Friday, September 25, 2009

Pasar basah tepi jalan


Keujudan pasar basah yang menjual keperluan dapur seperti ikan-ikan segar dan hasilan laut juga sayur-sayur serta lain-lain amat diperlukan oleh orang ramai terutama selepas hari raya pertama. Tetapi kedudukan pasar basah ini yang didirikan di tepi jalan dan berhampiran simpang boleh mengundang bahaya.


Kami telah mendapati keujudan pasar ini amat disenangi oleh penduduk sekitar jajahan Bandar Jengka, kerana keperluan lauk,sayur serta perkara-perkara lain ada di sini. Namun oleh kerana kedudukannya yang menganggu lalu lintas kenderaan, maka kami cadangan agar pihak yang berwajib dapat menyediakan kawasan yang lebih sesuai untuk mereka berniaga tetapi tidak jauh daripada kawasan ini.

Monday, September 21, 2009

Perdu Abd Rahman berkumpul


1 Syawal 1430 telah mencatatkan sejarah kepada Perdu Abd Rahman. Kerana pada tarikh itu semua ahli keluarganya dapat berkumpul serta berhariraya bersama di dalam suatu majlis di rumah anaknya yang ketujuh.

Abd Rahman adalah anak sulung Pawang Kadir dengan isterinya yang pertama bernama Siti Maryam. Pawang Kadir mempunyai 14 orang anak ( Perdu )dan tiga orang isteri. Manakala Abd Rahman telah meninggal dunia pada 4hb Mac 2006/4 Safar 1427
( 1932 – 2006 ) berusia 74 tahun.Disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Keledang sebelum waktu Zohor pada 5hb Mac 2006.

Diatas daya usaha anak cucu Pawang Kadir, mereka telah berjaya mengadakan dua kali pertemuan Keluarga Pawang Kadir setiap Hariraya kedua Aidil Adha. Bagi tahun ini,menurut maklumat urusetia perjumpaan Keluarga Pawang Kadir mereka juga akan mengadakan pertemuan yang ketiga pada masa yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Seramai 57 ahli keluarga Perdu Abd Rahman telah bertemu dan berhariraya bersama pada 1 Syawal 1430. Bagi mengingati kenangan ini seorang ahli keluarga Perdu Abd Rahman telah merakamkan dalam bentuk gambar saat-saat kemuncak majlis tersebut.

Berbahagialah siapa yang dapat bertemu Lailatul Qadar

Hari ini genaplah umat Islam di Malaysia dan Negara yang sewaktunya berpuasa. Esok adalah hari raya. Walaupun hanya 29 hari sahaja bulan Ramadhan tahun ini tetapi Lailatul Qadar tetap juga muncul.

Sebelum mencoret berkaitan Lailatul Qadar, suka juga diperingatkan bahawa Hari Raya bukannya hari raya sakan sampai terlupa malaikat tak cuti. Maksudnya hidupkan budaya kunjung mengunjung, ziarah mengziarahi, bermaafan dan berbagai lagi selagi tidak melakukan perkara yang ditegah oleh Islam.

Ok lah, apa pasal pulak hendak cerita pasal Lailatul Qadar sedangkan hari ini dah 1 Syawal. Ini semuanya kerana suatu peringatkan kepada pembaca bahawa sepanjang sebulan kita impikan untuk bertemu Lailatul Qadar, entah bertemu entahkan tidak.Tiba-tiba baru sedar bahawa 1 Syawal telah menjelma, adakah pencarian Lailatul Qadar kita itu tidak dibuat sedikit bedah siasat. Buatlah sendiri!

Kami mendapat maklumat bahawa ramai di antara ahli jemaah surau dan masjid pada tahun ini mendirikan solat malam bermula jam 4 pagi hingga 5 pagi tiap-tiap hari sepanjang 10 terakhir bulan ramadhan. Secara akalnya sudah pasti mereka ini akan berjumpa berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w bahawa Lailatul Qadar akan berlaku pada tempoh berkenaan.

Tidak kurang juga ada yang buat di rumah secara bersendirian dan senyap-senyap secara penuh 10 malam terakhir dan ada juga buat jarang-jarang. Tetapi yang pentingnya pada malam berlakunya Lailatul Qadar itu kita dapat bersama serta melakukan ibadat dan berdoa kepada Allah swt.

Bagi memenuhi ruangan tak seberapa ini dicoretkan sedikit pengalaman insan-insan yang bertemu Lailatul Qadar dan kesannya terhadap kehidupan individu berkenaan selepas itu.

1.Mereka ini sangat rindu kepada Ramadhan dan berhasrat hendak bertemu lagi Ramadhan akan datang.
2. Semasa berhariraya mereka ini banyak melakukan perkara yang baik dan tidak cenderung langsung melakukan maksiat ( walaupun sebelum ini mereka suka berada didalam suasana serta menganjurkan program maksiat )
3. Solat lima waktunya sangat dijaga. Tambahan mereka ini telah mula solat berjemaah di Surau atau Masjid terutama solat Isyak dan Subuh.
4. Mereka ini selalu berdoa dan terkadang-kadang sehingga menitiskan air mata semasa berdoa ( sebelum ini mereka tidak pernah )
5. Kehidupan keluarga dirasakan bahagia walaupun tidak mempunyai harta
6. Sentiasa membantu ahli masyarakat
7. Selalu membaca terutama buku-buku yang berkaitan dengan agama. Malah ada yang menjadikan membaca Al Quran tiap-tiap lepas solat subuh secara istikomah.
8. Mereka ini segera melakukan puasa enam hari dalam bulan syawal
9. Lahir perasaan kasih dan sayang kepada anak-anak serta isteri
10. Terpancar di muka mereka sinar cahaya yang menunjukkan insan yang bahagia.
11. Dan sentiasa menyatuni dengan baik rakan berbual ( dulunya sentiasa kasar )

Friday, September 18, 2009

Tok 4 guna nama orang kampong untuk dapat projek

Seminggu lepas saya didatangi oleh dua orang penduduk kampong di dalam DUN Guai. Hasrat mereka adalah untuk mencari pengamal perubatan tradisi yang berkaitan dengan makhluk halus. Ini adalah kerana kawan yang dibawa bersamanya itu disyaki diganggu makhluk halus.

Lantas Din yang membawa kawannya yang sakit itu, meminta kalau-kalau saya boleh berikhtiar dan berdoa agar kawannya yang bernama Hasan bebas dari gangguan makhluk halus itu. Puas menyatakan bahawa saya tidak pandai, namun setelah didesak dan demi memenuhi hajat mereka sayapun berdoa kepada Allah agar hasrat mereka dikabulkan.

Sebelum mereka beredar sempat juga kami berbual berkaitan dengan kampong yang Din tinggal sekarang. Kata Din, Tok 4 selalu menggunakan nama orang kampong untuk mendapatkan projek. Setelah projek itu diluluskan maka projek itu menjadi hak Tok 4 dan penama yang digunakan itu tidak dapat sedikitpun. Ada satu kali tu Tok 4 ini hampir mendapat habuan penampar anak kepada penama yang dia gunakan, ujar Din.

Kampong yang dihuni oleh Din adalah bersebelah dengan sebuah kampong lain. Namun kampong Din jauh dari segi mendapat peruntukkan dan projek pembangunan dan sosial. Walaupun permohonan dibuat melalui kampong Din tetapi apabila dilaksanakan ia dilaksanakan di kampong sebelah, tambah Din lagi.

Sekarang ini orang di kedua-dua kampong ini telah mula marahkan Tok 4 dan YB kerana tidak berlaku adil kepada orang kampong dan kampong.

Adalah diharapkan agar Tok 4 dan YB berkaitan dapat mengamalkan slogan “ Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan “ bukan slogan “ Tok 4 didahulukan kroni diutamakan “.

Friday, September 11, 2009

Rebut peluang bersama Lailatulqadar

Sekarang telah masuk fasa ketiga bulan Ramadhan. Iaitu fasa dibebaskan dari azab api neraka. Dimana didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Itulah malam Lailatulqadar.

Kalau dulu-dulu kita tidakpun terpanggil untuk merebut peluang ini. Kita hanya sibuk bersama anak cucu memasang lampu panjut dan bermain mercun serta bunga api. Malam Qadar pada kita hanya sebuah cerita yang tidak tercapai oleh kita. Ia hanya berlaku zaman dulu dimana diceritakan pada malam itu pokok sujud dan air membeku.

Boleh ke kita menemuinya? Kalau bertemu apa kita nak buat ? Kalau kita berkesempatan bersama malam itu apa pula akan terjadi kepada kita selepas itu?. Itulah beberapa soalan yang mungkin berligar didalam benak kita.

Allah sentiasa adil dan menunaikan janji. Ingat ! hidup kita di dunia hanya sementara, di akhirat sahaja hidup kita akan kekal abadi.

Bagi soalan pertama, jawapannya sesiapapun boleh. Asalkan kita berusaha bersungguh-sungguh menemuinya. Kita telah diberitahu bahawa Malam Qadar akan berlaku sepuluh malam terakhir dan berlaku pada malam-malam yang ganjil. Ayuh mulai malam dua puluh hingga ke malam akhir, kita berusaha mencarinya.

Cara yang paling mudah ialah mengamalkan Qiamullail bermula malam ke dua puluh hingga malam akhir ramadhan. Setiap awal pagi bermula 4.00pagi hingga 5.00pagi. Lepas itu bersahur seterusnya solat subuh berjemaah. Jika diizinkan Allah kita akan berjaya melakukan Qiamullail setiap malam itu, sudah tentunya sepuluh malam itu berada salah satunya ialah Malam Qadar.

Dalam tempoh sejam itu kita boleh lakukan solat sunat tahajut, tasbih dan taubat.

Manakala untuk soalan kedua, apabila kita bertemu mohonlah empat perkara iaitu keberkatan dalam hidup, diampunkan dosa, dimasukkan kedalam syurga dan dijauhkan dari azab neraka.

Sunday, September 6, 2009

Abdul Razak bin Hussin sepatutnya sudah di tangkap tahun 1955

Kalau orang melayu tak menggunakan fikiran sudah tentu Abdul Razak bin Hussin telah di tangkap sekitar tahun 1955. Ini adalah sebuah cerita yang diceritakan kepada saya oleh seorang bekas pasukan polis khas semasa pemerintahan Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu.

Peristiwa ini berlaku di Kuala Krau, Pahang. Waktu itu Abdul Razak bin Hussin iaitu Tun Abdul Razak sedang sibuk berkempen memberi kesedaran orang melayu untuk membebaskan Negara dari tangan Inggeris.

Satu perintah telah dikeluarkan oleh kerajaan Inggeris kepada setiap balai polis di Pahang agar menangkap sesiapa yang bernama Abdul Razak bin Hussin. Pada hari itu Abdul Razak bin Hussin telah turun dari keretapi di Kuala Krau, lantas seorang pasukan polis khas Inggeris berbangsa melayu telah menyapa dengan pertanyaan ‘ Encik ini Abdul Razak bin Hussin?’ Dengan ikhlas Abdul Razak menjawab ‘ ya ‘.

Demi mendengar jawapan itu pasukan polis khas Inggeris berbangsa melayu ini terus meminta Tun Razak agar naik keretapi semula dan meneruskan perjalanan ke tempat lain. Sikap yang ditunjukkan oleh polis ini walaupun bertugas dengan Inggeris tetapi masih boleh menggunakan fikirannya . Polis berkenaan sempat bertanya kepada dirinya adakah arahan yang diberikan ini betul atau menguntung bangsaku dan agamaku, lantas mereka mengingkarinya.

Cubalah kita lihat apa yang berlaku didalam Negara kita ini. Pegawai dan kakitangan awam tidak boleh menilai manakah arahan yang diberikan itu berfaedah kepada Negara atau berfaedah kepada satu golongan sahaja yang mana membawa petaka kepada Negara. Mereka ini menurut sahaja apa yang diarahkan ,boleh dikatakan tanpa memikirkan betul ataupun salahnya.

Sudah tiba masanya lakukan sesuatu yang betul seperti yang telah ditunjukkan oleh Pasukan Polis Khas Inggeris itu.

Friday, September 4, 2009

Majlis Titisan Ilmu SKBP 2009 amat bermakna


Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat hari ini mengadakan Majlis Titisan Ilmu. Bermula dengan ceramah motivasi oleh En Mohd Nazri bin Mohd Nor pensyarah UiTM Jengka bertajuk strategi terakhir menghadapi peperiksaan amat menarik minat pelajar, guru dan ibubapa yang hadir.

Selain Guru Besar yang menyampaikan ucapan, wakil guru,wakil murid dan wakil ibubapa juga diberi peluang.

Hasrat SKBP pada tahun ini agar dapat mencapai bilangan 20 atau lebih orang pelajar meraih 5A dalam keputusan UPSR 2009, ujar Guru Besar. Hasrat ini di kongsi bersama oleh YDP PIBG, AJK PIBG, ibubapa dan guru-guru.

Seramai 90 calon di SKBP yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 8hb,9hb dan 10hb September 2009 ini.

Majlis Titisan Ilmu ialah satu majlis halal menghalalkan , maaf memaafkan diantara pelajar, ibubapa dan guru. Ini bermakna 90 orang pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR akan datang telah dihalalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru kepada mereka. Manakala ibubapa turut mengucapkan terima kasih diatas pengorbanan yang diberikan oleh guru. Justeru itu guru menyambut dengan ucapan kami halalkan, terima kasih dan memohon maaf sekiranya terdapat apa-apa kekasaran yang pernah mereka lakukan.

Di akhir majlis, pelajar bersalama-salaman dengan semua guru dan ibubapa penjaga dan suasana ketika itu menjadi syahdu dengan tangisan pelajar,ibubapa serta guru dan mempamirkan kemesraan.

Media Guai mengambil kesempatan mengucapkan salam Ramadhan dan selamat menghadapai peperiksaan UPSR kepada semua calon seluruh negara dan di doakan agar kejayaan yang cemerlang bakal diperolehi.