Friday, January 8, 2010

Pejabat ,Pegawai dan Kakitangan Awam perlu berperanan memurnikan bukan sebaliknya

Pejabat, Pegawai dan kakitangan awam mempunyai peranan yang penting dalam masyarakat. Mungkin ada orang keliru dengan istilah pegawai dan kakitangan awam yang digunakan. Sebenarnya orang yang sama jika digunapakai istilah pegawai dan kakitangan kerajaan.

Dirasakan istilah pejabat, pegawai dan kakitangan awam lebih sesuai digunakan. Semua mereka yang berkhidmat dengan kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat termasuk kakitangan pejabat Felda, Felcra,Risda, Pihak Berkuasa Tempatan, Pendidikan Daerah, Tanah dan Daerah juga guru-guru dan lain-lain lagi.

Mereka ini sepatutnya dapat berperanan memurnikan atau menyedia juga memberikan ruang bunga-bunga kemesraaan kepada ahli politik yang berlainan aliran apabila melibatkan mereka ini diruang kawasan ‘ medan awam ‘. Tidak timbul soal pegawai dan kakitangan awam menyebelahi perkara yang tidak betul walaupun daripada parti yang memerintah.

Sebenarnya seorang ahli politik yang matang memang seorang yang berjiwa besar dan mempunyai keinginan melihat masyarakat berada di dalam kesejahteraan hidup. Jika masih terdapat lagi sebilangan ahli masyarakat yang tidak mampu berdiri bersama ahli masyarakat yang lain dari segi keperluan asas maka ahli politik dengan kemampuan yang ada padanya pasti akan membantu. Itulah jiwa seorang ahli politik, jika tidak maka mereka bukanlah ahli politik tetapi ahli ‘polititik’.

Pegawai dan kakitangan awam boleh menggerap dan berkongsi cadangan dari ahli politik yang berlainan aliran ini dalam mencapai suatu keputusan. Dan sudah pasti idea serta cadangan yang datang dari pelbagai sudut ini akan menghasilkan keputusan yang hampir menepati citarasa masyarakat.

Ayuh kita hanyutkan ahli polititik ini, mari kita bina suatu masyarakat yang berpolitik matang serta berani memberi atau menerima pendapat yang betul walaupun kepada atau daripada sesiapa sekalipun.

Saturday, January 2, 2010

KEPUTUSAN SMA 2009 – PENCAPAIAN MAAHAD SAS MEMBANGGAKAN


MaahadSAS 2 Januari 2010 – Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2009 telah sampai ke pejabat sekolah pada jam 10.30 pagi tadi. Namun demikian, pelajar-pelajar dibenarkan mengambil slip keputusan tersebut pada hari Isnin ini.
Analisis yang dibuat menunjukkan ada peningkatan yang banyak dari segi peratus kelulusan pelajar. Analisis kali ini adalah berdasarkan jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan iaitu seramai 127 orang, walaupun yang mendaftar adalah seramai 128 orang.
Dari jumlah tersebut 73 orang mendapat pangkat 1 iaitu sebanyak 57.48 peratus. Ia memperlihatkan sedikit penurunan berbanding 59.11 peratus pada tahun sebelumnya. Pangkat 2 diwakili oleh 41 orang iaitu meningkat kepada 32.28 peratus berbanding 24.11 peratus tahun sebelumnya. Pangkat 3 seramai 12 orang iaitu 9.48 peratus. Manakala seorang calon sahaja yang gagal kali ini iaitu mewakili 0.79 peratus Peratus lulus mencapai 99.21% berbanding tahunlepas 91.84%


Secara umum Gred purata sekolah adalah sebanyak 4.02 dan ia bertambah baik berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.08.

Berikut adalah senarai pelajar cemerlang dalam SMA 2009 dipaparkan.


Tahniah kepada anak-anak yang berjaya dengan cemerlang teruskan usaha untuk berjaya dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan. Senitiasalah hormati Ibubapa dan guru.


~ www.maahadsas.edu.my

SESI PERSEKOLAHAN 2010 : IBUBAPA DULU DIBEBANKAN DEMI PRESTASI

Seminggu sebelum sesi persekolahan 2010 bermula Ibubapa telah menyiapkan kelengkapan bagi anak-anak mereka. Tempoh inilah kedai, pasaraya dan tempat menjual persediaan persekolahan menjadi tumpuan.

Mahu tak mahu peralatan dan keperluan persekolahan anak-anak perlulah diadakan. Namun keadaan harga barang yang tinggi mengundang beberapa keperluan asas persekolahan anak gagal dipenuhi oleh sebilangan besar Ibubapa.

Secara umumnya baju,seluar,stoking dan kasut memerlukan 2 helai atau 2 pasang. Ini bertujuan untuk menyediakan anak-anak sentiasa berpakaian bersih serta kemas semasa sesi persekolahan. Tambahan lagi setiap pelajar diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum yang melibatkan pakaian seragam.( Juga melibatkan kewangan ).

Bagi mendapatkan gambaran perbelanjaan Ibubapa menjelang pembukaan sesi persekolahan 2010 diilustrasikan Ibubapa mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya bersekolah di peringkat menengah.( Tingkatan 1 , 3 dan 5 ).

ITEM A

a. Baju RM 15.00 x 2 helai x 3 orang = RM 90.00

b. Seluar RM 25.00 x 2 helai x 3 orang = RM 150.00

c. Stokin RM 5.00 x 2 helai x 3 orang = RM 30.00

d. Kasut RM 20.00 x 2 pasang x 3 orang = RM 120.00

e. Kalkulator RM 35.00 x 3 orang = RM 105.00

f. Buku tulis RM 30.00 x 3 orang = RM 90.00

g. Beg RM 30.00 x 3 orang = RM 90.00

h. Peralatan tulis RM 20.00 x 3 orang = RM 60.00

JUMLAH ITEM A = RM 825.00



ITEM B

Bayaran tambahan persekolahan dan
sumbangan PIBG 2010
( RM 42 x 3 orang + RM 35 ) = RM 161.00

JUMLAH ITEM B = RM 161.00


JUMLAH BESAR ( ITEM A + ITEM B ) = RM 986.00


Secara mudahnya RM 1,000.00 perlukan disediakan bagi sesi persekolahan 2010 untuk tiga orang anak lelaki. Yakni secara purata untuk seorang anak lelaki RM 329.00 diperlukan bagi menghadapi persekolahan tahun ini. Ini tidak termasuk belanja dan bayaran bulanan kenderaan ke sekolah.


Tidakkah ada usaha kerajaan untuk mengurangkan bayaran-bayaran ini? Pertama harga barang perlu dikajisemula. Jika GST dikenakan secara mudahnya maka tambahan 4% daripada nilai barangan di item A menjadikan RM 858.00 ( kenaikan RM 33.00 ). Kedua menaikkan geran per kapita sekolah kepada suatu nilai yang menusabah sehingga pelajar tidak perlu membayar bayaran tambahan persekolahan berjumlah RM 42.00 seorang pelajar dan beberapa bayaran lagi....

Wednesday, December 30, 2009

Watak-watak semasa Hijrah Nabi


Pertama: Ali bin Abu Talib

Seorang pemuda yang berani dan amanah. Mengantikan tempat tidur nabi dan memulangkan barang simpanan kepada pemunyanya seperti dipesan oleh Rasulullah.

Kedua: Abu Bakar

Seorang yang sanggup bersusah payah untuk Rasulullah dengan harta dan kewangan. Menyediakan dua ekor unta yang sihat dan kewangan untuk kegunaan berhijrah.

Ketiga : Abdullah bin Abu Bakar

Seorang yang rajin dan kuat simpan rahsia. Menghapuskan kesan-kesan tapak kaki unta dengan kumpulan kambingnya dan menyampaikan berita musuh kepada kepada Rasullah.

Keempat : Abdullah Uraiqit

Seorang kafir yang bersedia berkhidmat untuk Rasulullah. Penunjuk jalan dari Mekah ke Madinah.

Kelima : Amir Fuhairah

Seorang penulis bersama berhijrah. Penulis kepada janji Rasullah kepada Surakah

Keenam : Ummu Ma’bad ( Atiqah bt Khalid )

Seorang peniaga wanita yang jujur. Dirumah inilah Rasulullah memerah susu kambing yang tidak bersusu akhirnya mengeluarkan susu yang banyak. Susu yang diperah tadi dibahagi dua sebahagian untuk bekalan kumpulan hijrah Rasullah dan sebahagian lagi disimpan untuk tuan rumah.


Ketujuh : Surakah bin Ja’syam

Seorang yang memburu harta jika dapat membunuh Rasullah. Surakah mendengar tawaran seratus ekor unta kepada sesiapa yang dapat membunuh Muhammmad terus pergi mencari secara berseorangan. Apabila bertemu Rasulullah secara berdepan ia tidak mampu melakukannya walaupun mempunyai peluang yang terbuka, namun ia telah menemui kebenaran lalu terus membatal niat membunuh dan memeluk Islam. Rasulullah berjanji akan menghadiahkan kepada Surakah gelang kaki Kisra Parsi. Perjanjian ini ditulis oleh Amir Fuhairah.


Kelapan : Abu Baridah

Ketua kumpulan samseng yang turut memburu Rasulullah. Bersama pengikut mencari Nabi Muhammad kerana mendapat maklumat bahawa Muhammad adalah seorang yang tidak baik dan pengkhianat Negara perlu dibunuh. Apabila bertemu dan melihat peribadi Rasulullah tidak seperti apa yang dikhabarkan maka Abu Baridah berserta rakan-rakan membatalkan niat dan terus memeluk Islam kemudian turut menyertai kumpulan hijrah Rasulullah.

Kesembilan : Abu Ma’bad ( Suami Atiqah )

Seorang yang telah lama mendengar perkhabaran tentang Rasulullah. Semasa Rasulullah singgah di rumahnya dia tiada di rumah. Apabila isterinya ( Atiqah ) menceritakan perihal kambing yang tidak bersusu awalnya tetapi boleh mengeluarkan susu setelah Rasulullah memerahnya. Beliau telah melihat ini sebagai mukjizat seorang nabi lantas terus mengekori Rasulullah dan menyertai kumpulan hijrah Rasulullah.


Kesimpulannya bagi kesembilan manusia ini telah menunaikan tanggungjawabnya dan berperanan dalam peristiwa besar HIJARAHTUL RASUL. Berbagai latar belakang manusia telah menunjukkan komitmennya. Jadi apakah peranan kita bagi menegakkan keadilan di Negeri dan Negara kita?


~ musaniff.blogspot



Friday, December 25, 2009

PIBG bukan longkang ‘ peruntukkan ‘ YB

Persatuan Ibubapa dan Guru ( PIBG ) pada asasnya ialah suatu persatuan yang melibatkan ibubapa/penjaga serta guru membantu sekolah menjayakan programnya. Ada juga terdapat PIBG mempunyai sumber kewangan sendiri yang kukuh dan banyak membantu pengurusan dan program sekolah malah melebar kepada masyarakat.

Namun secara keseluruhannya PIBG berperanan membantu dan berkerjasama menjayakan program sekolah. Tetapi jawatan Yang Dipertua ( YDP )sentiasa dikaitkan dengan personel yang berkaitan dengan YB ( Wakil Rakyat ). Jika YDP yang dilantik di kalangan orang yang tidak sebulu dengan YB maka sekolah berkenaan akan diuar-uarkan sebagai sekolah yang tidak mendapat peruntukkan dari YB.

Lebih teruk lagi, pihak pengurusan sekolah juga turut terlibat mengiyakan perkara ini. Malah pihak sekolah terus tidak memohon apa-apa sumbangan yang agak besar kepada YB selama YDP tidak sebulu ini masing di jawatannya. Lantaran suasana ini ada di kalangan ibubapa dan AJK PIBG telah diracuni fikiran mereka oleh orang tertentu agar menukar YDP ini pada pemilihan akan datang. Walaupun mereka dan umum mengetahui YDP ini dapat berperanan dengan baik dan berkesan kepada sekolah dan masyarakat.

Selama hampir empat tahun ( 2007 – 2009 )YDP ini memegang jawatan, beliau bersama AJK PIBG ,Guru Besar , guru-guru dan warga sekolah dapat mengatasi pencapaian 5A dan peratus lulus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah berbanding YDP sebelumnya
( di katakan sebulu dengan YB ). Dengan izin Allah juga sekolah telah mendapat dua anugerah kecemerlangan iaitu Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri Pahang 2009 dan Sekolah Cemerlang Kokurikulum Peringkat Daerah 2007,2008 dan 2009.

Bagi warga sekolah dan PIBG mereka akan menerima sumbangan dari mana-mana pihak sekalipun. Tetapi janganlah disalahkan YDP sekiranya YB tidak menyumbang dalam jumlah yang agak besar kepada PIBG. Namun terkadang kedapatan juga YB walaupun tidak semua hanya mengumumkan jumlah peruntukkan dalam majlis perasmian Mesyuarat Agong PIBG atau majlis lain tetapi hakikatnya sampai sekarang pengumuman itu hanya tinggal pengumuman tidak menjadi realiti.

Pihak yang bertanggungjawab menyalurkan peruntukkan kepada sekolah dalam bentuk geran berkapita harus meneliti kembali jumlah yang diberikan sekarang. Mungkin nilainya perlu dinaikkan kepada suatu nilai yang sesuai dengan keadaan semasa ( harga barang telah meningkat berkali-kali ganda ). Jika ini berlaku maka bayaran tambahan persekolahan tidak perlu dikenakan dan YB tidak akan merasa gelisah apabila hadir merasmikan apa-apa program di sekolah.

Wednesday, December 16, 2009

Penjamin yang terbeban

Senario yang berlaku hari ini, malah akan berlaku seterusnya jika ianya tidak cuba diselesaikan. Apa yang diperkatakan ialah soal penjamin yang terpaksa terbeban dek sifat peminjam yang ingkar melunaskan hutang.

Memanglah senang bercakap, kalau begitu tak payahlah jadi penjamin. Tetapi setiap institusi kewangan berkehendakan penjamin. Apabila menandatangani dokumen perjanjian sebagai penjamin, masa inilah pihak institusi kewangan akan bertanya terkadang terus memberitahu sekiranya peminjam tak boleh bayar maka penjaminlah yang perlu melunaskan hutang. Rasanya ini tidak adil.

Namun pihak institusi kewangan perlulah juga mempertimbangkan persetujuan menjadi penjamin hanya untuk meluluskan pinjaman sahaja bukan turut bersama membayar kepada hutang yang tidak pernah dibuat. Mungkin juga persetujuan menjadi penjamin adalah kerana hendak menjaga hati kawan.

Kalau dari sudut ekonomi pula apabila pembelian sesebuah kenderaan itu berjaya, maka akan berlakulah penggunaan wang maka akan menyumbang kepada peningkatan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ). Tetapi sekarang ini, pembelian kereta sudah mula perlahan kerana sudah tidak ramai orang yang boleh membeli kereta kerana tersekat oleh namanya telah di senarai hitamkan akibat bermurah hati menjadi penjamin.

Pihak yang terlibat dengan polisi ini mesti melihat kembali apakah polisi berkaitan peminjam dan penjamin ini tidak menganiaya penjamin. Kesannya ialah penjamin tidak akan boleh membuat pinjaman di institusi kewangan dan sekiranya bilangannya ramai, maka ian boleh menyumbang kepada nilai KDNK akan mengecil.

Inilah keluhan para penjamin sebenarnya.. tolonglah kami, bantulah kami..kami hendak juga pakai kereta baru tetapi apakan daya usah di sebut Alza kereta Kancil pun tak mampu nak beli. Bukan kerana tak mampu nak bayar tetapi tak layak meminjam. Kasihanlah mereka ini !!!.

Friday, December 11, 2009

Penyerahan Cek dan penyampaian “Harapan Tertinggi Arwah”


Pengarah MTD Guai , Musaniff menyerahkan sekeping cek kepada wasi kepada arwah Misnin dan isterinya di Felda Mayam, Bera. Kedua-duanya telah menyertai program takaful berkelompok khairat kematian ( Ajam ) Pakatan Amal Sejagat dan telah meninggal dunia selang seminggu di bulan Ramadhan baru-baru ini.

Selain menyerahkan cek bernilai RM 5,600.00 ( RM 2,000.00 telah diserahkan dahulu sebagai membantu urusan pengebumian dan lain-lain ), Musaniff sempat menyampaikan ‘ Harapan Tertinggi Arwah ‘ dalam bentuk lisan dan bercetak. Menurut wakil keluarga , mereka semua akan melaksanakan harapan tertinggi arwah sebaik yang mungkin.

Diantara ayat yang dicatatkan di dalam harapan tertinggi arwah ialah berbunyi ,

………“ Aku juga berpesan kepada kalian semua agar bertaqwalah kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita semua. Dialah juga yang akan mematikan kita nanti. Kerjakan solat dan taatilah Allah di mana kalian berada. Tinggalkan kejahatan dan kemaksiatan kerana ia bukan sahaja dimurkai Allah tetapi dibenci juga oleh manusia. Ingatlah, sekali kalian meninggalkan solat dan kewajipan yang lain serta melakukan kemaksiatan pada Tuhan, di kala itu aku juga diseksa di persemadian.”………….

……” Alangkah gembiranya aku bila harta yang telah kalian miliki itu digunakan sedikit untuk kebajikan dan bersedekah bagi pihak diriku. Janganlah kalian gunakan peninggalan ku ini untuk berbuat maksiat. Kelak,aku juga akan terseksa.”..

Turut hadir Imam Masjid Felda Mayam, Encik Abd Samad ( Ketua UPU Felda Mayam ) dan beberapa orang AJK PAS Felda Mayam.


Kepada sesiapa yang berminat menyertaikan program takaful ini boleh menghubungi Pakatan Amal Sejagat ( Agen Korporat Etiqa Takaful ) di talian 019-9378487 ( Musaniff ).

~ mtdguai.blogspot