk dari Kg Charuk Putting rosak teruk dan amat menyedihkan. Dah masuk dalam akhbar sinar harian tetapi tidak ada respon segera dari pihak yang berkaitan. Manakala jalan di tepi sungai pula terlalu kecil serta terlalu hampir dengan sungai dan terdapat cerun yang tidak selamat hanya menunggu masa untuk runtuh ke sungai.

Dari segi kerja penyelengaraan atau membaiki kerosakan perkhidmatan ( Bekalan Air, Elektrik dan Telefon ) juga lambat. Penduduk kampong terpaksa menunggu terlalu lama.Tambahan pula kalau ada yang melibatkan permohonan tanah mereka ini tidak akan di pandang.

Kalau hendak bercerita dari segi Jalan Perhubungan. Sepatutnya telah lama sebatang jambatan menghubungkan daratan Daerah Bera ini dibina. Tempat yang paling sesuai ialah di sekitar Kampong Guai inilah. Untuk pengetahuan Kampong Guai adalah diantara kampong yang tertua di Negeri Pahang.

Di Kampong Guai inilah juga terdapat sebuah Sekolah Menengah Agama yang bernama Sek Men Agama Attifaqiyah.Berasal dari sekolah agama rakyat kemudian diambil alih oleh kerajaan negeri Pahang. Tetapi dari segi kecenderungan pihak Negeri terutama pemimpin tempatan untuk memajukan sekolah ini, jauh sekali. Inilah satu-satunya sekolah agama di Daerah Bera.

Disini juga terdapat sebuah sekolah rendah. Ini juga merupakan salah sebuah sekolah rendah yang tertua di Negeri Pahang. Sekolah ini ramai melahirkan orang yang cerdik , ternama dan menjadi sebutan masyarakat di masa kini.

Namun semua itu hanya boleh dinukilkan sahaja, tetapi hakikatnya orang kampong tidak ada pemimpin Negeri terutamanya tempatan yang sudi menyelami perasaan mereka. Mereka ini cuma berguna bila DYMM Sultan datang mencemar duli melawat kampong, acara berakit, persiapan kenduri bila pemimpin besar turun ke kampong, Pilihanraya dan lain-lain lagi.

Sunday, July 11, 2010

FELDA : Sekadar nak belum bankrup lagi…

Apabila berita buruk mengenai FELDA saja diterbitkan dalam apa-apa media pasti PM DS Najib dan konconya akan melenting gila. Tambah pula isu ‘ FELDA BANKRUP’ bertambahlah gila mereka melenting.

Isu yang diperkatakan ada mempunyai fakta, ekoran jawapan MP Dato’ Ahmad Maslan di Parlimen. Beliau menjawab soalan berkaitan simpanan wang tunai FELDA dari lebih kurang 4 Bilion menyusut kepada lebih kurang 1 Bilion. Dato’ AMs juga memberi jawapan kemana wang itu digunakan. Diantara yang boleh dinyatakan wang tersebut digunakan ialah dalam tanam semula ladang, pinjaman perumahan dan membantu kewangan sebuah FELDA di Sabah.

Memang betul awal penubuhan FELDA dulu wang tunai FELDA ini bertambah dari tahun ke tahun. Ia digunakan dalam keadaan yang perlu dan diganti semula. Ini berlaku di masa pengerusi FELDA sebelum Dato Yusuf Nor. Tetapi sekarang dah bebeza wang ini telah berkurang dan terus berkurang. Kebimbingan inilah yang mereka perkatakan sekarang. Kepada sesiapa yang boleh mendapat maklumat boleh bertanya kepada Ibupejabat FELDA di Kuala Lumpur mengenai kedudukan perkara ini. Jangan hentam kromo aje marahkan orang yang menyampaikan berita kebimbangan ini.

Mengenai jawab Dato’ AMs tu pun ramai yang tidak puas hati. Jawapan pertamanya ialah mengenai menggunakan wang tunai FELDA ( WTF ) ini untuk tanam semula ladang. Semua peneroka maklum bahawa TTS berjumlah RM 17,000.00 adalah dipotong setiap bulan terhadap setiap peneroka….macamana pula WTF digunakan untuk tanam semula ladang?. Kedua WTF digunakan untuk pinjaman rumah peneroka. Kami dimaklumkan pinjaman ini dikenakan caj 1% - 3% atas pinjaman. Disini bermakna ada keuntungan...jadi kenapa guna WTF?

Apabila peneroka telah cuba mengambil semula pemikiran yang telah dilekakan dengan keadaan “ selesa “ selama ini, PM DS Najib telah mula rasa tergugat. Maka juak-juak yang telah ' sekian lama menjadi DEDALU kepada FELDA ' berusaha menggunakan peneroka dan anak-anak muda membuat tunjuk perasaan membantah isu FELDA BANKRUP.

Tetapi yang anehnya,

a. Pihak pengurusan FELDA tidak berkata sepatahpun
b. Semasa isu menyatakan Malaysia bakal bankrup tahun 2019 tiada siapa rakyat Malaysia pun yang marahkan Dato Yusuf Jala.
c. Kapal yang dah lama kita naik, tiba-tiba ada orang kata kapal ini dah nak tenggelam sebab dah lihat tanda-tandanya. Patutkah orang yang memberitahu tu di marahi? di musuhi?......???


Sebagai peringatan kepada kita sebagai rakyat dan pemerintah,


Rakyat Malaysia ini terdiri dari pelbagai golongan .Mereka terdiri daripada Penduduk Bandar, Penduduk Pinggir Bandar, Peneroka FELDA, Penduduk Kg Tradisi, Penduduk Setinggan , Perkampungan Nelayan , Penduduk Kampong tersusun , Estet dan Orang Asal. Mereka ini semuanya perlu dilayan seadilnya, baik dari segi pembangunan, sosioekonomi, pendidikan dan lain-lain.
Ingat esok mereka akan dakwa….mungkin sekarang ini mereka memendam rasa...tapi percayalah akan meletup jua...bila?

Wednesday, July 7, 2010

PAKATAN AMAL SEJAGAT BUKA CAWANGAN DI BERA


Pakatan Amal Sejagat adalah merupakan agen korporat eTiQa takaful. Bagi memberi khidmat kepada penduduk Bera sebuah cawangannya bakal di buka pada 15 Julai 2010 ini.


Kedudukan tempat perniagaan yang strategi berhadapan dengan Laman Kerayong dan sederet restoren Green Cafe akan memberi kemudahan kepada pelanggan untuk mengunjunginya.


Pelbagai perkhidmatan bakal disediakan diantaranya ialah Insuran Kenderaan, Road tax kenderaan, Fax, printing kertas kerja, membayar bil online dan lain-lain.


Penduduk Bera dan sekitarnya agar mengambil peluang dihari pembukaan pada 15 Julai 2010 sehingga 31 Julai 2010, kerana kadar perkhidmatan diberi potongan sehingga 50% selama tempoh itu.

Saturday, July 3, 2010

Buah sawit muda dan peneroka


Peneroka FELDA amat faham dengan istilah BTS, perahan, buah muda, Tabung Tanam Semula, loading buah, wang sara hidup dan pelbagai lain istilah yang digunakan didalam dunia ladang atau kebun kelapa sawit.

Semalam kami sempat berbual dengan seorang yang pernah berkerja di dalam kilang kelapa sawit. Beliau menceritakan bagaimana pihak kilang berurusan dengan pelanggannya yang terdiri dari tiga kumpulan yang besar iaitu peneroka , agensi lain dan taukeh cina berkaitan dengan buah sawit muda.

Apabila taukeh cina bawa masuk beberapa lori mengandungi buah sawit dan ada pula yang mengandungi buah sawit muda, maka buah sawit yang muda ini tidak dikira dan disuruh bawa pulang. Maka taukeh cina ini bawa balik dan mencampurkannya dengan dengan buah sawit yang masak untuk lori yang berikutnya dan diterima. Dan pada musim beberapa hari lagi Tahun Baru Cina bakal menjelang maka beberapa perkara lagi yang berlaku…beliau memberhentikan ceritanya disini.

Tetapi apabila peneroka yang membawa buah muda, maka buah berkenaan dikehendaki tinggal dikilang. Kata mereka buah ini perlu dimusnahkan. Maka menggununglah tinggi timbunan buah sawit muda di kawasan lapang di Kilang tersebut. Pada malamnya beberapa mesin telah bekerja memunggah buah sawit muda ini. Sebahagian besar telah dimasukkan untuk diproses dan hanya sebahagian kecil sahaja dibuang ke tempat pembuangan. Inilah yang berlaku tambah beliau yang tidak mahu namanya dinyatakan.

Kebenaran cerita ini masih lagi disangsikan, namun jika mahu cerita yang sebenar tanyalah peneroka-peneroka yang mengusahakan kelapa sawit.. ikutilah kisah seterusnya disiri akan datang