Tuesday, December 16, 2008

Tandas ini untuk siapa?


Tandas ini dibina untuk siapa sebenarnya. Lokasi pembinaan adalah dihadapan masjid Kg Mengkarak. Apa yang menjadi persoalan ialah bangunan tandas ini dibina diluar pagar kawasan masjid dan berada di tepi jalan Triang-Temerloh.

Persoalan kedua siapakah akan membersihkan tandas ini. Setahu kita tandas di perhentian bas dan tempat makan awam yang ada penjaganya pun kotor dan tidak dapat diurus dengan baik, macamana yang ini? Tak tahulah mungkin pihak berkenaan melantik syarikat yang akan menguruskan kebersihan tandas seperti di laluan lebuhraya.

Bukan di sini sahaja terdapatnya tandas sebegini tetapi berhampiran dengan jeti Kg Tok Langit Jalan Kuala Bera juga kelihatan bangunan tandas seperti ini. Mungkin juga terdapat ditempat-tempat lain dalam daerah Bera ini.

Kami kurang pasti agensi manakah yang bertanggungjawab mengeluar dan menawarkan kerja kepada kontraktor bagi membina bangunan tandas ini.

Komuniti Bera bukan hanya mahu kemajuan saja, tetapi biarlah kemajuan dan pembangunan itu tidak membazirkan wang rakyat. Pun begitu pembangunan yang dilaksanakan biarlah praktikal dan tidak mengundang kesusahan kepada rakyat.

Semua pihak harus prihatin dan peka dengan pengisian pembangunan. Jangan hanya untuk hendak menunjukkan bahawa apabila ada seseorang tertentu yang mencadangkan atau mengusulkan maka ianya dapat dipenuhi maka berbanggalah seseorang tertentu itu kerana mulut atau cadangannya ‘masin’. Atau tidak keterlaluan menyebut nak menutup mulut orang tertentu maka projek semacam ini dilaksanakan.

Bersama-samalah kita insaf bahawa wang dan harta negeri adalah amanah kita bersama. Jika dibelanjakan kejalan kebaikan ia akan beroleh pahala begitulah sebaliknya.

Monday, December 15, 2008

Definisi dan klasifikasi Perlembagaan

Definisi Perlembagaan


Mengikut Robertson (1993 ), perlembagaan mengandungi satu set hak,kuasa dan prosedur yang mengawal hubungan antara autiriti awam dengan rakyat dalam sesebuah negara.
Sebagai pengertian yang mudah,perlembagaan ialah undang-undang umum yang tertinggi negara yang menjadi asas dalam pembentukan undang-undang seterusnya, samada bagi keperluan pentadbiran kerajaan dan institusi-institusinya ataupun seterusnya kepada organisasi-organisasi bukan kerajaan.
Klasifikasi Perlembagaan

Perlembagaan boleh dibahagi kepada dua iaitu:

a. Perlembagaan bertulis
b. Perlembagaan tidak bertulis

Perlembagaan bertulis meliputi semua prinsip mengenainya yang termaktub dalam satu dokumen-dokumen bersiri yang merujuk kepada perlembagaan. Perlembagan ini juga dinamakan ' conventional' (amalan pelembagaan) atau 'enacted'. Perlembagaan Malaysia ialah perlembagaan bertulis. Di Malaysia, sumber undang-undang bertulis ialah yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,Perlembagaan Negeri,undang-undang yang digubal oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan perundangan kecil yang diperbuat oleh badan-badan yang diberi kuasa oleh Akta Parlimen dan Enakmen/Ordinan Dewan Undangan Negeri.
Perlembagaan tidak bertulis pula terdiri daripada prinsip-prinsip perlembagaan yang tidak dicatitkan atau tidak termaktub di dalam satu dokumen secara khusus. Sebaliknya terdapat dalam beberapa keputusan-keputusan mahkamah atau konvensyen perlembagaan. Contoh di Malaysia, undang-undang tidak bertulis terdapat dalam adat tempatan,kes-kes yang dibicarakan di mahkamah dan sebagainya.

- sumber buku Kenegaraan Malaysia JPSMFPPSM UTM Skudai 2001

Sunday, December 14, 2008

8 ekor lembu Qurban di Darul Ihwan, Mengkarak

Majlis Qurban dan Akikah dijalankan selepas selesai solat sunat aidiladha dan mendengar tazkirah serta taklimat ringkas program tersebut. Pihak urusetia telah melantik tiga orang untuk tugas menyembelih iaitu Ust Sulaiman, Ust Mahyuddin dan Ust Che Zuhar. Walaupun didalam keadaan hujan renyai-renyai penyembilan serta menguruskan lembu korban berjalan dengan lancar.

Setiap individu yang terlibat dengan bahagian korban digalakkan hadir serta berkerjasama menguruskan majlis qurban sehingga siap sepenuhnya. Lembu pertama yang disembelih kira-kira pukul 10.30pagi dan semua kerja siap pada kira-kira pukul 12.15 tengahari.

Pengarah program Qurban Ust Mahyuddin bin Hussin amat berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh AJK kawasan, individu yang masuk bahagian kurban serta hadirin yang hadir. Semua daging kurban telah diagihkan keseluruh kawasan bera mengikut perancangan seperti yang telah ditetapkan.

Wednesday, December 10, 2008

PERJUMPAAN KALI KEDUA KELUARGA PAWANG KADIR MERIAH


Perjumpaan kali kedua keluarga Pawang Kadir diadakan pada 9hb Disember 2008 bertempat di Rumah Besar Kg Bukit Keledang meriah dan menyeronokan. Perjumpaan tersebut bermula dengan gotong-royong oleh ahli keluarga memasak hidangan tengahari dan berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai.

Turut hadir penasihat keluarga Encik Abu Bakar bin Haji Abd Kadir ( anak Pawang Kadir ) dan Ketua Urusetia merangkap pengerusi perjumpaan keluarga Encik Musaniff bin Haji Abd Rahman ( cucu Pawang Kadir ).

Pihak urusetia permainan telah mengadakan pertandingan menyusun gambar ( puzzle ) untuk kanak-kanak berumur 7th – 12th dan 13th – 17th. Selain dari itu cabutan bertuah dengan hadiah perkakas dapur cukup menarik perhatian ahli keluarga.

Terdapat 14 keluarga utama ( Perdu ) didalam salasilah keluarga Pawang Kadir. Setiap wakil perdu telah mengambil peluang memperkenalkan ahli keluarga baru yang hadir didalam keluarga mereka. Kehadiran keluarga baru ini datangnya dari bertambah bilangan keluarga melalui pertambahan isteri,anak, menantu,cucu,cicit,cuit,gamit, capai dan lambai.

Mengikut rekod yang diperolehi pada hari perjumpaan tersebut bilangan ahli keluarga Pawang Kadir telah mencecah angka 236 orang ( iaitu sehingga status keturunan cuit ).

Pihak urusetia perjumpaan keluarga bercadang mengadakan perjumpaan keluarga setiap tahun sekali. Encik Abu Bakar selaku penasihat keluarga mengingatkan semua ahli keluarga agar menjaga nama baik keluarga walau kemanapun mereka pergi. Sebelum mengakhiri ucapan Encik Abu Bakar berpesan agar memberi keutamaan kepada aktiviti dan perihal keluarga.

Perjumpaan tersebut berakhir jam 5.30petang. Ketua Urusetia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat. Kepada ahli keluarga yang tidak berkesempatan hadir perjumpaan kali ini boleh mendapatkan suasana perjumpaan kali kedua dan pertama didalam bentuk VCD dengan menghubungi Ketua Urusetia.

Friday, December 5, 2008

SELAMAT DATANG KEPADA AHLI KELUARGA PAWANG KADIR


Perjumpaan Kali Kedua Ahli Keluarga Pawang Kadir ( AKPK ) akan diadakan pada 09 Disember 2008 bertempat Kg Bukit Keledang, Bera mulai jam 8.30pagi.Menurut Pengerusi merangkap Ketua Urusetia Keluarga Sdr Musaniff bin Abd Rahman selain perjumpaan keluarga majlis tersebut juga turut menyediakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta cabutan bertuah.

Aturcara program perjumpaan AKPK adalah seperti berikut,

ATURCARA 09.12.08


08.30 Minum pagi
09.30 Persediaan untuk makan tengahari
10.00 Permainan dan Pertandingan mewarna kanak-kanak
12.30 Permainan dan pertandingan selesai
12.45 Penyampaian hadiah dan cendera kasihsayang
1.10 Solat Zohor
1.30 Doa selamat dan tahlil
1.45 Makan tengahari
2.25 Tayangan LCD perjumpaan lepas ( pertama )
2.40 Ucapan Penasihat
2.50 Ucapan Ketua Urusetia
3.15 Memperkenalkan ahli keluarga
4.00 Ucapan penangguhan
4.45 Ucapan tetamu kehormat ( wakil keluarga adik-beradik Pawang Kadir )
5.00 Bersurai

Beliau turut berharap perjumpaan kali ini dapat dihadiri oleh sebahagian besar ahli keluarga. Perjumpaan kali kedua AKPK sepatutnya diadakan pada 22.12.2007 lalu tetapi pada ketika itu banjir berlaku.

Setakat ini beliau amat berpuashati diatas komitmen AKPK untuk hadir serta melaksanakan tugasan yang diamanahkan.








.

Monday, December 1, 2008

Perlembagaan Malaysia suatu pendekatan kepada pembaca ( Rakyat )

Penulis cuba membawa pembaca ( rakyat ) kearah suatu pendekatan memahami Perlembagaan Malaysia dalam bahasa yang mudah. Terdapat lapan tajuk penting yang bakal diulas oleh penulis iaitu,

Konsep Perlembagaan
Definasi Perlembagaan
Klasifikasi Perlembagaan
Tujuan Perlembagaan
Latar Belakang Perlembagaan di Malaysia
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri
Peruntukan Utama Dalam Perlembagaan Malaysia
Pindaan Perlembagaan

Walaupun penulis bukan pengamal undang-undang tetapi beliau merasakan sebagai rakyat kita sepatutnya perlu mengetahui perihal Perlembagaan Malaysia. Jika sekiranya mendapat sambutan dari pelawat penulis akan cuba menulis sehingga lapan tajuk seperti yang dinyatakan. ( Rujuk: Buku Kenegaraan Malaysia JPSM FPPSM UTM Skudai )

Sebagai permulaan dicoretkan tajuk pertama iaitu Konsep Perlembagaan

Lazimnya sesebuah Negara yang mencapai kemerdekaan akan mempunyai perlembagaan tersendiri. Perlembagaan ialah sebuah dokumen yang mengandungi undang-undang asas dan tertinggi atau undang-undang agung sesebuah negara. Undang-undang tertinggi ini menjadi sumber kepada segala perundangan lain yang wujud dalam sesebuah negara. Undang-undang lain tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan. Biasanya perlembagaan mengandungi undang-undang yang selaras dengan kehendak rakyat dan keadaan semasa. Perlembagaan mengandungi peruntukan-peruntukan umum tentang corak pemerintahan Negara,hak asasi rakyat,kewarganegaraan,bahasa rasmi dan lain-lain.

Sebagai contoh Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan-peruntukan mengenai pelbagai perkara seperti:

>Kebebasan Asasi Rakyat
>Kewarganegaraan
>Badan Perundangan
>Badan Pemerintah
>Badan Kehakiman
>Badan Kewangan
>Kuasa-kuasa di antara Kerajaan Pusat dan Negeri
>Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera
>Kanun Tanah
>Badan Perkhidmatan Awam
>Suruhanjaya-suruhanjaya
>Dasar-dasar pembangunan

Sunday, November 30, 2008

Majlis Solat Idul Adha dan Qurban Perdana di Darul Ikhwan, Mengkarak




Pas Kawasan Bera akan mengajurkan Solat sunat Idul Adha di Darul Ikhwan, Mengkarak. Menurut Yang Dipertua Pas Kawasan Bera Ust Sulaiman bin Mohamad solat sunat berkenaan akan diadakan pada 8hb Disember 2008 mulai jam 8.30pagi. Beliau menyeru serta mempersilakan ahli dan penyokong PAS agar dapat hadir bersama. Kepada penduduk yang berhampiran dengan Dewan Darul Ikhwan juga dijemput menyertai dan memeriahkan majlis tersebut.

Kami difahamkan Pas Kawasan Bera telah membuka penyertaan ibadah Qurban kepada sesiapa yang berminat dengan jumlah RM300.00 sebahagian mulai selepas Hari Raya Idul Adha tahun lepas. Sambutan amat menggalakkan sehingga kini sejumlah 7 ekor lembu bakal dikorbankan
. Daging-daging korban akan diedarkan keseluruh kawasan Bera.